Friday, 30 August 2013

PM muncul drama khas kemerdekaan Bernama Radio24 …


Sempena Hari Kemerdekaan ke-56 esok, Bernama Radio24 (BR24) menerbitkan drama khas dengan penampilan istimewa peranan kameo Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Drama 'Ikrar Perwira' selama 30 minit itu disiarkan malam ini selepas perutusan khas kemerdekaan oleh  perdana menteri.
Ini adalah tahun kedua berturut-turut BR24 menerbitkan drama khas yang disiarkan pada malam menjelang hari bersejarah itu.

Jika dalam drama 'Memoir 57' sempena Hari Kemerdekaan ke-55 tahun lepas, Datuk Seri Najib muncul memberi ucapan hari kemerdekaan pada akhir drama, kali ini beliau turut berlakon dengan rakaman dialog beliau dibuat di pejabatnya di Putrajaya semalam.
"Kami terharu dengan kesudian perdana menteri untuk muncul dalam drama khas ini walaupun beliau sibuk dengan tugas hariannya," kata Ketua Rancangan BR24, Hakimi Zain yang turut hadir pada rakaman babak itu.
"Saya kagum dengan sikap profesionalisme perdana menteri yang dapat menyiapkan rakaman tanpa banyak latihan walaupun tidak pernah berlakon sebelum ini," kata Hakimi.
“Bagi kami, ia satu pengalaman yang mungkin susah nak diperolehi di tempat lain.
“Malahan Perdana Menteri berseloroh dengan bertanya sama ada beliau boleh menjadi pelakon tambahan,” katanya.

Berdasarkan peristiwa tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, drama nukilan Nizuan Hanaffi ini turut dilakonkan oleh Man Raja Lawak yang memegang peranan utama manakala watak lain digalas petugas BR24 sendiri.
Mereka terdiri daripada Pengarang Urusan Berita Letfee Ahmad, Penerbit Rancangan Khairil Bashar, peneraju Gerard Ratnam dan Shuhadah Armawan serta Nizuan Hanaffi yang juga bertindak sebagai penerbit drama ini.
“Pujian harus diberikan kepada Nizuan kerana berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Perdana Menteri bagi drama ini,” kata Hakimi.

No comments:

Post a Comment