Wednesday, 25 September 2013

Takziah buat Azhan...


Takziah kepada jurufoto Azhan Hj Pidek yang terpaksa membatalkan tugasan di Myanmar setelah bapa mertuanya meninggal dunia pagi ini.
“Saya sudah berada dalam ERL (Ekpres Rel Laju) kira-kira pukul 7 pagi untuk ke airport apabila dimaklumkan berita sedih itu,” kata Azhan yang dijadualkan menyertai lawatan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)  meninjau persiapan temasya Sukan SEA di Yangon dan Nay Pyi Taw.
Setelah berbincang dengan ketua rombongan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Azhan membuat keputusan untuk pulang membantu menguruskan pengebumian jenazah bapa mertuanya Ibrahim Darus, 65.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan AU4 Taman Permata  selepas waktu Zohor.
Azhan berkata mereka rapat kerana Allahyarham selalu bermain dengan cucu-cucunya, anak Azhan dan isterinya Izaitul Farah, yang kini bertugas dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Selain tiga orang anak Azhan dan Farah  – yang sulung anak perempuan berusia 6 tahun, lelaki (3 tahun) dan perempuan (satu tahun setengah), Allahyarham mempunyai dua orang lagi cucu. Farah adalah anak kedua daripada lima beradik.
Azhan berkata bapa mertuanya baru keluar dari hospital dua hari lepas setelah sebulan lebih mendapat rawatan penyakit buah pinggang.
“Sepatutnya petang ini dia memulakan rawatan dialysis,” kata Azhan yang ditugaskan mewakili Bernama ke Myanmar bersama wartawan sukan Farhanah Azmi.

Rombongan seramai 35 orang, terdiri daripada anggota exco SAM, wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan wakil media dijadualkan melawat Myanmar selama empat hari sehingga Sabtu.
Temasya Sukan SEA akan berlangsung di negara itu dari 11 hingga 22 Disember ini.
Rombongan dijadualkan melawat Stadium Wunna Theikdi dan Pusat Media Utama di Nay Pyi Taw dan diberikan taklimat oleh wakil Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Myanmar.
Mereka juga dijadual melawat pejabat Persatuan Bolasepak Myanmar dan menghadiri jamuan malam bersama Duta Besar Malaysia ke Myanmar Dr Ahmad Faisal Muhamad.

No comments:

Post a Comment