Sunday, 25 August 2013

Bernama 'universiti' sebenar …

Menemuramah sumber berita adalah perkara lumrah bagi seseorang wartawan tetapi apabila beliau pula yang ditemubual, perasaan gemuruh tetap terasa.
Inilah pengalaman yang dilalui Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Ahmad Zukiman Zain ketika muncul dalam program “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 yang disiarkan secara langsung pagi ini.
“Biasanya wartawan yang interviu orang tapi kali ini terbalik… ini satu pengalaman yang baru bagi saya walaupun perkara seperti ini adalah sesuatu yang harus kita hadapi,” katanya kepada peneraju Wan Yuzaini Wan Yahya.
“Mendengar siaran yang lepas-lepas, ada juga tergerak hati kenapa kita tidak  share (kongsi) pengalaman…dulu ada tradisi lisan dari satu generasi ke generasi lain yang kita belajar dan saya anggap siaran ini untuk berkongsi pengalaman selama berkhidmat dalam organisasi ini,” katanya.
Beliau menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada tahun 1980, dua tahun selepas menamatkan persekolahan di Victoria Institution Kuala Lumpur.
“Ketika memohon masuk Bernama, saya tak tahu apa sebenar kerjanya…tengok dalam suratkhabar iklan cadet reporter dengan kelulusan M.C.E. dan baik dalam matapelajaran bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris,” katanya.
Setelah berjaya dalam temuduga yang turut meliputi ujian bertulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, beliau mula bekerja tanpa sebarang asas kewartawanan tetapi menimba pengalaman daripada tugasan demi tugasan yang dilakukan.
“Pekerjaan yang saya minta secara suka-suka akhirnya saya jadi suka…ia bukan setakat menjadi kerja tetapi kerjaya yang mendewasakan saya,” kata Zukiman yang terus berkhidmat dalam organisasi ini setelah 33 tahun.
Pengalaman sebagai wartawan memberikan beliau peluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat “dari perdana menteri sehinggalah orang biasa” dan  ini mewarnai kehidupannya.
Ketika ditanya apa yang mendorongnya untuk belajar dalam kesibukan bekerja, beliau berkata kehendak dan keperluan semasa mendesak kita supaya memahirkan diri, mencari ilmu supaya kita boleh tampil dengan lebih baik dalam pekerjaan.
“Saya terhutang budi kepada UITM (ketika itu ITM), kerana membuka Kajian Sebaran Am untuk penuntut luar kampus…saya adalah kumpulan pertama KLK (Kajian Luar Kampus)nya pada tahun 1986,” katanya.
Setelah memperolehi ijazah sarjana muda (kewartawanan) dari UITM pada tahun  1990, beliau membuat keputusan untuk menyambung belajar selepas 10 tahun dan  memperolehi ijazah sarjana dalam bidang komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun  2002, juga secara sambil bekerja.
“Walaupun ada kelulusan dari UITM dan sarjana dari UPM tetapi universiti saya sebenar ialah Bernama...banyak saya belajar melalui Bernama,” katanya yang dihantar bertugas di Kelantan pada tahun 1982 selepas pendedahan awal di ibu pejabat.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua biro Melaka pada tahun 1984, pewarta Singapura (1993 hingga 1996) dan merupakan anggota kumpulan perintis perkhidmatan audio-visual  pada November 1999 yang menjadi asas kepada penubuhan Bernama TV.
Zukiman juga ditanya mengenai pengalamannya menyertai Press Fellowship di Universiti Cambridge pada tahun 2004 setelah mendapat anugerah Chavening dari kerajaan British.
Menurutnya, fellowship selama satu penggal (selama 10 minggu) di universiti   ulung itu adalah untuk kajian bertajuk “The profiling of Muslims by the British media” memandangkan ‘Islamophobia’ terus membelenggu masyarakat Barat ekoran peristiwa 11 September 2001.
Ketika ditanya bagaimana beliau membahagi masa untuk belajar sambil  bekerja, Zukiman berkata kita tidak boleh berhenti belajar jika ingin memperbaiki diri kita.
“Ia juga manifestasi mengenai peluang yang luas untuk melanjutkan pelajaran di negara kita…tepuk dada tanya selera.
“Semasa saya belajar dulu, bukan sebab Bernama suruh pergi belajar tetapi sebab peluang itu ada walaupun ketika itu tiada kemudahan canggih seperti  internet.
“Kita tidak boleh rest on our laurels,  cukup dengan apa yang kita ada dari segi ilmu.
“Saya datang dari generasi mesin taip yang langsung tidak mengetahui mengenai komputer pada mula-mula diperkenalkan dan terpaksalah belajar kerana ia keperluan.
“Sebab itu di Bernama, kita ada Bernama School of Journalism yang mempunyai  pelbagai modul untuk memahirkan lagi wartawan-wartawan mengenai selok belok penulisan berita.
“Kursus-kursus ini dikendalikan oleh wartawan-wartawan kanan, malah Pengurus Besar Datuk Yong (Soo Heong) dan Ketua Pengarang (Datuk Zulkefli Salleh) sendiri turun padang untuk mengajar.
“Memang harapan orang lama seperti kami ini untuk berkongsi ilmu…bayangkan kalau organisasi kita ini mempunyai tenaga yang competent (cekap), organisasi kita dengan sendiri akan lebih berketerampilan,” katanya.

1 comment: