Monday, 10 November 2014

Media Pahang adakan program CSR di masjid Hanoi...



FotoBERNAMA
Setelah berjaya menawan puncak Fansipan dan membawa Jalur Gemilang ke dasar Teluk Halong, kumpulan Media Pahang meneruskan hari ketujuh Ekspedisi Road To Fansipan dengan mengadakan program tanggungjawab sosial korporat di Masjid Al-Noor di Hanoi.
Masjid tinggalan zaman penjajah Perancis yang berusia lebih 100 tahun itu merupakan satu-satunya masjid yang berada di bandar Hanoi untuk kegunaan hampir 300 umat Islam di kawasan itu termasuk para diplomat dari negara Islam seperti Malaysia.
Ketua ekspedisi Fazli Ahmad berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara umat Islam Malaysia dan Vietnam selain membantu mereka dengan menyampaikan sumbangan yang dibawa khas dari Pahang.
"Daripada lebih enam juta penduduk di Hanoi, hanya terdapat lebih 300 umat Islam sahaja termasuk 66 penduduk tempatan yang berdaftar dengan masjid ini.
"Mereka inilah yang memerlukan bantuan seperti kain sembahyang, buku-buku mengenai fardu ain, dan Al-Quran menyebabkan kita mengambil inisiatif tampil untuk memberikan sumbangan," katanya kepada Bernama..
FotoBERNAMA
Beliau berkata demikian selepas majlis gotong royong dan penyampaian sumbangan Al-Quran, sejadah, jubah, telekung dan surah Yasin kepada Imam Masjid Al-Noor, Mieu Abbas yang turut dihadiri Penasihat Pertahanan Malaysia di Hanoi, Kol Mislan Anuar.
Dalam majlis itu, Mislan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Mieu
Abbas hasil kutipan daripada 25 pengamal media yang menyertai ekspedisi berkenaan.
Presiden Kelab Media Pahang Nik Naizi Husein pula berkata sumbangan Al Quran, telekung, sejadah itu adalah sumbangan peribadi daripada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sejak awal memberikan sokongan terhadap program itu.
"Program ini juga secara langsung dapat menyedarkan kita tentang keterbatasan yang terpaksa ditempuh umat Islam di negara ini termasuk kekurangan dalam mendapatkan pengetahuan mengenai soal-soal fardu ain dan pakaian itu sendiri," katanya.
Mieu Abbas pula melahirkan perasaan terharu dengan kehadiran pengamal media dari Pahang dan merakamkan penghargaan kepada Tengku Abdullah atas keprihatinan baginda memberikan sumbangan itu.
Beliau yang dibantu jurubahasa Abdul Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Al-Noor berharap ia akan menjadi titik mula kepada hubungan antara masyarakat Islam di Malaysia dan Vietnam.
"Kita juga berharap lebih banyak buku-buku agama yang menerangkan tentang fardu ain dapat disumbangkan untuk menjadi panduan kepada masyarakat Islam di
Hanoi terutama mereka yang baru memeluk Islam.
"Saya juga berharap suatu hari nanti akan dapat ke Malaysia untuk mendalami agama Islam kerana ia lebih dekat berbanding negara Arab Saudi," katanya.
FotoBERNAMA
Katanya, masjid tersebut yang terletak di kawasan Hoan Kiem dalam perancangan untuk diperbesarkan, namun masih mengalami masalah kekurangan dana yang dianggarkan menelan belanja lebih RM3 juta.
Sementara itu, anggota Media Pahang yang menyertai Ekspedisi Road To Fansipan turut membantu mempromosikan negeri Pahang dengan menyebarkan risalah berkenaan Taman Negara dan Kuantan di kawasan menjadi tumpuan pelancong asing di Hanoi semalam.
Mereka turut menerangkan mengenai kawasan tarikan pelancong di Pahang.

Laporan Noor Shamsiah Mohamed
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment