Friday 26 September 2014

Bernama Radio24 rangkul anugerah kewartawanan radio...



Bernama Radio24 mengharumkan nama Bernama apabila memenangi tempat pertama dan kedua Anugerah Kewartawanan Media Radio daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Penerbit Bernama Radio24 Nur Syazwani Bakhtiar memenangi tempat pertama menerusi slot Ala Carte Pagi: Hari Francais 2014 manakala Hassan Sallehudin Yahya atau lebih dikenali dengan nama glamournya Essan Yahya muncul tempat kedua dengan slot Dalam Radar: Untung Rugi Cetak Rompak.
Nur Syazwani atau Sya Azam menerima RM3,000 manakala Essan RM2,000 pada majlis penyampaian anugerah daripada menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek sempena Malam Apresiasi Media anjuran kementerian itu di ibu negara malam ini.
Anugerah Kewartawanan Media Cetak pula dimenangi Utusan Malaysia menerusi laporan penyelewengan diesel bersubsidi.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) memenangi  Anugerah Kewartawanan Media TV  menerusi slot 'Suara Kita, Hak Kita' yang disiar TV1.
Foto terbaik pula dimenangi Aswad Yahya dari Utusan Malaysia.
Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Hasan berkata keupayaan media mendedahkan pelbagai isu kepenggunaan serta membongkar kes penyelewengan membantu KPDNKK menjalankan tugas serta operasi dengan berkesan.
Katanya, kementerian amat menghargai sumbangan serta kerjasama media dan berharap ia akan terus menjadi perantara KPDNKK dengan masyarakat.
"Pihak media telah banyak membantu kementerian, khususnya mengenai isu kos sara hidup pada tahun lepas selain aktiviti penyelewengan bahan petroleum bersubsidi.
"Media merupakan medium paling penting untuk kementerian menyampaikan mesej supaya rakyat berhati-hati dan memahami hak mereka sebagai pengguna," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment