Kementerian
Kewangan akan menyalurkan peruntukan kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) bagi meneruskan operasi Bernama TV, kata Ketua Setiausaha
Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
"Kerajaan
memandang serius terhadap survival Bernama TV, untuk itu kita akan menyediakan
peruntukan tertentu untuk membantu Bernama TV meneruskan perjuangannya
menyalurkan berita terkini kepada rakyat," kata beliau kepada Bernama
selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.
Sehubungan
itu, beliau menolak dakwaan operasi Bernama TV akan ditamatkan.
"Kerajaan
tidak sekali-sekali berfikir untuk menutup Bernama TV. Bernama TV merupakan
satu saluran yang bagus dari segi penyaluran berita, jadi saya rasa tidak
mungkin kerajaan akan mengambil tindakan terburu-buru untuk menutup operasi
Bernama TV," katanya.
"Kerajaan
menaruh harapan tinggi kepada Bernama TV kerana ia adalah saluran berita 24 jam
yang memberikan liputan berita terkini mencakupi pelbagai aspek kepada
rakyat," kata beliau.
Justeru,
Irwan Serigar berkata kerajaan akan memastikan Bernama TV membuat pembaharuan
dari segi teknologi, kemudahan dan latihan di samping gaji pekerja dibayar
selaras dengan pasaran.
Sekiranya
masih terdapat masalah operasi Bernama TV yang merupakan usaha sama kerajaan
dan swasta, beliau mencadangkan agar stesen televisyen itu diambil alih
sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan kementerian yang berkaitan.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment