Tuesday, 17 February 2015

BERNAMA TV: Lembaga Pengarah Bermesyuarat Minggu Depan


Ahli Lembaga Pengarah BERNAMA TV Synergy Sdn Bhd, syarikat usahasama yang menubuhkan BERNAMA TV, akan bermesyuarat minggu depan untuk menyelesaikan masalah melibatkan saluran berita itu.
Ini berikutan pertemuan antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang memiliki 33 peratus ekuiti dalam syarikat itu dengan wakil-wakil dan satu daripada pemegang saham pihak swasta, Ahad lepas di ibu negara, bagi mencari jalan penyelesaian masalah penanggungan kos operasi yang membelenggu BERNAMA TV sejak empat tahun lepas.
Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh berkata BERNAMA telah menanggung kos operasi BERNAMA TV sejak empat tahun lepas dan keputusan bagi menyelesaikan keadaan itu perlu dibuat.
"Perbincangan lanjut mengenainya akan dibuat pada mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat minggu depan," katanya kepada BERNAMA.
Zulkefli berkata mesyuarat yang diadakan dua hari lepas berlangsung dalam suasana mesra.
"Pada mesyuarat itu, kita mendapat gambaran daripada wakil-wakil dan pemegang saham bahawa mereka tidak mempunyai halangan untuk BERNAMA mengendalikan BERNAMA TV," katanya.
BERNAMA TV ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran berita 24 jam di saluran Astro 502.
BERNAMA TV menghadapi masalah ekoran hasil pendapatan syarikat yang tidak dapat menampung kos operasinya termasuk pembayaran upah dan gaji.
Pada 9 Feb lepas, BERNAMA TV tidak dapat beroperasi seperti biasa berikutan sebahagian petugasnya tidak hadir bertugas ekoran kegagalan syarikat pengendali membayar gaji mereka bagi bulan Januari.
Pada 12 Feb, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengadakan pertemuan dengan 100 pekerja BERNAMA TV untuk membincangkan masalah dan juga masa depan stesen televisyen berkenaan.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment