Friday, 20 September 2013

Tingkat Keupayaan Siar Liputan Terkini...

Sebagai saluran berita 24 jam, BERNAMA TV perlu meningkatkan keupayaannya untuk menyiarkan liputan terkini, menyeluruh dan seimbang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata BERNAMA TV telah diminta untuk membuat liputan pemilihan semua parti politik, bukan sahaja Umno tetapi juga bagi parti-parti lain termasuk DAP, PAS atau PKR.
"RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang lebih berkeupayaan dari segi peralatan dan modal insan tetapi terbatas dari segi waktu siaran diminta membantu perkembangan ini.
"Insya-Allah, tak lama lagi satu lagi saluran berita lain akan diwujudkan," katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata cadangan satu saluran berita berbahasa Melayu dan satu lagi berbahasa Inggeris di bawah naungan kementerian itu akan menjadi kenyataan pada era digital nanti.
BERNAMA TV, saluran berita 24 jam pertama di negara ini menawarkan berita dalam empat bahasa, bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin. Ia bersiaran di saluran 502 Astro.
Komen menteri itu mendapat reaksi positif daripada pengguna akaun Facebook yang lain, antaranya Mohd Nor Affandi dan Rose Aklaj yang memuji tindakan yang diambil oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment