Friday, 13 February 2015

Wartawan anggap Nik Abdul Aziz ibarat bapa...


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau lebih mesra disapa Tok Guru diibaratkan sebagai seorang bapa yang sentiasa tidak lekang dengan nasihat kepada anaknya.
Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zabidi Ishar, 46, berkata sepanjang 22 tahun bertugas sebagai wartawan di Kelantan, Nik Abdul Aziz bekas menteri besar Kelantan lebih dua dekad sejak 1990, dikenalinya sebagai seorang yang lembut walaupun tegas dalam pendiriannya.
"Tok Guru pernah memberitahu kami, tugas wartawan juga seperti pendakwah tetapi mestilah dilakukan dengan cara dan niat yang betul.
"Sepanjang mengikuti perkembangan kehidupannya, beliau seorang yang sangat mesra dan senang didekati," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Pulau Melaka di sini, pada 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas pulang daripada Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.
Allahyarham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.
Zabidi yang kini bertugas sebagai Pewarta di Muar, Johor berkata walaupun dalam keadaan uzur di saat-saat akhir kehidupannya Nik Abdul Aziz tetap akan memberi kerjasama bila diajukan soalan oleh wartawan.
"Pernah satu ketika, oleh kerana uzur beliau duduk di tangga rumahnya sambil menjawab soalan yang ditanya. Walaupun seminit beliau pasti memberi kerjasama dan menyatakan pendiriannya. Itulah Nik Aziz yang saya kenali.
"Secara peribadi saya turut terasa kehilangannya. Moga rohnya dicucuri rahmat," katanya.
Penulis khas Berita Harian Veena Rusli, 45, berkata Nik Abdul Aziz merupakan seorang tokoh yang mudah didekati dan memahami tugas wartawan walaupun kerap diasak soalan provokasi terutama berkaitan isu politik tanah air.
Veena yang ketika itu bertugas di Kelantan pada 1996 hingga 2003 berkata Allahyarham merupakan seorang yang penuh dengan kiasan mendalam selain gemar berjenaka tetapi kerap disambung dengan "yang itu wartawan tak usah tulislah, saya nak juga bergurau dengan wartawan."
"Saya pernah bertanya apa doanya setiap kali didatangi orang ramai membawa botol air untuk dijadikan air penawar. Tok guru ketawa kecil sebelum menjawab: "Biasanya saya baca surah al-Fatihah. Itu saja. Lebih afdal jika ibu bapa sendiri yang doakan anak.
"Antara pesanan yang kerap diucapkan Allahyarham ialah tugas wartawan ni sama dengan tok guru. Saya mengajar agama, wartawan mendidik masyarakat. Di akhirnya nanti, kita sama-sama akan menjawab di depan Allah SWT," katanya.

Oleh Mohd Fakri Awang Lah
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment