Sunday 28 September 2014

Resepi Kak Mas sebagai wartawan ekonomi...



Jika tidak kerana bekas Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE), Encik K.C.Leong, bakat dan kebolehan Puan Massita Ahmad sebagai wartawan ekonomi mungkin terpendam.
Ketika datang ke Bernama untuk ‘mencuba nasib’ setelah mendapat panggilan temuduga kerja pada tahun 2001, beliau menjangkakan  jawatan di bahagian jualan.
“Ketika itu Encik K.C. Leong melihat background saya dalam bidang kewangan dan bertanyakan sama ada saya bersedia diletakkan di Meja Ekonomi, Kak Mas rasa sebelah kaki dah masuklah ni, jadi Kak Mas terimalah kerana Kak Mas tak memilih kerja ketika itu,” katanya dalam rancangan “Bersama Wartawan” yang diterajui Wan Yuzaini Wan Yahya menerusi Radio Bernama 24 pagi ini.
Bermula detik itu, anak jati Teluk Intan berkelulusan Diploma in Investment Analysis dari Universiti Teknologi MARA (UITM) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan kepujian dari universiti yang sama menjadi wartawan sehinggalah kini dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Meja Berita PBE.
Dengan membahasakan dirinya sebagai Kak Mas, ingatannya masih segar ketika melaporkan diri untuk bertugas pada 3 September 2001.
“Ketika itu, ada SEA Games, saya masuk newsroom tapi sunyi, tak ada orang...saya tertanya-tanya ini pejabat apa.
“Adalah seorang dua wartawan dan saya perkenalkan diri dan ketika itu, Kak Mas bernasib baik diletakkan di bawah, (sekarang Datuk) Yong (Soo Heong) dan editor Encik Mikhail (Raj Abdullah), merekalah yang beri penerangan serba sedikit…oh baru saya tahu, jadi wartawan rupanya,” katanya .
Beliau berkata walaupun tiada latarbelakang dalam bidang penulisan tetapi dari segi terma-terma ekonomi, tidaklah menjadi masalah.
“Cuma ambil masa juga untuk menghasilkan berita, gaya penulisan, jadi kena banyak membacalah, apa in-house style Bernama…itulah cabarannya,” kata beliau yang memulakan kerjaya dengan CIMB securities Sdn Bhd, sebuah firma broker saham pada  tahun 1997 dan 1998 setelah memperolehi diploma.
Apabila berlaku krisis kewangan, Massita berhenti daripada CIMB Securities untuk menyambung pelajaran sehingga memperolehi ijazah sarjana muda pada tahun 2000.
“Masa tu ekonomi tak pulih sepenuhnya, tak boleh nak pilih kerja sangat…setahun juga Kak Mas buat bermacam kerja, jadi guru sementara, purchasing officer…,” katanya.
Setelah menyertai Bernama, beliau mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk mengetahui gaya penulisan berita ekonomi.
“Kalau nak tahu, wartawan ini kita tengok berita, kita tahu tulisan siapa walaupun tak tengok nama penulisnya..tambahan sekarang, Kak Mas tengok berita adik-adik ni, Kak Mas dah tahu siapa yang tulis,” katanya.
Mengenai tugas harian, beliau berkata liputan PBE “sama sahaja sebenarnya” dengan berita am dan lain-lain.
“Cuma kita ini ada beberapa pasaran yang perlu kita hasilkan berita…pasaran saham, komoditi, komodoiti itu pula terbahagi kepada minyak sawit mentah, tin (timah) dan sekaranag pasaran emas, setiap hari ada laporan dan rotation (penggiliran tugas) setiap minggu dan mereka (wartawan) perlu ada contact yang bagus,” katanya..
“Sebenarnya tidak ada sesuatu yang harus digeruni lagipun contact kita telah kita bina dan hanya perlu meneruskan hubungan dengan baik
“Kitapun berkongsi, tidaklah kita biarkan junior kita terkial-kial mencari contact, oleh itu hubungan baik itu diteruskan,” katanya..
“Laporan ekonomi ini biasanya 90 peratus dalam bahasa Inggeris tetapi ianya sangat straightforward dan tidak ada apa yang perlu digusarkan, malahan rata-rata yang dah masuk itu tak nak keluar pulak (dari Meja Ekonomi),” katanya.
