Penolong Pengarang Kosmo!
Ahad Faizal Zakaria, yang memenangi Hadiah Kajai pada tahun 2004, berazam melahirkan
lebih ramai wartawan yang mendapat anugerah tertinggi kewartawanan negara itu.
“Ramai orang kata saya
berjaya tetapi kejayaan seseorang itu lebih bermakna jika dapat melahirkan
ramai orang yang berjaya.
“Cita-cita saya ialah hendak
melahirkan lebih ramai pemenang Kajai,” katanya dalam program “Bersama Wartawan”
menerusi Bernama Radio24 (BR24) pagi ini.
Bapa kepada empat cahayamata
itu berkata kewartawanan terbuka untuk semua tetapi memerlukan pengorbanan.
“Kena ada passion, semangat berkobar-kobar yang
mengambil masa hidup kita secara total, dikorbankan kepada kerjaya, kalau tak
ada sifat berkorban, susah nak berjaya.
“Kewartawanan adalah kerjaya
dan bukan setakat nak dapat kerja,” kata Faizal yang memegang jawatan sekarang
sejak tiga tahun lepas.
Dalam program selama 40
minit itu, beliau menceritakan pengalamannya yang menjadi wartawan secara
kebetulan setelah mengenepikan impian melanjutkan pelajaran dalam bidang
perubatan.
Selepas memperolehi diploma
mikrobiologi dari Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1997, beliau berhasrat
menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.
“Bagaimanapun tahun itu
merupakan tahun yang sukar bagi semua orang. Banyak tajaan melanjutkan
pelajaran dibatalkan dan saya adalah antara orang-orang yang kecewa itu.
“Saya membuat keputusan untuk
tidak meneruskan bidang perubatan tetapi mencari bidang lain,” katanya.
Ketika itu beliau melihat
banyak tawaran kerja dalam bidang komunikasi korporat di akhbar-akhbar dan memohon
mengikuti bidang tersebut walaupun tidak
mengetahui langsung mengenainya.
“Sebelum itu, banyak masa di
makmal deal dengan kuman dan
berpakaian putih, kononnya macam doktor,” katanya mengimbau waktu mengikuti
jurusan mikrobiologi..
Beliau meneruskan pengajian
ijazah pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dianugerahkan Bacelor Komunikasi Korporat pada tahun 2002.
Akibat kesukaran mendapatkan
pekerjaan, beliau meneruskan pengajian pada peringkat sarjana di Universiti
Teknologi Mara (UITM) pada tahun sama.
“Saya hanya meminati komunikasi
apabila buat masters, banyak teori
dan sebab dia relate dengan kita,”
katanya yang memperolehi sarjana komunikasi massa dari UITM pada tahun 2005.
Faizal berkata beliau
menjadi wartawan secara kebetulan apabila
teman sekuliahnya yang bertugas sebagai penolong pengarang di Utusan Malaysia
menjemput beliau menyertai akhbar itu.
“Saya masuk Utusan dan join Kosmo apabila akhbar ini dibuka,”
kata Faizal.
Ketika ditanya oleh peneraju
Wan Yuzaini Wan Yahya cabaran yang
dihadapinya sewaktu awal menjadi wartawan, beliau berkata dua perkara yang tidak
digemarinya iaitu menulis dan mengajar akhirnya dapat diatasi setelah menjadi
wartawan.
“Tak ada short cut, kena belajar dan banyak membaca….kita boleh buat jika ada sikap
positif untuk sahut cabaran.
“Saintis manalah tahu tulis
dengan betul, kalau tak tahu (menulis) tanya senior, dia akan basuh kita, dia
akan beri kata-kata nasihat, pesanan mesra tapi akhirnya pesanan itu yang boleh
membantu kita.
“Kalau kita ada satu
pilihan, itulah satu-satunya, maka kita kena buat betul-betul, buat
bersungguh-sungguh...kalau kita anggap wartawan sebagai kerjaya sampingan, ia
tak menjadi,” katanya.
Walaupun telah memenangi Hadiah
Kajai, Fadzil
berkata kemenangan itu hanya sedikit.
Beliau merasakan baharu nak beralih kepada peringkat kanak
kanak kerana pengalaman 20 tahun baharu boleh dianggap wartawan sebenar dan 30 tahun wartawan sejati.
Ketika ditanya sama ada
latarbelakangnya dalam mikrobiologi membantu dalam kerjanya sebagai wartawan,
Faizal berkata ia memang sangat membantu.
“Bidang sains mengajar kita
memahami satu-satu proses dan buat kesimpulan, begitulah juga membantu dalam
pemberitaan terutama investigative
journalism,” katanya.
Beliau memberikan contoh
dalam ubat-ubatan yang mana ramai orang boleh mendakwa mengeluarkan ubat tetapi
adakah ia selamat.
Faizal memenangi Hadiah
Kajai 2004 melalui penulisannya mengenai isu pencemaran air di Lembah Klang.
Artikel dua siri bertajuk
Air Tercemar itu ditulis berdasarkan laporan saintifik terhadap sampel air paip
daripada lebih 20 lokasi sekitar Lembah
Klang.
Keputusan makmal mendapati
sejumlah sampel air tidak memenuhi piawaian minimum berdasarkan Akta Makanan
1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Antara lain, air berkenaan
didapati mengandungi pencemaran yang dikhuatiri boleh menyebabkan kesan
kesihatan kronik termasuk kemungkinan mendapat kanser.
Pendedahan itu menyebabkan Menteri,
Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik mengarahkan
Perbadanan Urus Air Selangor Bhd. (kini dikenali sebagai Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn. Bhd.) untuk mempercepakan penukaran paip air usang di seluruh
Selangor dan Wilayah Perekutuan.
Faizal berkata kemenangan
itu memberikan “feel-good effect”
kepadanya kerana dapat melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat.
“Ia mengubah sedikit pandangan orang ramai terhadap Kosmo yang
ketika itu dilihat sebuah akhbar baru, timbul
persepsi bahawa Kosmo memperjuangkan hak-hak penguna….kemenangan ini membantu
meningkatkan circulation dan akhbar ini dilihat sebagai akhbar kepenggunaan,”
katanya.
Ketika ditanya langkah yang
diambilnya untuk menghasilkan laporan berkenaan, Faizal berkata ketika diberi
tugasan mengenai air tercemar itu, beliau perlu memikirkan bagaimana untuk
membuktikannya.
“Kita hantar sampel-sampel
air ke makmal Sirim, kita ada pakar-pakar air di Malaysia yang boleh menjadi
rujukan, kita call dan jumpa,” kata beliau yang mengambil masa sebulan untuk
membuat penyelidikan bagi artikel berkenaan.
Katanya, penemuan mengenai
air tercemar itu “mengejutkan” beliau memandangkan Lembah Klang ketika itu mempunyai
empat juta penduduk.
“Saya sebagai orang yang terlatih
dalam bidang saintifik sedar bahawa kita tak boleh beri air tercemar kepada masyarakat
kerana akhirnya mereka akan sakit dan menjejaskan negara dari segi kos rawatan,”
katanya.
“Saya telah dihubungi oleh
seorang pakar gigi yang menjemput saya ke rumahnya di Serdang…dia tunjukkan air
di rumahnya yang mempunyai result yang sama dengan apa yang saya laporkan,”
katanya.
Artikel itu menjadi
titik-tolak kepada kewartawanan penyiasatan di akhbar itu dengan menumpukan
kepada isu-isu lain yang menyentuh kepetingan pengguna.
Faizal juga menceritakan
mengenai tulisannya mengenai cetak rompak yang akhirnya menyebabkan tempat
berkenaan “bersih” daripada gejala itu.
Pengalaman itu bagaimanapun
mengajarnya untuk menyemak berkali-kali sesuatu maklumat sebelum menerbitkan
artikel.
“Kita kena mempunyai banyak
sumber, kalau satu itu kita boleh anggap
sebagai memberi maklumat dan menjadi tanggungjawab kita untuk melihat perspektif
lebih luas, merangkumi semua sudut,” katanya.
Ketika ditanya mengenai
cabaran yang dihadapi akhbar, beliau
berkata:
“Paling besar dalam dunia
kewartawanan ialah bagaimana nak isi akhbar untuk hari esok…akhbar hari ini
bukan seperti dulu, wajah baru, pengisian baru kerana sekarang ini macam-macam
persaingan, akhbar perlu lebih kepada berita eksklusif, kalau tidak, ia tak
terjual,” katanya.
Apa lagi yang dikejarnya
setelah memenangi Hadiah Kajai?
“Saya sekarang dalam
peringkat berkongsi pengalaman, macam mana nak fikir secara kreatif dan melihat
isu dari perspektif berbeza.
“Saya ingin menulis berita
yang luar dari kebiasaan, yang mencabar minda,” katanya.