Thursday 18 September 2014

Menjulang nama Malaysia di bumi Kazakhstan...


Ketika negara menyambut Hari Malaysia pada 16 September, wartawan Bernama Norshazlina Norazman menjulang nama Malaysia di bumi Kazakhstan.
Beliau adalah antara lima wartawan asing yang memenangi anugerah penulisan “Kazakhstan in the Eyes of Foreign Media”  yang pertama kali diadakan oleh negara Asia Tengah itu.
Norshazlina menang bagi rantau Asia manakala empat pemenang lain, masing-masing untuk rantau Amerika, Eropah, Timur Tengah dan Kesatuan Negara-negara Merdeka (Commonwealth of Independent States (CIS))  
Menteri Luar Kazakhstan Erlan Idrissov menyampaikan sijil kepada para pemenang dalam majlis yang diadakan di kementerian berkenaan.
“Dapat award tu pada 16 September, rasa lagi bermaknalah sebab ia Hari Malaysia,” kata Norshazlina hari ini.
“Saya tak dapat tengok sendiri suasana kemeriahan sambutan (Hari Malaysia) malah rasa tersentuh bila tengok orang update mengenai 16 September di laman sosial.
“Kita ni berada jauh, tu yang bila dapat pada hari Malaysia, rasa terubatlah sikit rindu nak balik tu,” kata Norshazlina yang tiba di ibu negara Kazakhstan, Astana, malam Sabtu lepas.
Beliau gembira memenangi hadiah itu serta mengucapkan terima kasih kepada
kawan-kawan yang memberikan ucapan tahniah menerusi Facebook.
“Rasa semua kesulitan yang berlaku ketika melawat Kazakhstan dulu dan masa nak siapkan story tu berbaloi sangat.
“Yelah saya pergi tahun lepas sampai demam dan hidung berdarah teruk hari-hari sebab terkejut winter,
Lepas tu story pun pertama kali saya usaha tulis dalam bahasa Inggeris, jadi rasa berbaloi dan jadi pemangkin untuk buat lebih baik lepas ni.
Yang penting saya buktikan untuk diri dan Bernama yang saya juga boleh berjaya,” kata wartawan berusia 29 tahun itu dari Meja Rencana dan Isu Khas.
Norshazlina menghasilkan rencana tiga siri mengenai Kazakhstan berdasarkan lawatannya selama sembilan hari sempena sambutan ulangtahun ke-22 kemerdekaannya pada Disember lepas.
Beliau berkunjung ke negara itu bersama-sama lima orang lagi wakil media Malaysia – dua dari Bernama TV dan masing-masing seorang dari Utusan, Berita Harian dan Harian Metro.
Semasa pertemuan dengan para pemenang pada majlis itu, Norshazlina berkata Idrissov yang fasih berbahasa Inggeris turut menyebut mengenai hubungan baik antara Kazakhstan dengan Malaysia.
“Menteri cakap dia baca siri artikel saya dan dia suka terutamanya tentang cerita makanan halal sebab negara dia melihat Malaysia sebagai ikon halal.
“Sepatutnya dia datang ke Kuala Lumpur minggu lepas dan bagi hadiah tapi dia batalkan lawatan ke KL dan beberapa negara lain sebab ada forum yang lebih penting,” katanya.
Norshazlina, yang demam kerana cuaca sejuk di Astana, akan terbang ke Almaty esok dan pulang ke tanahair dengan  penerbangan tengah malam Ahad.

No comments:

Post a Comment