Monday 1 September 2014

Isteri TKP Perkhidmatan Antarabangsa Bernama Meninggal Dunia



Hajah Mariam Abdullah, 56, isteri kepada Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Bernama, Ahmad Zukiman Mohd Zain, meninggal dunia tengah hari ini akibat barah.
Menurut bakal menantu Allahyarhamah, Ahmad Syahir Izani Tajodin, 28, bakal ibu mentuanya itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.22 tengah hari di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
"Allahyarhamah menunjukkan perubahan dan nampak semakin uzur pada waktu Maghrib semalam dan terus dikejarkan ke hospital sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi," katanya kepada Bernama.
Jenazah Allahyarhamah, yang pernah berkhidmat di RTM selama 23 tahun, di bawa ke Masjid Al-Ansar, Taman Keramat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas solat Asar.
Allahyarhamah yang menghidap penyakit barah payudara sejak 2008 meninggalkan tiga orang anak iaitu Yasmin, 28, Ahmad Zuriyad, 22, dan Diyanah Zufazlin, 21.
Yasmin merupakan Pegawai Berita di Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Bernama.
Menurut Ahmad Syahir, Allahyarhamah merupakan seorang yang tegas serta terkenal dengan sifat pemurah.
"Arwah akan sentiasa berusaha untuk menunaikan keinginan orang-orang tersayang di sekelilingnya meskipun tidak diminta untuk berbuat demikian," katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menziarahi jenazah Allahyarhamah di masjid itu dan menunaikan solat jenazah sebelum bertemu Ahmad Zukiman.
Antara warga Bernama yang menziarahi jenazah Allahyarhamah termasuk Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang PBDN Datuk Zakaria Abd Wahab.
-- BERNAMA

1 comment:

  1. Takziah diucapkan kepada Encik Zukiman sekeluarga...
    Al Fatihah

    ReplyDelete