Sunday, 30 November 2014

Tetap sibuk selepas bersara...



Setelah sebulan bersara sebagai Pengurus Besar Bernama, jadual harian Datuk Yong Soo Heong tidak kurang sibuknya.
“Orang kata, you mesti dapat peluang untuk bangun lewat tapi tidak juga kerana semasa saya berkhidmat saya tidak banyak masa dengan anak saya,” katanya ketika ditanya makna persaraan bagi beliau ketika ditemubual dalam rancangan “Bersama Wartawan” terbitan Bernama Radio24 pagi ini.
“So sekarang saya ambil kesempatan bersama dengan dia…sebelum dia pergi kerja, saya pun bangun juga dan bersarapan dengannya..
“Kita berbual pelbagai perkara  sebab kadang-kadang kalau dia balik kerja, dia mungkin letih,” katanya mengenai anak lelaki tunggalnya.
“Semasa bersara ni kitapun bukan relaks juga sebab banyak kawan nak jumpa, nak cerita itu, cerita ini, nak buat itu, nak buat ini, sangat seronok juga,” kataya.
Ada yang menghubungi beliau untuk menjadi moderator atau menjadi penceramah  bagi berkongsi pengalamannya yang luas.
Ketika ditanya sama ada beliau kini boleh menumpukan masa kepada badminton, yang pernah beliau ceburi secara aktif, Datuk Yong berkata:
“Saya rasa tak bolehlah dengan badan macam sekarang ni, nak cari mautlah…
“Dulu adalah pernah orang undang seperti mantan Menteri Penerangan Tan Sri Dr Rais Yatim, yang  mengetahui saya pernah aktif, dia jemput tetapi saya tak boleh… sekarang saya lebih untuk bersenam dan berjalan, jogging pun tak berapa berani,” katanya .
Persaraan ini memberikan beliau banyak masa untuk ‘reconnect’ dengan kawan-kawan yang pernah bermain badminton dengannya.
Sebagai contoh, Rabu akan datang ini, beliau akan menghadiri  jamuan malam dengan para pemain badminton negara pada tahun 1970-an termasuk jaguh  Thomas Cup seperti Saw Swee Leong, Tan Aik Mong (adik kepada pemenang perseorangan All-England tahun 1966 Tan Aik Huang) dan James Selvaraj.
Beliau juga terlibat dalam satu jawatankuasa untuk meraikan ulangtahun ke-80 Datuk Teh Kiew San, jaguh badminton negara dalam pasukan yang memenangi Piala Thomas pada tahun 1967.
“Saya diminta untuk dapatkan footage untuk dinner pada 26 Januari ini,” katanya.
Datuk Yong berkata Datuk Teh adalah pemain perseorangan yang berdepan jaguh Indonesia, Mulyadi dalam pertandingan akhir kejohanan itu. Mulyadi,  Rudy Hartono dan Darmadi merupakan para pemain handalan Indonesia ketika itu manakala Malaysia mempunyai Tan Aik Huang, Ng Boon Bee, Punch Gunalan. Tan Yee Khan dan Billy Ng, abang  kepada pemain badminton handalan Sylvia Ng.
Sepanjang 40 tahun perkhidmatannya dengan Bernama yang bermula sebagai pemberita kadet, Datuk Yong telah menemubual banyak tokoh dan memperolehi banyak iktibar.
“Saya kena berterima-kasih kepada Bernama kerana nama Bernama itu sudah masyhur dan memberi kesempatan kepada saya untuk menemubual tokoh-tokoh ini.
“Saya sering melihat  ciri-ciri mereka, fikiran mereka supaya sedikit boleh ambil iktbar daripada pengalaman dan kepakaran mereka, so it is sangat interesting kalau kita dapat temubual tokoh-tokoh seperti ini,” katanya.
Beliau memberi contoh Alan Mulally, yang bersara sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Ekesekutif Ford Motor Company pada 1 Julai lepas.
Datuk Yong telah menemubual Mulally semasa beliau masih seorang pegawai tinggi di Boeing.
“Selepas itu, dia menyertai Ford Motors dan kereta-kereta baru syarikat itu adalah kerana beliau,  jadi inilah yang dapat kita belajar semasa kita temubual,” katanya.
“Mereka ada sense of purpose, ada mission, ada commitment untuk berjaya dalam apa jua lapangan yang mereka lakukan seperti Tun Dr. Mahathir, Akio Morita dan lain-lain  captains of industry Malaysia juga.
“Pernah satu ketika semasa berjumpa dengan Tan Sri Azman Hashim, dia kata duit bukan penting, tapi apa yang penting ialah bagaimana kita menggunakan duit untuk memanfaatkan negara dan masyarakat,” katanya.
Ketika ditanya apakah beliau menggunakan pengalaman itu ketika mengetuai Bernama, beliau berkata:
“Saya perlu ada sense of purpose untuk naikkan lagi nama Bernama, jadikan unit marketing lebih daya saing atau luaskan reach Bernama  Radio 24 agar lebih masyhur dan dikenali.
“Itu sebab apabila Rancangan Merah Putih dicadangkan, saya sokong sangat sebab itu satu anjakan daripada biasa…saya sokong kerana ini akan dapat lagi banyak pendengar,” katanya.
Semasa menjadi pengurus besar, beliau juga mempastikan Bernama berjaya mengadakan beberapa persidangan penting – usaha yang beliau cadangkan beberapa tahun lepas.
“Bernama adalah institusi yang dihormati dan dikenali ramai, kenapa kita tak buat conference… Kalau Financial Times, International Herald Tribune atau South China Morning Post di Hong Kong buat persidangan untuk negara mereka, kenapa Bernama tidak buat demikian.
“Sebab itulah bagi tahun ini kita berjaya buat tiga persidangan, National Economic Symposium, forum GST dan CAPAM Media Forum.
“Ketiga-tiga persidangan ini membuktikan keupayaan kakitangan Bernama untuk membuat sesuatu yang lain daripada laporan, penyuntingan berita. This is something yang kita perlu capitalize atas nama baik dan networking Bernama supaya kita boleh menonjol lagi nama baik negara kerana ada banyak perkara lagi yang boleh kita lakukan,” katanya.
Ketika ditanya apa yang paling membanggakannya selama 40 tahun berada dalam Bernama, beliau berkata: “Paling membanggakan adalah kita diterima sebagai sebuah institusi berita yang baik, yang efektif dan kita ada main peranan, itu sangat membanggakan.”
Beliau juga bangga kerana Bernama kini telah mempelbagaikan produk berita dan foto yang dihasilkan.
“Dulu kita mula dengan berita sahaja yang dihantar kepada suratkhabar dan stesen radio dan tv, kemudiannya mulakan perkhidmatan foto.
“Dalam empat atau lima tahun ini, kita lebih manfaat arkib foto kita dengan menerbitkan buku bergambar ( coffee-table books).
“Kalau dulu, kita ambil gambar dan hantar kepada suratkhabar dan habis cerita tapi khazanah yang kita perolehi sangat mahal, so kita telah guna koleksi  foto untuk terbitkan buku Dr Mahathir, Pak Lah dan baru-baru ini buku untuk meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Yang saya rasa bangga adalah kita boleh guna basic news and images untuk satu usaha adalam era baru…dulunya kita hanya buat berita dan hantar kepada pelanggan tetapi sekarang bahan arkib ini digunakan sebagai bahan rujukan dan ini dijual kepada pihak-pihak yang nak buat research sebagai sumber pendapatan Bernama.
“Saya rasa bangga kerana kita kini lebih sofistikated,” katanya.

No comments:

Post a Comment