Sunday, 9 November 2014

Ketua Biro Bernama Pahang sertai ekspedisi Media Pahang di Vietnam

FotoBERNAMA


Ekspedisi 'Road to Fansipan' oleh kumpulan pengamal media Pahang dalam misi memacak bendera Pahang di dasar Teluk Halong di Vietnam semalam akhirnya berjaya selepas menempuh arus dasar yang kuat dan jarak penglihatan terhad.
Pada awalnya, 10 peserta ekspedisi termasuk seorang wanita telah ditugaskan untuk menjayakan misi khas tersebut.
Namun hanya tujuh sahaja termasuk Ketua Biro Bernama Pahang Noor Shamsiah Mohamed yang dapat melakukannya berikutan kekangan peralatan yang disediakan.
Presiden Kelab Media Pahang, Nik Naizi Husein, 55, berkata walaupun menghadapi kesukaran, namun beliau bersyukur kerana dapat menjayakan misi dengan hasil kerjasama berpasukan selepas berusaha beberapa kali.
"Keadaan arus di dalam air di Teluk Halong semalam amat kuat menyebabkan kami terpaksa beberapa kali melakukan selaman.
"Jarak penglihatan di dalam air juga hanya 0.5 meter menyebabkan kami tidak dapat melihat keadaan di dasar itu.
"Selain itu kami juga berhadapan dengan masalah keadaan peralatan menyelam yang kurang memuaskan, namun saya bangga kumpulan ini tetap dapat menyempurnakan misi itu kira-kira 4.45 petang semalam ," katanya.
Sementara itu, Mohd Sofiyyuddin Sarani, 29, jurukamera TV3 yang ditugaskan untuk merakamkan detik di dasar laut berkata, ia merupakan antara tugasan yang mencabar.
"Tugas merakam gambar dengan arus di bawah air yang kuat, ditambah jarak penglihatan terhad bukan mudah menyebabkan detik bersejarah sewaktu peserta ekspedisi menurunkan bendera ke dalaman air 10.5 meter tidak dapat dirakamkan," katanya.
Selain Nik Naizi dan Mohd Sofiyyuddin, turut menyempurnakan misi tersebut ialah Ketua Ekspedisi Fazli Ahmad, 41; Mohd Faizol Abdul Aziz, 34; Zainal Abidin Shamsudin, 53; Mohammad Fazrol Md Nasir, 24 dan Noor Shamsiah, 38.
Ekspedisi, anjuran media Pahang dengan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah usaha menerapkan amalan hidup sihat dalam kalangan pengamal media.
Ekspedisi selama lapan hari itu disertai oleh 25 anggota media dari pelbagai organisasi media dan ekspedisi itu turut mendapat tajaan daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Selain Bernama, anggota ekspedisi adalah dari TV3, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Berita Harian, News Straits Times (NST), Kosmo, China Press, Rakyat Post dan Nanyang Siang Pau.

Laporan Noor Shamsiah Mohamed

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment