Sunday 14 September 2014

Mengutip apa yang tercicir, menampal mana yang bocor...

 Pengamal media berperanan meredakan keadaan bagi menangani perkara sensitif yang disuarakan secara terbuka menerusi media sosial, kata bekas juruhebah popular Radio Televisyen Malaysia (RTM) Haji Mustaza Maah.
Katanya, beliau sedar bahaya perbuatan mengapi-apikan sensitiviti kaum dan ini harus dihentikan.
“Kita sebagai pengamal media harus memainkan peranan untuk menyatakan betapa bahayanya permainan ini…kita dah nampak ada bara, ada api, kita jangan siramkan minyak, ia akan membakar diri kita sendiri.
“Kepada yang terlalu asyik menyiram minyak kepada bara-bara ini, hentikanlah perbuatan ini kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,” katanya dalam rancangan “Bersama Wartawan” menerusi Radio Bernama24 pagi ini.
Haji Mustaza berkata perbuatan yang ditimbulkan oleh segelintir golongan berfikiran anti-establishment  atau anti-kewujudan sebenarnya menyentuh isu yang “tidak ada apa-apa”.
“Apabila diperbesar-besarkan dan menghasut, ini  bahaya kerana orang lebih mudah termakan hasutan daripada menerima hakikat mengenai keadaan sebenar.
“Saya berpendapat media sangat berperanan untuk meredakan keadaan dan menjadikan masyarakat kita lebih rasional dan berfikiran matang,
“Kita selama ini hidup aman, nak ke mana sahaja kita boleh pergi, kalau timbul benci-membenci, saya fikir tak wajar…biar hidup kita lebih sempurna dan aman, fikirkanlah masa depan anak cucu kita,” kata Haji Mustaza yang bersara genap 56 tahun pada tahun 2007.
Ketika ditanya mengenai kriteria untuk penyampai radio dalam menghadapi persaingan masa kini, beliau berkata cabaran itu perlu digalas oleh penyiar muda agar mereka tidak ketinggalan dalam persaingan.
“Bagi saya, mesti ada cara kita sendiri dan mempunyai matlamat kita untuk mendekati pendengar dengan cara kita sendiri.
“Dalam bersaing, saya masih berpegang, walaupun orang anggap itu old school dan conventional iaitu etika penyiaran mesti kita pertahankan…kita ikut trend penyiaran dan etika kita pertahankan serta kita adunkan kedua-duanya kerana penyiaran ini kena ada protokol,
“Kalau kita hentam macam itu aja, cakap sesuka hati, kita terkinja-kinja di udara tanpa ada batasannya, saya rasa tak manis kerana kita membentuk pendengar,
“Saya tak setuju kalau dikatakan pendengar yang membentuk kita, kita ni sebagai pemandu, tugas kita menghibur dan memberikan maklumat,” kata Haji Mustaza yang memulakan kerjaya  sebagai juruhebah dan penyampai berita di Rumah Persekutuan (Federal House) pada 1 April 1971.
“Memanglah sebagai penyiar, kita hendak menggembirakan orang tetapi dalam kita hendak mengembirakan dan menyukakan hati orang,  jangan lupa tanggungjawab kita untuk membina masyarakat, membina bangsa yang berpengetahuan, yang tidak leka dengan perubahan zaman.
“Kadang-kadang ada pendengar yang pemikirannya tidak selari dengan aspirasi negara dan kita kena bentuk…kalau rakyat tak selari dengan aspirasi negara, macam mana kita nak mendukung apa yang diaspirasikan oleh negara,” katanya.
Beliau menerima anugerah Seri Angkasa sebagai penyampai berita radio terbaik RTM pada tahun 2006 dan deejay terbaik setahun sebelum itu.
Menjawab soalan, beliau berkata penyampai radio perlu membuat ‘kerja rumah’ (homework) terutama mengenai tetamu yang akan ditemuramah serta topikk yang akan dibincangkan.
“Katakan kalau kita panggil pakar-pakar ekonomi yang hebat-hebat, kita terpaksa membuat kerja rumah agar soalan kita selari dan setaraf dengan pakar yang kita undang…jangan kita tanya soalan yang dia dengar nak jawabpun macam mencabar intelek dia.
Pada awal program, beliau ditanya mengenai permulaannya dalam kerjaya itu.
Beliau memendam hasrat untuk menjadi juruhebah sejak di bangku sekolah setelah mengikuti Radio Singapura yang boleh didengari di kampungnya di Lubuk China, Rembau, Negeri Sembilan.
Kemudian beliau melanjutkan pelajar ke Sekolah Menengah Teknik di Kuala Lumpur dalam bidang kejuruteraan yang tidak diminatinya sehingga gagal semester pertama.
Beliau merahsiakan perkara itu daripada keluarganya dan terus tinggal bersama saudaranya di Kuala Lumpur.
Peluang mencapai cita-citanya muncul apabila beliau terdengar iklan di radio yang berkehendakkan juruhebah dan terus menulis surat permohonan ketika berusia 19 tahun.
Setelah menjalani ujian suara – membaca berita dan berlakon – beliau mendapat jawapan yang diterima bekerja masa kira-kira seminggu kemudian.
“Saya tidak sangka sama sekali, saya datang dengan tak bawa harapan tapi disebabkan rezeki, masa tu keluarga tak tahu saya dah tak belajar…rahsia tu bocor apabila orang dengar suara saya di radio, saya terpaksa mengaku kepada keluarga bahawa saya sudah bekerja,” katanya mengimbau kenangan.
Haji Mustaza, yang dikenali sebagai juruhebah romantis semasa zaman popularnya, berkata pendorong utamanya ialah juruhebah popular di Radio Singapura serta di RTM.
“Di Kuala Lumpur, saya meminati  arwah Karim Muhammad, Zulkarnain Hassan, Baharin Tahir, Azhar Haji Ahmad, Helan Abu dan  ramai lagi…saya kenal juruhebah wanita dan lelaki dari A hingga Z, saya kenal siapa mereka disebabkan suara mereka itu,” katanya.
Menjawab soalan, beliau mengakui bahawa penyampai radio dan pembaca radio begitu popular ketika itu dan sering menerima beribu-ribu kad raya pada musim perayaan.
“Di kalangan kawan-kawan, tengok meja siapa yang penuh kad … memang seronok pada waktu itu kerana kita dikenali serata pelusuk tanah air.
“Kadang-kadang kita pergi ke sesebuah tempat, orang tak kenal kita melainkan dengar suara…elok juga macam itu,” katanya.
Pernah ketika bertukar ke Johor Baharu, ada peminat yang menunggunya di stesen keretapi pada pukul 6.30 pagi setelah mengetahui beliau akan menaiki keretapi untuk memulakan tugas di sana.
Beliau juga terharu apabila ada yang mengenalinya semasa beliau berjalan-jalan di Singapura ketika itu.
“Saya lebih suka orang tak mengenali saya…kadang-kadang bila pergi majlis, orang kata ini Mustaza Maah, saya malu sebab saya bertanya kepada diri saya, adakah sepadan dengan apa yang saya buat dengan populariti yang saya perolehi,” katanya. Lepas pencen, tak bergiat dalam bidang penyiaran tapi buat apa yang patut, mengutip apa yang tercicir, menampal mana yang bocor dulu.
Antara tugas yang dilaksanakannya semasa berkhidmat ialah menjadi juruacara rasmi dalam banyak acara rasmi kerajaan termasuk tujuh kali menjadi jurucara rasmi majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
“Banyak perbezaannya menjadi juruacara di Balai Rong Seri dan di luar. Suara tak boleh ditinggikan terlampau sangat dan mesti mengikut protokol,” kata Haji Mustaza yang masih dapat skrip berkenaan.
Ketika ditanya apa yang dirinduinya selepas bersara, beliau berkata:
“Saya rindu kawan-kawan tetapi bidang penyiaran ni saya tak rindu sangat sebab bagi saya setiap yang bermula ada akhirnya,
Kita tak boleh terus bernostalgia dengan apa yang kita lalui dulu, kadangkala orang taya saya, saya tak jawab sangat.
“Lepas pencen, saya tak bergiat dalam bidang penyiaran tapi buat apa yang patut, mengutip apa yang tercicir, menampal mana yang bocor dulu,” katanya.



No comments:

Post a Comment