Friday, 6 September 2013

Majlis raya melabuh tirai...

Dengan Syawal menghampiri penghujungnya, majlis ‘rumah terbuka’ pelbagai bahagian dan jabatan di Bernama melabuh tirai dengan kemeriahan majlis anjuran Jabatan Pengarang hari ini.
Pengerusi jawatankuasa majlis Hajah Rohana Mustaffa ternyata gembira dengan sambutan terhadap ‘rumah terbuka’ itu yang diadakan dari 3.30 petang hingga 5.30 petang di tingkat 9, Wisma Bernama.
Kali ini tema coklat dipilih berdasarkan persetujuan petugas editorial.
“Inilah majlis Hari Raya yang paling besar pernah dianjurkan oleh Jabatan Pengarang…tempat yang kita pilih ini juga selesa kerana ia luas,” kata editor penyuntingan Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) itu..
“Selalunya kita buat secara ‘potluck’ tapi kali ini kita tempah ‘catering’ supaya masing-masing tidak penat memasak dan boleh ‘enjoy’,” katanya.
Walaupun anggaran kehadiran majlis itu seramai 300 orang namun bilangan sebenar yang datang mungkin lebih.
“300 bunga telur yang disediakan habis diberi,” kata seorang anggota jawatankuasa majlis.
Hajah Rohana berkata sumbangan yang banyak diterima daripada petugas Editorial membolehkan pelbagai makanan disediakan.
Antaranya nasi tomato, ayam golek, rendang, lemang, roti jala berkuah durian dan kari, pasembor, lontong, aiskrim dan kek.
Bagi memeriahkan suasana, hadiah pakaian terbaik lelaki dan wanita untuk petugas editorial dan bukan editorial diadakan.
Sebagai nostalgia, ada yang membawa seterika lama, kukus kelapa, kain batik dan teleprinter untuk dipamerkan.
Hajah Rohana berkata walaupun persediaan rapi perlu dibuat, namun ia tidak memenatkan kerana mendapat kerjasama semua pihak.
“Kita adakan tiga kali mesyuarat dan kerja menghias tempat ini dilakukan sehingga 7.30 malam tadi manakala makanan dibawa hari ini,” katanya.
Selain warga Bernama merakam foto sebagai kenangan, seorang jejaka kelihatan sibuk mengambil gambar sepanjang  majlis diadakan.
Muhammad Azeem Sarif, 20, pelajar Diploma Teknologi Fotografi Universiti Selangor (Unisel), baru memulakan latihan amali di Bernama minggu ini.
Latihan amali selama tiga bulan itu adalah sebahagian daripada pengajian selama tiga tahun untuk diploma berkenaan.
Saya rasa bertuah dapat bersama-sama meraikan majlis ini,” kata pemuda dari Hulu Langat itu.
Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pengarang kerana dapat menganjurkan Majlis Hari Raya itu dengan amat teratur.
“This is the semangat – we play hard and work hard. Dress code theme also well-thought of. An enjoyable occasion to rejoice about.”

No comments:

Post a Comment