Sunday 7 September 2014

Jangan lupa individu di belakang tabir...



Wartawan perlu lebih “panjang akal” dalam menghasilkan berita untuk memenuhi kehendak pembaca, kata Pengarang Rencana Metro Ahad,  Adam Salleh
“Kalau pembaca dah boleh tangkap apa yang hendak ditulis, tak berapa bagus, biar kita menghurai sesuatu yang dia tak tahu dan kita memberi informasi supaya mereka tahu,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, wartawan boleh menghasilkan berita mengenai individu-individu di belakang tabir kejayaan seseorang yang terkenal.
“Bagi saya, kita melihat Allahyarham Sudirman seorang patriotik tetapi kita jangan lupa jasa Mike Bernie yang membentuk Sudirman,” katanya dalam temubual “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Adam berkata usaha Mike Bernie berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menutup jalan Chow Kit yang sibuk dari pukul 6 petang hingga 12 malam bagi mengadakan konsert Sudirman bukannya sesuatu yang mudah.
“Apa jua yang kita bercakap mengenai arwah Sudirman, kita kena salute kerana  kesungguhan dia menampakkan imej patriotik…sebagai selebriti dia harus ke depan tetapi behind the scene pun kena ambilkira kerana merekalah yang membentuk artis,” kata Adam yang memegang jawatan sekarang sejak 2010 setelah menjadi pengarang hiburan Harian Metro selama tujuh tahun dari 2003.
“Kita kagum kepada lagu,Warisan yang dinyanyikan Sudirman  tetapi kita kena ingat juga jasa Syed Haron yang mencipta lagu itu, perkara begini yang perlu kita ambil kira,” katanya.
Adam pernah memenangi hadiah Wartawan Hiburan Terbaik pada 2001 dengan  fokus cerita yang ‘simple’ – “Nilai Ayah Kami RM300”.
“Cerita mengenai keluarga Saiful Bahari, yang menggubah lagu Negaraku tetapi tidak ada orang kenang dia…kadang-kadang saya tengok kita berdegar-degar, yang dapat Datuk…Shah Rukh Khan, Saiful Bahari tak dapat pun..
“Kalau kita ingat jasa dia, saya rasa semua orang bersemangat dengar lagu Barisan Kita, malah lagu (negeri) Selangor dan Melaka, beliau yang buat tetapi apakah penghargaan yang kita berikan kepada Saiful Bahari?” tanyanya.
Beliau turut menyebut mengenai lagu “Fikirkan Boleh”, yang menjadi slogan ‘Malaysia Boleh’.
“Kita hanya laungkan ‘Malaysia Boleh, Malaysia Boleh’ tetapi apakah kita tahu siapa penulis liriknya…Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim yang meninggal dunia muda.
“Saya lebih suka highlight mereka yang tak dikenali, ibarat hero yang tak didendang.
“Setidak-tidaknya artikel saya akan menjadi bahan rujukan kepada anak-anak mereka,” katanya.
“Saya lihat wartawan sekarang, kalau dia interviupun dia pilih orang…siapa  nak buat cerita Saiful Bahari, siapa nak buat cerita Syed Haron umpamanya, siapa nak buat cerita tokoh-tokoh di belakang tabir yang memberikan sumbangan besar?.
“Umpamanya lagu ‘Tanggal 31’, ramai orang tak tahu ia dicipta oleh Ahmad C.B. …  dia berkolek datang ke Singapura, selepas recording, esoknya dia balik ke Indonesia,” kata Adam.
Beliau berkata wartawan juga mesti lebih panjang akal dalam erti kata mengetahui sejarah agar mereka faham.
“Contohnya semasa Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Melaka tangannya digenggam, masa di Stadium Merdeka tangannya dilepaskan,  mengapa begitu?
“Kalau anda dapat menjawab itu, anda akan tahu bahawa sebagai wartawan anda tidak melihat kosong tetapi melihat dan menilai dengan mata hati,” kata Adam yang mula menulis pada tahun 1986 untuk majalah URTV.
Beliau sebelum itu bekerja hotel di Puduraya tetapi berhenti untuk menjaga ayahnya, pengarah Salleh Ghani yang sakit sehingga akhir hayat orang tuanya.
Ibunya adalah pelakon Raja Hamidah Raja Saad.
