Friday, 20 September 2013

Melodi Hati Seorang Penulis ...

Aku suka menulis. Tika menulis, aku seperti dapat menzahirkan emosi yang meledak di lubuk hati. Menulis memberi aku inspirasi untuk terus maju dan mencapai impian. Namun, tidak semua perkara boleh ku abadikan dalam bentuk tulisan kerana bimbang karya yang ku anggap sebagai tiket untuk ke syurga, menjadi pengheret aku lembah yang hina. Maka, aku akan terus dan terus dan terus menulis perkara-perkara yang baik sehingga ke titisan darahku yang terakhir.

Melodi Hati - Karya pertama yang berjaya diterbitkan pada penghujung tahun 2009. Karya ini memang ikhlas lahir daripada perasaan hati. Ilham datang tanpa disangka. Siapa tahu, karya ini mula mengubah perjalanan hidupku?
Hazim, Aizat & Muzik - Lahir pada tahun 2011. Bukan mudah untuk melihat karya ini diterbitkan. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi. Novel ini banyak memuatkan latar ketika aku belajar di luar negara - Philadelphia, Amerika Syarikat.
Brr Sejuknya Salji - Juga karya yang terbit tanpa disangka. Mulanya sekadar gurauan di laman sosial tatkala junior begitu teruja bermain salji buat pertama kali. Karya paling cepat disiapkan - hanya 3 minggu. Terbit pada tahun 2012.
Diari Untuk Ibu - Lahir pada tahun 2013. Mengikut perancangan, mahu diterbitkan sekitar 2011. Namun, kisah sedih di dalamnya terpaksa dirombak bagi memenuhi keperluan semasa. Pun begitu, masih ramai pembaca yang menitiskan air mata saat membaca naskhah ini.
Goodbye New York - Juga terbit pada tahun 2013. Sampai di tangan penulis beberapa jam selepas Diari Untuk Ibu. Karya ini umpama ucapan selamat tinggal kepada bumi Amerika setelah aku berjaya menamatkan pengajian. 
Jika ada orang yang tertanya-tanya, bagaimana aku membahagi masa untuk menulis, maka jawapanku, setiap orang tentunya punyai masa lapang sendiri. 
Seperti pemuda yang lain, aku juga gemar bermain permainan video. Kerana mahu menulis, maka aku singkatkan masa bermain.
Jadi, jika kamu benar-benar minat menulis, korbankanlah masa lapang anda untuk menulis. Disiplinkan diri. Tetapkan satu tempoh masa khas untuk menulis. Sehari satu jam misalnya.
Mungkin adakalanya sewaktu kita sudah bersedia untuk menulis, tetapi idea pula kering bagaikan kemarau. Setiap penulis tentunya berdepan dengan masalah sebegini. Jadi, aku tidak meletakkan limitasi untuk berkarya. Tulislah di mana-mana sahaja yang dirasakan sesuai. Saat ilham menjengah minda, segera catatkan! Telefon adalah teman rapatku. Lebih rapat daripada pensel. Benar!
Nasihatku, jadikan apa-apa yang boleh membantu kamu untuk berkarya itu sebagai teman. Selamat menulis. Tulislah perkara yang baik. Moga karya kita memberi manfaat kepada umat sejagat.

Wassalam.

Iwan Reaz
Pusat Kecemerlangan

No comments:

Post a Comment