Beliau juga ditanya mengenai pengalamannya membina ‘contact’ terutama dengan bekas Presiden Bursa Saham Malaysia, Allahyarham Datuk Salleh Majid.
“Sebenarnya saya melihat dia ada kolum dalam Utusan Malaysia, jadi mengapa Utusan Malaysia sahaja yang dapat seorang tokoh yang hebat…satu hari saya memberanikan diri mencari contact number dia, bermula dengan email.
“Allahyarham bukan senang nak bina contact dengan dia, dia akan bertanya supaya dia tahu apa subjek yg dibincangkan dan kita faham,” katanya.
“Ada beberapa soalan (yang saya berikan) dan dia bagi contact number dan berlangsunglah interviu, masa itu 2008…kemudian tak susah mendapat beliau, pada bila-bila masa jika perlu untuk mendapat  reaksi apabila ada pengumuman kerajaan lebih–lebih lagi mengenai pasaran saham.
Menurutnya, Allahyarham seorang yang teliti dan  wartawan yang mahu bertanyakan soalan, haruslah mengetahui subjek berkenaan.
Ketika ditanya mengenai permintaan editornya untuk menulis balasungkawa (obituary) bagi Allahyarham, beliau berkata:
“Kak Mas ingat tarikhnya 2 Januari 2012, hari Ahad apabila editor Kak Mas, Encik Mikhail call dan tanya sama ada saya dah dengar, saya terkejut apabila dia kata your friend Datuk Salleh telah meninggal dan dia nak saya tulis obituary.
“Sambil tulis, saya menangis sebab Kak Mas memang ada nak hubungi dia tapi dia tak jawab, tak berapa tahu dia sakit (walaupun)  fizikal  nampak dia uzur… sebulan Kak Mas cuba contact dia, tapi dia tak jawab, selalu tu cepat aja, rupa-rupanya dia sakit dan tahu-tahu aja dah tak ada,” katanya.
Antara tulisannya mengenai Allahyarham ialah harapan Allahyarham untuk mengesyorkan kepada kerajaan supaya membina bursa saham Islam tetapi tidak kesampaian.
“Untuk itu juga arwah Datuk interviu Kak Mas sama ada  Kak Mas boleh membantu dia menjadi part of the team,…yalah tak ada siapa yang boleh Kak Mas  jadikan saksi (mengenai perkara ini),” katanya.
Seorang lagi tokoh yang sangat membantu beliau sebagai ‘contact’ ialah Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi Negara Manokaran Mottain, yang memberikan beliau berita-berita eksklusif.
“Kita di Bernama, tak boleh simpan berita, jika ada pengumuman kerajaan, apa yang berlaku di luar negara, kita perlu mendapatkan reaksi segera, ini yang Kak Mas selalu tekankan kepada wartawan muda bahawa mereka mesti ada sekurang-kurangnya dua atau tiga contact yang boleh dihubungi pada bila-bila masa untuk  memberikan input dan reaksi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada mereka yang berminat menjadi wartawan ekonomi perlu ada asas kewangan, beliau berkata sebaik-baiknya begitulah.
“Apabila terma-terma itu mudah difahami, orang kata we have won one half of the battle …adik-adik yang fresh masuk kita perlu explain apa dia earning per share, profit before tax, dividend, kat situ pun dah mengambil masa untuk mereka faham, belum lagi mengenai gaya penulisan,” katanya.
“Biasanya Kak Mas tekanan selepas kita buat berita, tengok bagaimana wartawan-wartawan akhbar lain menulis, bandingkan dan dapatkan yang terbaik,” katanya.
Selain itu, mereka yang hendak menjadi wartawan ekonomi, perlu bersikap ‘dahagakan berita’, katanya.
“Meja-meja lain sama juga tapi meja ekonomi berurusan dengan real-time, harga-harga pasaran itu bergerak setiap saat, memberi kesan kepada pasaran, harga naik pun kena dapatkan reaksi, turun pun kena dapat reaksi,” katanya.
Mengenai rancangan masa depan, Massita berkata beliau mahu memantapkan meja ekonomi.
“Sekarang ni dah banyak online, siapa cepat beri maklumat, orang akan pergi kepadanya…Bernama perlu menyalurkan maklumat dengan cepat dan tepat,” katanya..

No comments:

Post a Comment