Hari Raya Aidilfitri kali ini amat istimewa  bagi Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh
dengan pertambahan anggota keluarganya.
Empat bulan lepas, beliau mendapat cucu sulung, seorang
bayi perempuan dan tidak lama lagi akan menerima menantu perempuan ketiga.
“Seronok rasanya bertambah anggota keluarga walaupun ia
mengingatkan kita bahawa usia semakin meningkat,” katanya sambil tersenyum.
Di sebalik persiapan Hari Raya, Datuk Zulkefli dan
isteri Datin Ruhiza Hashim  sibuk menguruskan
majlis perkahwinan anak ketiga mereka Azrul Zaid dengan Tengku Najwa Akmal
Tengku Mohammad Shah.
Majlis akan diadakan pada 24 Ogos ini (17 Syawal) di
Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak di Jalan Bukit Bintang, Kuala
Lumpur.
Kehadiran seorang lagi menantu perempuan begitu bermakna
bagi beliau dan isteri kerana empat-empat anak mereka adalah lelaki.
“Menantu perempuan kira anak jugalah,” 
kata Datuk Zulkefli  yang memegang
jawatan Ketua Pengarang sejak 15 Mac lepas.
Beliau menggantikan 
Datuk Yong Soo Heong yang dilantik sebagai Pengurus Besar  pada 1 Januari. 
Sejak memegang jawatan itu, Datuk Zulkefli berkata beliau
belum dapat menumpu
sepenuhnya kepada Jabatan Pengarang
kerana  perhatian diberikan terhadap persiapan
sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
“Saya harap dapat tumpukan  selepas ini untuk mengembalikan Bernama
kepada zaman kegemilangannya.
“Menurut senior-senior kita, zaman dulu Bernama lebih
hebat daripada zaman sekarang.
“Boleh jadi zaman itu tidak banyak persaingan macam
sekarang  dengan adanya dunia siber dan
media sosial.
“Dulu kita memegang monopoli dalam penyampaian maklumat
terkini tetapi dengan adanya internet dan media sosial kita perlu bersaing dan
tidak boleh menjadi  seperti yang lain
(one of the many). 
“Kita perlu mencari kekuatan baru untuk mempastikan kita
terus relevan. 
Beliau mahu Bernama  menjadi pembekal maklumat yang 
boleh dipercayai (credible)  serta
menjana analisis berita yang lebih baik dari segi politik, sosial dan pasaran
saham.
“Kita kena cubalah supaya nanti  apabila orang hendak merujuk sesuatu perkara,
mereka  akan melihat kepada Bernama,”
katanya.
Datuk Zulkefli menyertai 
Bernama sebagai wartawan pada 17 September 1979 setelah memperolehi
ijazah kewartawanan dari Institut Teknologi MARA (kini  Universiti Teknologi MARA).
“Walaupun sudah hampir 34 tahun dengan  Bernama, 
namun rasa macam baru disebabkan 
sayang  terhadap kerja dan keadaan
sekitar,” katanya.
Selain melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh,
beliau berkata para wartawan Bernama 
harus menanam sikap bangga (pride) menjadi wartawan Bernama.
”Idealnya, semua petugas Bernama harus merasakan diri
mereka penting dari pemandu yang membawa wartawan ke tempat tugasan hinggalah
kepada  wartawan,  penyunting, editor serta kakitangan teknikal
yang menyelenggara komputer.
“Saya anggap orang di kantin itu pun penting sebagai
sebahagian daripada keluarga besar Bernama kerana tanpa mereka, boleh
menjejaskan operasi disebabkan tidak ada benda untuk dimakan,” katanya.
Beliau menasihati wartawan muda agar tidak jemu menimba
ilmu bagi meningkatkan kemahiran mereka.
“Saya masuk Bernama dulu walaupun ada ijazah
kewartawanan, saya rasa saya terlalu kekurangan dan menganggap senior-senior
saya orang pandai dan saya banyak belajar daripada mereka.
“Orang muda 
sekarang yang masuk dengan kelulusan, mereka rasa dah cukup pandai dan
apabila ditegur oleh editor, tidak ambil berat,” katanya.
Beliau menyebut mengenai filem lakonan jaguh kung-fu
Bruce Lee yang pernah ditontonnya.
“Guru dia suruh tuang air dalam gelas dan apabila penuh,
dia tanya boleh letak air lagi atau tidak. ..jadi  kenalah kosongkan  gelas itu supaya air boleh dituangkan.
Begitulah juga dengan kita yang harus bersedia menerima
ilmu baru kerana pendidikan adalah seumur hidup,”  katanya.
No comments:
Post a Comment