“Ketika ayah saya sakit, saya ada menulis dalam diari, pergerakan dia setiap hari…apabila ayah saya meninggal pada bulan Ogos 1986, Pengarang URTV Bahyah Mahmood terbaca diari saya dan tertarik sehingga mencadangkan saya menulis dalam majalahnya secara bersiri,” katanya.
Tanpa pengalaman menulis, beliau menghasilkan bahan secara bersiri mengenai ayahnya.
“Bila disiarkan, ada beberapa pihak di Utusan yang tertarik dan hantar saya pergi berkurus selama empat bulan anjuran EJA (Entertainment Journalists Association) di mana turut dihadiri oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad, yang ketika itu sudahpun menjadi penyanyi terkenal,” katanya.
Selepas habis berkursus, beliau diambil bekerja oleh seorang tokoh wartawan Harun Hassan untuk akhbar politik bernama Mingguan  Kota pada tahun 1987.
Beliau kemudian menyertai majalah Kisah Cinta sebelum Mingguan Wanita dan kemudiannya akhbar politik Warisan Nasional.
Apabila Berita Harian menerbitkan Harian Metro, beliau disarankan oleh seorang rakan wartawan hiburan akhbar Berita Harian untuk memohon.
“Saya pergi ujian dan diterima bekerja dengan Harian Metro pada 1991 sehinggalah ke hari ini,” katanya.
 Sebagai pengarang hiburan, beliau berdamping dengan artis-artis yang bermacam-macam ragam dan  penuh dengan sensitiviti.
“Kalau tersilap tulis, mulalah emosi mereka teransang dan datang ke pejabat berjumpa bos, belum lagi artis-artis yang baru nak naik daun, dia punya kerenah pun boleh tahan juga,” katanya.
“Kita kena pandai menangani emosi artis-artis ini kerana kita dengan artis saling memerlukan,” katanya.
Sebagai pengarang rencana Metro Ahad, Adam berkata peranannya  agak berbeza memandangkan tanggungjawabnya mengisi sisipan khususnya untuk remaja.
“Ada kolum imam muda, solehah, ada ruangan karisma di mana kita highlightkan tokoh tertentu yang berjaya.
“Umpamanya dalam Metro Ahad hari ini, ruangan Karisma memberi tumpuan kepada Datuk Daud Che Ngah…jemaah Haji mesti kenal siapa dia…sebagai editor, saya semak artikel itu dan apabila membacanya, saya pun seronok juga.
“Rupa-rupanya tokoh ini sebelum sampai ke tahap ini, dia pernah urus jemaah haji kita dari zaman naik kapal,” katanya.
Ketika ditanya mengenai trend filem tempatan sekarang yang tidak banyak mengeluarkan filem-filem patriotik, beliau bersetuju bahawa filem-filem yang dihasilkan lebih bersifat komersil dan mengikut kehendak semasa.
“Kalau kita lihat trend sekarang filem yang disajikan, jodolnya pun dah merepek meraban, saya dengar pun tah apa-apa, jodol begitu ke nak bawa ke luar negeri?…tapi tak ada wartawan yang nak kritik kerana mungkin masing-masing nak jaga hati producer,” katanya.
Beliau juga menegur trend yang mengambil novel cinta untuk dijadikan drama bersiri di televisyen.
“Saya lihat penulis novel ini, apakah pengalaman dia luas sangat ke? Sekadar duduk dalam bilik berkhayal putus cinta, secara jujurnya adakah mereka tempoh  pahit getir bercinta?
“Sekarang ni dah banyak, even I tanya my staff mereka pun dah bosan melihat drama-drama yang dia dah tahu penyudah konfliknya, jadi lama-lama mungkin dalam keadaan penonton bosan itu macam mana kita nak isikan dengan cerita-cerita yang ada unsur-unsur kasihkan  tanah air,
“Cerita perajurit ke, even cerita tokoh guru, bagaimana susah payah dia mengajar di pedalaman dan diuji dengan pelbagai cabaran,” katanya.
Selain semangat polis dan tentera, beliau berpendapat fokus boleh diberikan kepada pasukan bomba dan penyelamat dengan menceritakan pahit getir mereka.
“Seharusnya penulis skrip berdamping dengan orang-orang begitu, kalau mereka buat skrip sekadar duduk dalam bilik,  search sana, search sini, cut and paste, dia dapatlah bahan itu tapi bahan curi seperti itu tidak melekat dalam jiwa, kita akan lihat dan kita akan lupa,” katanya.

No comments:

Post a Comment