Wednesday, 11 September 2013

Pengalaman berharga di Mesir ...

Wartawan Bernama Nik Nurfaqih Nik Wil dan jurukamera Zulkarnain Kamaruddin menyertai delegasi Kementerian Pendidikan yang meninjau keadaan di Mesir berikutan pergolakan di negara itu.  Pengalaman berada di negara itu  dari 24 hingga 31 Ogos lepas banyak menguji ketabahan mereka untuk melaporkan bukan sahaja bagi Bernama wires tetapi juga Bernama TV. Inilah catatan Nik Nurfaqih:
"Sebelum bertolak banyak persediaan yang saya buat terlebih dahulu. Walaupun masa singkat tetapi sekurang-kurangnya perlu tahu sedikit sebanyak  mengenai sejarah Mesir serta kronologi berkaitan insiden berdarah di sana yang mengorbankan ribuan rakyat terutama melibatkan peristiwa sejak penggulingan Hosni Mubarak. Selain sejarah, perlu mendapatkan maklumat mengenai bandaraya Kaherah dan statistik rakyat Malaysia di  sana dan lain-lain lagi.


Disebabkan masalah teknikal, saya terbang ke sana sehari lewat daripada delegasi kementerian yang diketuai Menteri Pendidikan kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan juga jurukamera, Encik Zulkarnain Kamaruddin. Hanya wartawan BERNAMA yang mengikuti delegasi. Mujur saya dapat siapkan berita sebaik tiba di Kaherah. Sepanjang kira-kira seminggu di Mesir, kami juga melawat Mansura, Iskandariah, Zagazig dan Tanta.


Untuk ke satu-satu tempat mengambil masa hampir tiga jam. Dengan jalan yang tak ada sistem dan kurang sempurna, memang pening sepanjang perjalanan.
Gambar dan berita pula perlu dihantar mengikut masa di Malaysia sebelum pukul 7 malam agar sekurang-kurangnya berita boleh digunakan media lain. Ini kadang-kadang menjadi halangan kerana waktu di Mesir lewat enam jam, ditambah pula waktu perintah berkurung pukul 9 malam setiap hari, masalah ketiadaan internet dan juga jadual ketat. Namun Alhamdulillah semua dapat disempurnakan, baik menghantar berita untuk wires mahupun BernamaTV.


Keadaan di sana pula tidak seperti dijangkakan. Kehidupan masyarakat berjalan seperti biasa. Pelajar pergi ke sekolah, ahli perniagaan membuka kedai, trafik sesak seperti biasa. Tidak seperti digambarkan di media-media lain. Tiada ancaman di mana-mana tempat. Cuma ada kelihatan askar-askar dengan kereta kebalnya dan juga sniper di atas bumbung bangunan. Tetapi ini pun tidak di semua tempat.
Secara keseluruhannya, keadaan boleh dikatakan selamat untuk para pelajar Malaysia  dan juga pelancong, jika mereka mengikut arahan dan tidak melibatkan diri dengan demonstrasi.
Saya dan jurukamera pulang ke Malaysia pada hari Jumaat dengan penerbangan pukul 11.30 malam.  Namun kami berdua terpaksa bergerak sebelum pukul 3 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah kerana dijadualkan ada demonstasi besar-besaran yang digelar rakyat 'Jumaat Taufan'. Alhamdulillah walaupun terpaksa menghabiskan masa hampir 10 jam di lapangan terbang dan 13 jam di dalam kapal terbang, kami selamat tiba di KLIA. Delegasi KPM bagaimanapun pulang lebih awal pada Khamis, kerana khuatir demonstrasi membahayakan nyawa. Inilah kali kedua saya ke negara krisis selepas Palestin pada Disember tahun lepas."


Nik Nurfaqih Nik Wil

2 comments:

  1. Terbaek nik...kalau ada story arab di piramid tu lagi bagus :)..apa pun Alhamdulillah selamat sampai

    ReplyDelete