Thursday 18 September 2014

Khairy tidak kisah dikritik di media sosial...


Foto BERNAMA
Muncul sebagai menteri Kabinet paling popular di laman sosial, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak kisah sekiranya beliau dikritik dan kena 'troll' di medium itu.
Khairy yang mempunyai hampir 750,000 rakan di Facebook dan 721,000 pengikut di Twitter berkata beliau selesa menggunakan media sosial untuk berinteraksi terus dengan masyarakat terutama golongan muda.
Beliau juga tidak kisah hilang 'jurang eksklusif' seorang menteri dengan rakyat kerana menganggap ia sebagai pentas penting untuk beliau menjalankan tugasnya sekarang.
"Ia adalah saluran saya menghubungi masyarakat umum dan golongan muda menggunakan media sosial tanpa perantara.
"Saya difahamkan pada PRU (pilihan raya umum) lalu, 80 peratus orang muda mendapatkan maklumat daripada media sosial, ini menunjukkan betapa berkesannya medium ini untuk saya berinteraksi dengan mereka," katanya menjawab soalan ketika menjadi tetamu program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 petang ini.
Khairy berpendapat medium media sosial dapat menjimatkan kos iklan apabila beliau boleh berkongsi pelbagai program kementerian tanpa mengeluarkan sebarang kos.
"Satu lagi kelebihan jika ada apa sahaja program, saya boleh kongsi dan ia boleh 'viral' dan akan sampai ke ratusan ribu yang lain dengan cepat, memanglah kita ada keluar juga kos iklan untuk promosi, tetapi sekurang-kurangnya ia menjimatkan wang rakyat," katanya.
Menjawab persoalan bahawa beliau terdedah kepada pelbagai kritikan secara terbuka di laman sosial, Khairy berkata beliau menerima dengan hati terbuka kerana setiap rakyat mempunyai hak untuk memberi pandangan masing-masing mengenai kerajaan.
Bagaimanapun katanya, pandangan itu perlu mempunyai batas dan mana-mana kenyataan yang menghina kaum, agama dan raja, mesti diambil tindakan dengan segera.
"Saya juga sering menasihatkan pengikut saya agar memastikan maklumat yang ingin dikongsi diambil daripada sumber sahih dan fakta. Zaman sekarang semua pengguna 'gatal tangan' nak 'retweet' sesuatu post tanpa mengkaji ia sahih atau tidak," katanya.
Khairy berkata walaupun orang ramai melihat beliau sebagai seorang yang selesa dan gemar menggunakan laman sosial, tetapi beliau tetap memberi keutamaan dalam peranan menjaga belia negara serta memartabatkan sukan Malaysia di mata dunia.
"Ini adalah amanah yang besar buat saya," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment