Thursday, 26 February 2015

Wartawan Malaysia Berisiko Tinggi Di Zon Konflik


Wartawan biasanya tidak menulis atau menyiarkan tentang bahaya yang mereka hadapi semasa bertugas mencari berita, kecuali dalam kes-kes ekstrem.
Mereka mahu menulis kisah orang lain tetapi bukan diri sendiri menjadi fokus berita.
Malaysia tidak menghasilkan wartawan perang seperti Ernie Pyle, William Russell ataupun Perdana Menteri Britain Winston Churchill, yang menjadi pemberita perang terkenal pertama dalam Perang Boer pada tahun 1899.
Namun dalam cara mereka yang tersendiri, para wartawan Malaysia mengambil risiko terhadap nyawa mereka sendiri dengan sukarela menerima tugasan di zon-zon konflik, terutama dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV adalah wartawan pertama yang gugur semasa bertugas di kawasan berbahaya di luar negara.
Serangan itu berlaku pada 2 Sept, 2011 di Mogadishu, Somalia ketika Noramfaizul sedang melaporkan untuk Bernama TV dalam satu misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh kelab kebajikan Islam Kelab Putera 1Malaysia.

RISIKO TINGGI UNTUK WARTAWAN

Terdapat risiko yang tinggi untuk para wartawan yang membuat liputan di zon-zon berkonflik - dan tanggungjawab yang sangat besar buat para editor yang menghantar mereka bagi menghasilkan berita dan menetapkan konteks.
Namun begitu, kematian Noramfaizul tidak menghalang wartawan lain daripada menyertai misi-misi kemanusiaan yang lain.
Bagaimanapun, sebelum insiden tragik itu berlaku ke atas Noramfaizul, wartawan Bernama Mohd Faizal Hassan terlebih dahulu menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan turut berhadapan dengan situasi merbahaya.
Mohd Faizal berlepas dari Malaysia pada 3 Mei, 2011, bersama-sama 12 penumpang dengan menaiki kapal milik Malaysia MV Finch.
Kapal kargo ini, yang juga dikenali sebagai Semangat Rachel Corrie, meninggalkan Pelabuhan Piraeus di Greece pada 11 Mei dan memasuki Laut Mediterranean menuju ke Gaza, mengangkut paip perparitan plastik bagi membantu membaikpulih sistem perparitan sepanjang 7.5 kilometer yang musnah semasa pembunuhan beramai-ramai di Gaza dari 2008 sehingga 2009.
Kapal bantuan kemanusiaan Malaysia itu berada di perairan Rafah pada 16 Mei, apabila ia diekori oleh bot-bot tentera laut Israel selama setengah jam sebelum empat tembakan amaran dilepaskan ke udara.
Mohd Faizal berkata dalam insiden pada pukul 6.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia), MV Finch berada di dalam zon keselamatan Palestin, kira-kira 400 meter dari pantai Gaza, apabila ia dipintas oleh pasukan tentera laut Israel, memaksanya berpatah balik dan berlabuh.

PENGALAMAN MENAKUTKAN

Beliau berkata, satu daripada das tembakan hampir mengenai seorang anak kapal Mohd Jaffery Ariffin menyebabkan yang lain panik dan bersembunyi menyelamatkan diri.
"Tentera Israel meminta kami memberhentikan kapal dan keluar dari perairan Mesir. Kami berjaya meminta bantuan melalui radio daripada tentera Mesir. Selepas menyedari kehadiran angkatan tentera laut Mesir, tentera Israel pun beredar," kata Faizal berkongsi pengalaman yang menakutkan itu dengan para peserta bengkel Kewartawanan Digital dan Multimedia di Bernama baru-baru ini.
Mohd Faizal, yang terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Afghanistan dengan Angkatan Tentera pada Oktober tahun lepas dan misi bantuan ke Jepun pada Mac, 2011 berkata ia adalah satu pengalaman yang sangat menakutkan.
Katanya ketika kejadian itu, beliau berada di dek bawah kapal berkenaan bersama wartawan New Straits Times (NST), Iskandar Alang Bendahara dan seorang sukarelawan dari pejabat publisiti (Felda) Jabatan Perdana Menteri, Mohd Radzillah Abdullah.
Beliau berkata selepas kapal itu memasuki perairan Mesir barulah mereka naik ke dek atas dan lega kerana semua orang selamat.
"Kami sangat bersyukur kerana askar-askar Israel tidak naik ke kapal kami," tambah beliau.

MENCABULI UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA
            
Kapal Tentera Laut Mesir memintas dan mengiringi kapal MV Finch ke kawasan perairan Mesir. Kami berlabuh di luar Pelabuhan El Arish dan berada di situ selama lebih seminggu.
"Kami sangat dekat, tetapi jauh. Kami hanya dapat memerhatikan sahaja rakan-rakan seIslam menunaikan sembahyang Jumaat di masjid yang berhampiran," beliau mengingati detik-detik itu semula.
Mohd Faizal berkata tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kapal mereka dan melepaskan tembakan.
Mereka menggunakan peluru anti-pesawat .50mm.
"Tiada kata yang dapat menggambarkan ketakutan kami pada waktu itu. Semasa saat-saat menakutkan, kami berserah kepada Allah dan berdoa Yang Maha Kuasa akan melindungi kami," katanya dan menambah bahawa wartawan NST, Iskandar berjaya merakam video tindakan zalim tentera Israel terhadap mereka.

BERSIAP SEDIA UNTUK SEBARANG KEMUNGKINAN

Wartawan TV Al-Hijrah, Aimy Nor Halimah Abdul Halim dan jurukameranya Muhammad Syafiq Azman memahami risiko yang menanti dan bersedia untuk sebarang kemungkinan apabila mereka menyertai misi yang seumpama ke Lubnan dan Jordan (kedua-duanya pada pertengahan 2014).
Aimy berkata misi 'Return2Aqsa3 - Ramadan Relief Mission' dari 19 Julai hingga 26 Julai, 2014 ke Lubnan adalah pengalaman yang membuka matanya.
Misi bantuan kemanusiaan ini adalah inisiatif Aqsa Syarif, sebuah NGO dan rangkaian pasaraya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, bagi menyediakan bekalan makanan, perubatan dan keperluan pembelajaran bernilai RM500,000 untuk kanak-kanak Palestin di kem-kem pelarian Lubnan.
Aimy dan Muhammad Shafiq menyedari bahawa mereka mempertaruhkan nyawa pergi ke kawasan pergolakan perang di Lubnan bagi melakukan penggambaran kehidupan pelarian Palestin.
"Sangat menyayat hati menyaksikan pelarian Palestin tinggal di kem-kem yang sesak. Saya sangat bersyukur yang saya adalah rakyat Malaysia dan boleh menikmati keamanan dan hidup selesa," kata Aimy.
Menurut United Nations Welfare Relief Agency (UNWRA), seramai 450,000 pelarian berdaftar dengan agensi ini di Lubnan setakat 1 Julai, 2014 dengan 53 peratus tinggal di 12 kem pelarian.
Mereka menghadapi masalah serius seperti kemiskinan, kesesakan, pengangguran, keadaan perumahan yang teruk dan tiada infrstruktur. Konflik yang berlanjutan di Syria telah memaksa ramai pelarian Palestin melarikan diri ke Lubnan untuk keselamatan.

LALI DENGAN PERSEKITARAN

Muhammad Syafiq berkata pada mulanya beliau dijadualkan ke Tebing Barat pada pertengahan 2014, tetapi terpaksa ke Jordan disebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan untuk memasuki Tebing Barat yang dikuasai oleh Israel.
Shafiq yang ditugaskan untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sukarelawan bukan sebagai wartawan, percaya yang pihak berkuasa sengaja melambatkan proses memandangkan beliau dari Malaysia, yang menyokong kuat perjuangan Palestin.
"Mungkin lawatan ini yang diadakan semasa ketegangan yang semakin meruncing selepas pihak Israel menculik, membakar dan membunuh seorang budak lelaki Palestin di Jerusalem Timur pada waktu Subuh awal Julai tahun lepas," kata Shafiq.
"Ia pengalaman yang sangat mencabar buat kami berdua. Kami menghabiskan masa selama dua minggu di dalam dua kem pelarian terbesar dunia yang terletak di Jordan iaitu Al Azraq dan Zaatari," beliau berkata.

KEM PALESTIN

Hampir dua juta pelarian Palestin yang berdaftar tinggal di Jordan. Terdapat 10 kem pelarian Palestin di Jordan setakat 1 Julai, 2014. Pada April 2014, Jordan membuka kem Azraq bernilai AS$63.5 juta yang dibina bagi menempatkan 130,000 orang.
Para pegawai UN menyatakan bahawa kem Azraq, yang merangkumi kawasan seluas enam batu persegi, boleh menjadi lebih besar daripada kem Zaatari, yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Syria. Zaatari sebenarnya bandar keempat terbesar di Jordan dan kem pelarian terbesar di dunia selepas Dadaab di Kenya yang melindungi hampir 360,000 dari Somalia.
Muhammad Shafiq berkata kebanyakan rakaman dan temubual dilakukan dengan tergesa-gesa disebabkan masa yang diberikan sangat terhad di dalam kem tersebut beserta kawalan yang ketat. Sebahagian daripada rakaman diambil dari dalam kenderaan.
Menurutnya, beliau dapat menemubual anak-anak Palestin generasi ketiga, termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, yang membesar di dalam kem. Tidak kira tua atau muda, mereka mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Israel yang menggunakan senjata terhadap wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya di Gaza.
"Bagi pelarian-pelarian ini, sesetengahnya dapat melepaskan diri daripada serangan bom Israel, kem ini menggambarkan kesengsaraan, penderitaan dan memori yang menyedihkan. Setiap orang daripada mereka mempunyai cerita yang sangat mengganggu perasaan mengenai penyeksaan atau menyaksikan sendiri kematian dan kekejaman lain.
"Fokus kami (TV Al-Hijrah) adalah memberi mereka harapan dan kekuatan. Kebanyakan rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka, jauh di sudut hati mereka masih percaya yang keadilan sebenar tidak dapat dicapai selagi mereka tidak dibenarkan pulang ke tanah air," kata Muhammad Shafiq.


Oleh Salbiah Said
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment