Tuesday, 17 February 2015

Menara KL mahu kerjasama dengan Bernama...


Menara Kuala Lumpur (Menara KL), yang menyasarkan sejuta pengunjung tahun ini berbanding 850,000 tahun lepas, bersedia menjalin kerjasama lebih erat dengan Bernama.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan yang mengetuai delegasi KL Tower dalam kunjungan ke Wisma Bernama hari ini. Meor Shahril Anuar yang dilantik memegang jawatan itu pada Julai lepas berkata antara kerjasama yang boleh dilakukan ialah dalam mempromosi Menara KL sebagai destinasi ikonik di Malaysia.
Katanya Menara KL menawarkan pelbagai aktiviti menarik tahun ini termasuk mewujudkan zoo mini yang dijangka menarik minat pelajar sekolah.
"Selain daripada zoo mini yang akan diadakan bulan depan, Menara KL juga bercadang memberikan suasana baharu dengan mewujudkan lampu-lampu LED di menara yang berpotensi lebih ramai orang mengunjunginya," katanya selepas  lawatan itu.
Delegasi Menara KL diberikan penerangan mengenai struktur organisasi dan operasi Bernama oleh Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Menara KL setinggi 421 meter yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur merupakan menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara.
Selain menganjurkan pelbagai acara kebudayaan dan sukan lasak sepanjang tahun, Menara KL juga unik kerana terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Nanas yang merupakan antara hutan simpan tertua di Malaysia.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment