Sunday, 30 November 2014

Tetap sibuk selepas bersara...



Setelah sebulan bersara sebagai Pengurus Besar Bernama, jadual harian Datuk Yong Soo Heong tidak kurang sibuknya.
“Orang kata, you mesti dapat peluang untuk bangun lewat tapi tidak juga kerana semasa saya berkhidmat saya tidak banyak masa dengan anak saya,” katanya ketika ditanya makna persaraan bagi beliau ketika ditemubual dalam rancangan “Bersama Wartawan” terbitan Bernama Radio24 pagi ini.
“So sekarang saya ambil kesempatan bersama dengan dia…sebelum dia pergi kerja, saya pun bangun juga dan bersarapan dengannya..
“Kita berbual pelbagai perkara  sebab kadang-kadang kalau dia balik kerja, dia mungkin letih,” katanya mengenai anak lelaki tunggalnya.
“Semasa bersara ni kitapun bukan relaks juga sebab banyak kawan nak jumpa, nak cerita itu, cerita ini, nak buat itu, nak buat ini, sangat seronok juga,” kataya.
Ada yang menghubungi beliau untuk menjadi moderator atau menjadi penceramah  bagi berkongsi pengalamannya yang luas.
Ketika ditanya sama ada beliau kini boleh menumpukan masa kepada badminton, yang pernah beliau ceburi secara aktif, Datuk Yong berkata:
“Saya rasa tak bolehlah dengan badan macam sekarang ni, nak cari mautlah…
“Dulu adalah pernah orang undang seperti mantan Menteri Penerangan Tan Sri Dr Rais Yatim, yang  mengetahui saya pernah aktif, dia jemput tetapi saya tak boleh… sekarang saya lebih untuk bersenam dan berjalan, jogging pun tak berapa berani,” katanya .
Persaraan ini memberikan beliau banyak masa untuk ‘reconnect’ dengan kawan-kawan yang pernah bermain badminton dengannya.
Sebagai contoh, Rabu akan datang ini, beliau akan menghadiri  jamuan malam dengan para pemain badminton negara pada tahun 1970-an termasuk jaguh  Thomas Cup seperti Saw Swee Leong, Tan Aik Mong (adik kepada pemenang perseorangan All-England tahun 1966 Tan Aik Huang) dan James Selvaraj.
Beliau juga terlibat dalam satu jawatankuasa untuk meraikan ulangtahun ke-80 Datuk Teh Kiew San, jaguh badminton negara dalam pasukan yang memenangi Piala Thomas pada tahun 1967.
“Saya diminta untuk dapatkan footage untuk dinner pada 26 Januari ini,” katanya.
Datuk Yong berkata Datuk Teh adalah pemain perseorangan yang berdepan jaguh Indonesia, Mulyadi dalam pertandingan akhir kejohanan itu. Mulyadi,  Rudy Hartono dan Darmadi merupakan para pemain handalan Indonesia ketika itu manakala Malaysia mempunyai Tan Aik Huang, Ng Boon Bee, Punch Gunalan. Tan Yee Khan dan Billy Ng, abang  kepada pemain badminton handalan Sylvia Ng.
Sepanjang 40 tahun perkhidmatannya dengan Bernama yang bermula sebagai pemberita kadet, Datuk Yong telah menemubual banyak tokoh dan memperolehi banyak iktibar.
“Saya kena berterima-kasih kepada Bernama kerana nama Bernama itu sudah masyhur dan memberi kesempatan kepada saya untuk menemubual tokoh-tokoh ini.
“Saya sering melihat  ciri-ciri mereka, fikiran mereka supaya sedikit boleh ambil iktbar daripada pengalaman dan kepakaran mereka, so it is sangat interesting kalau kita dapat temubual tokoh-tokoh seperti ini,” katanya.
Beliau memberi contoh Alan Mulally, yang bersara sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Ekesekutif Ford Motor Company pada 1 Julai lepas.
Datuk Yong telah menemubual Mulally semasa beliau masih seorang pegawai tinggi di Boeing.
“Selepas itu, dia menyertai Ford Motors dan kereta-kereta baru syarikat itu adalah kerana beliau,  jadi inilah yang dapat kita belajar semasa kita temubual,” katanya.
“Mereka ada sense of purpose, ada mission, ada commitment untuk berjaya dalam apa jua lapangan yang mereka lakukan seperti Tun Dr. Mahathir, Akio Morita dan lain-lain  captains of industry Malaysia juga.
“Pernah satu ketika semasa berjumpa dengan Tan Sri Azman Hashim, dia kata duit bukan penting, tapi apa yang penting ialah bagaimana kita menggunakan duit untuk memanfaatkan negara dan masyarakat,” katanya.
Ketika ditanya apakah beliau menggunakan pengalaman itu ketika mengetuai Bernama, beliau berkata:
“Saya perlu ada sense of purpose untuk naikkan lagi nama Bernama, jadikan unit marketing lebih daya saing atau luaskan reach Bernama  Radio 24 agar lebih masyhur dan dikenali.
“Itu sebab apabila Rancangan Merah Putih dicadangkan, saya sokong sangat sebab itu satu anjakan daripada biasa…saya sokong kerana ini akan dapat lagi banyak pendengar,” katanya.
Semasa menjadi pengurus besar, beliau juga mempastikan Bernama berjaya mengadakan beberapa persidangan penting – usaha yang beliau cadangkan beberapa tahun lepas.
“Bernama adalah institusi yang dihormati dan dikenali ramai, kenapa kita tak buat conference… Kalau Financial Times, International Herald Tribune atau South China Morning Post di Hong Kong buat persidangan untuk negara mereka, kenapa Bernama tidak buat demikian.
“Sebab itulah bagi tahun ini kita berjaya buat tiga persidangan, National Economic Symposium, forum GST dan CAPAM Media Forum.
“Ketiga-tiga persidangan ini membuktikan keupayaan kakitangan Bernama untuk membuat sesuatu yang lain daripada laporan, penyuntingan berita. This is something yang kita perlu capitalize atas nama baik dan networking Bernama supaya kita boleh menonjol lagi nama baik negara kerana ada banyak perkara lagi yang boleh kita lakukan,” katanya.
Ketika ditanya apa yang paling membanggakannya selama 40 tahun berada dalam Bernama, beliau berkata: “Paling membanggakan adalah kita diterima sebagai sebuah institusi berita yang baik, yang efektif dan kita ada main peranan, itu sangat membanggakan.”
Beliau juga bangga kerana Bernama kini telah mempelbagaikan produk berita dan foto yang dihasilkan.
“Dulu kita mula dengan berita sahaja yang dihantar kepada suratkhabar dan stesen radio dan tv, kemudiannya mulakan perkhidmatan foto.
“Dalam empat atau lima tahun ini, kita lebih manfaat arkib foto kita dengan menerbitkan buku bergambar ( coffee-table books).
“Kalau dulu, kita ambil gambar dan hantar kepada suratkhabar dan habis cerita tapi khazanah yang kita perolehi sangat mahal, so kita telah guna koleksi  foto untuk terbitkan buku Dr Mahathir, Pak Lah dan baru-baru ini buku untuk meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Yang saya rasa bangga adalah kita boleh guna basic news and images untuk satu usaha adalam era baru…dulunya kita hanya buat berita dan hantar kepada pelanggan tetapi sekarang bahan arkib ini digunakan sebagai bahan rujukan dan ini dijual kepada pihak-pihak yang nak buat research sebagai sumber pendapatan Bernama.
“Saya rasa bangga kerana kita kini lebih sofistikated,” katanya.

Thursday, 27 November 2014

Bacalah …




Membaca adalah perintah pertama yang diturunkan melalui wahyu yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Bacalah!
Kini, semakin banyak buku yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat penerbit buku. Bermacam genre dapat dilihat menghiasi rak di toko-toko buku seperti novel, motivasi, agama, bibliografi tokoh terkenal dan lain-lain.
Sekiranya ada pembaca yang mahu membaca buku yang lebih moden, pihak penerbit juga ada menghasilkan buku dalam versi digital yang lebih dikenali sebagai e-book.
Dengan teknologi yang semakin canggih, semua orang boleh membaca di mana-mana sahaja tanpa perlu membawa banyak buku yang berat dan membebankan.
Namun, amalan membaca itu masih belum dihayati sepenuhnya oleh kebanyakan masyarakat masa kini, terutamanya generasi muda yang lebih gemar memilih alternatif lain bagi mengisi masa lapang seperti menonton filem, melayari laman sosial dan bermain konsol video.
Justeru, InfolibNews dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Bernama berganding tenaga   mengadakan program yang dinamakan Hari Membaca & Clientele Café. Bertempat di Pusat Maklumat dan Perpustakaan (INFOLIB) hari ini, program yang pertama kali diadakan itu, bertujuan untuk memupuk minat membaca di kalangan petugas
Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan membaca berita, demo masakan sihat, cabutan peminjam buku bertuah dan persembahan ulasan buku.
Dalam pertandingan membaca berita, para peserta berpeluang merasai pengalaman beraksi di hadapan kamera yang lengkap dengan penataan cahaya.
Dalam pertandingan ulasan buku pula, setiap peserta dikehendaki meminjam sebuah buku dan memahami isi kandungannya. Selepas itu, peserta dikehendaki berkongsi kisah atau maklumat yang diperolehinya kepada para peserta lain di hadapan juri.
“Membaca bukan hanya membaca buku, tetapi juga penting untuk membaca surat khabar dan maklumat positif yang boleh didapati di internet,” ujar Pengurus Kanan Latihan Encik Syed Khedher Ismail semasa acara penyampaian hadiah yang berlangsung sekitar jam 4 petang.
“Apa yang lebih penting, program seperti ini mampu meningkatkan kemahiran dan keyakinan berkomunikasi di khayalak ramai,” katanya.
Tuah berpihak kepada Izzul Zunnurain dari Jabatan Pangkalan Data dan Maklumat Korporat yang berjaya menjadi johan bagi pertandingan membaca berita.  Mohamad Hafizh dan Fatin Farhana pula masing-masing merangkul tempat naib johan dan ketiga.
Bagi pertandingan ulasan buku pula, tempat pertama disandang oleh Che Halit Morat dari Jabatan Pengarang. Kisah Kapal Van Der Wijck yang disampaikannya begitu memukau para juri dan peserta yang lain. Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Azlinda Abdullah dan Mohd Awal Ibrahim.
Program seperti ini perlu diadakan lagi di masa hadapan kerana banyak manfaat yang boleh diperolehi.
Pengurus INFOLIB, Puan Hasnita Ibrahim berkata program ini sesuai untuk diadakan pada bulan kemerdekaan yang akan datang.
“Saya rasa seronok sangat sehingga mencetuskan idea, kita akan adakan sempena bulan kemerdekaan. Kita akan baca buku mengenai semua tentang kemerdekaan negara kita dan  berkongsi dengan rakan-rakan di Bernama,” katanya.

Oleh RIDZUAN MOHD GHAZALI

Wednesday, 26 November 2014

Sokongan padu ahli tentukan kejayaan koperasi...


Koperasi Bernama yang baru bermula memerlukan sokongan padu ahli untuk mencapai kejayaan, kata setiausaha koperasi, Haji Zid Omar.
Beliau berkata warga Bernama tidak seharusnya  berpandangan negatif terhadap usaha murni itu.
“Kita  mempunyai visi dan pelbagai program untuk ahli-ahli.
“Contohnya dalam perniagaan insuran, koperasi Bernama boleh bekerjasama dengan syarikat insurans untuk mendapatkan faedah yang lebih baik bagi ahli-ahli,” katanya
Beliau berkata koperasi juga bersedia mendengar idea daripada ahli-ahli mengenai bidang yang boleh diusahakan dan membawa pulangan untuk faedah ahli.
“Kita berhasrat membayar dividen dan bonus kepada ahli apabila genap tempohnya nanti,” katanya selepas majlis dialog dengan pengurusan Bernama mengenai perkembangan koperasi.
Sejak semalam, beliau mengambil  langkah lebih agresif untuk mendaftar ahli setelah usaha itu dimulakan Julai lepas.
“Sehingga kini, satu buku resit keahlian sudah habis diisi dan sekarang dah masuk separuh  buku baru…kita akan tutup keanggotaan hujung tahun ini,” katanya..
Yuran keahlian ialah RM50 manakala saham minimjm RM100.
Sesiapa yang berhasrat menganggotai koperasi boleh menghubungi saudara Zid di talian 0149341027 atau biro keahlian yang dipengerusikan oleh Saudara Mad Halit Sharif.
Wakil-wakil bagi setiap tingkat di Wisma Bernama juga telah dilantik untuk mendaftar ahli.
Zid berkata Koperasi Bernama telah mendaftar sebagai anggota Angkasa.
Ini membolehkan koperasi Bernama mendapat faedah daripada pelbagai program yang dianjurkan oleh Angkasa.
Menurutnya, Koperasi Bernama telah mengadakan perbincangan dengan My Kad Smart Shopper untuk membolehkan ahli-ahli berbelanja di kedai-kedai terpilih dengan mendapat diskaun dan mata ganjaran.
Kedai-kedai ini termasuk kedai makan, klinik, kedai tayar dan pasaraya.
“Kami juga telah berbincang dengan sebuah syarikat air minuman bertenaga untuk menjadi  agen pemasaran di seluruh negara,” kata Zid

Friday, 21 November 2014

Dare to Dream ...



Apakah yang anda impikan? Sebuah rumah banglo? Atau kereta Mercedes? Atau mempunyai wang yang banyak?
Semuanya boleh tercapai jika anda sentiasa bayangkan (visualize) impian anda, menurut Pengasas dan Pangarah Eksekutif Tha Malaysia Book Of Records Tan Sri Danny Ooi .
“Tengok Perdana Menteri (Datuk Seri Najib), masa dia mula jadi PM, sudah ada impian - 1 Malaysia. So, kalau dia ada ‘dream’, you pun sama boleh, ada ‘dream’ katanya dalam ceramah sejam bertajuk ‘Dare to Dream’ di Wisma Bernama hari ini.
”Kalau mahu dapat apa yang diimpikan itu, mesti ada (6 D’s) -- Discipline (Disiplin), Dedication (Dedikasi), Diligence (Kegigihan), Dare (Keberanian),  Drive (Kesungguhan) dan Desire (Keinginan) “.
“Saya dulu orang susah, dulu tinggal Sentul, emak orang Penang, bapa dari China, wang pun tak cukup mau pergi sekolah..itu sebab saya ‘became good runner; ran away from school”.
Sebaik tamat tingkatan lima, pada awal tahun 1970-an, Ooi terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya dan diterima sebagai pelukis pelan di Ong & Chew, sebuah syarikat binaan.
“Masa itu gaji saya,  RM 60 satu bulan” katanya.
Tempoh pekerjaannya di syarikat itu, bagaimanapun hanya enam bulan memandangkan majikannya berpendapat tulisannya yang ‘buruk’ dianggap menjejaskan kualiti kerja.
Sebagai seorang yang sejak kecil lagi sudah terbiasa mengguna tangan kiri, Ooi sukar melukis pelan dengan mengguna tangan kanan.
“Bagi masyarakat Cina, tangan kidal (adalah) satu ‘taboo’ ” katanya. 
Menurut Ooi, tempoh antara 1977 sehingga 1998 adalah paling sukar dalam hidupnya kerana  terpaksa melalui pelbagai pekerjaan dan sering gagal.
Pernah satu ketika, pada tahun 1987, beliau menjual alat urut kaki (foot massager) di Plaza Yow Chuan. Apabila datang seorang pelanggan ingin mencuba peralatannya, Ooi akan memutarkan kepada kelajuan yang lebih tinggi supaya ia dapat memberi keselesaan maksima kepada pembeli itu.
“Saya tarok speed 3, kasi itu mesin (reflexologi) laju sikit..itu dan orang pun cakap, okay, bagus, bagus..dia pun beli,”  katanya.
Dengan kos peralatan yang agak tinggi beserta harga jualan alat tersebut sebanyak RM1,300, perniagaannya, bagaimanapun, hanya dapat bertahan selama 6 bulan.
Awal tahun 1989, Ooi cuba mengubah nasibnya sebagai pengendali karaoke bergerak.
“Tapi masa itu pakai tape VHS, satu lagu satu tape.., so, kalau 20 lagu, 20 tape mau angkat…pendapatan juga tidak seberapa, simpanan dalam bank saya kosong,”. katanya.   
Tetapi Ooi mempunyai satu impian -- menyediakan buku tentang pencapaian unik rakyat Malaysia. The Malaysia Book Of Records.
Edisi pertama hanya mula dicetak pada tahun 1995 setelah memendamkan impian selama enam tahun.
Ide itu tercetus Mei 1989 sewaktu beliau dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Semua House.
“Saya berfikir, kalau seorang warga India boleh berkayuh basikal tanpa henti dan rekod ini dicatatkan dalam Guiness Book Of Records, kenapa tidak boleh boleh diwujudkan satu lagi buku yang memaparkan rekod-rekod yang dicapai di Malaysia,” katanya.
Malaysia Book Of Records kini dicetak edisi kesembilan dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Antara pencapaian terkandung dalam buku berkenaan ialah bilangan ‘tweets’ terbanyak dalam masa satu jam di mana 3, 611, 323 jumlah tweet direkodkan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkongsi perasaan patriotik mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sempena hari Merdeka tahun 2012.  
Bagaimanapun, untuk merealisasikan buku tersebut juga merupakan satu cabaran baginya.
“Saya nyaris bankrap selepas pelancaran buku itu, (sehinggakan) anak (Tan Sri) Vincent Tan yang merupakan rakan kongsi saya menganggap penglibatan dalam bisnes buku tersebut seolah-olah satu ‘nightmare’ (mimpi yang ngeri) baginya,“ kata Ooi.
Tiga tahun pertama dalam bidang ini merupakan saat paling getir.  Beliau rugi    RM800,000 dan dua rakan kongsinya keluar daripada perniagaan tersebut dan meninggalkannya keseorangan.
“Saya tetap teruskan usaha ini untuk 10 tahun berikutnya,” kata Ooi.
Beliau berkata tanpa iltizam dan inspirasi yang tinggi, tidak mungkin sesuatu perniaagaan mampu bertahan.
Buku itu mencatatkan kejayaan berterusan dengan penampilan 250 episod siri di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selain terlaksana empat acara MBR ‘Night of Achievers’ menjelang tahun 2013.
Impian beliau seterusnya ialah untuk mewujudkan ‘Museum of Achievers’ yang boleh menempatkan hasil kajian,  replika dan pelbagai rekod pencapaian dalam bentuk multimedia secara interaktif untuk kegunaan ramai. 
“Kalau you mau berjaya, mesti ada semangat, mesti ada ‘dream’, berusaha ke arah itu.I’m not from ‘rags to riches’, but from ‘nobody to somebody”. kata Ooi.

Laporan dan foto oleh Syed Khedher Ismail

Thursday, 20 November 2014

Komunikasi mentor-menti...



Bernama merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang telah melaksanakan program pementoran AKRAB secara tersusun, menurut seorang pegawai kanan psikologi perkhidmatan awam.
Encik Ahmad Badruddin Abdullah dari Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memuji usaha Bernama itu setelah mengendalikan bengkel khas “Pemantapan AKRAB Lanjutan” di Wisma Bernama hari ini.
Bengkel sehari itu dihadiri 14 mentor serta 15 menti sebagai susulan kepada sesi perkenalan antara mereka pada bulan Oktober lepas.
Proses pementoran melibatkan lima fasa bermula dengan fasa pertama yang , bertujuan membina kepercayaan di antara mentor dan menti..
Fasa kedua, mengenalpasti jenis dan tahap kompetensi yang difikirkan sesuai untuk diterima pakai oleh menti.
Fasa ketiga dan keempat, menekankan strategi dan perlaksanaan untuk mengukuhkan kemahiran dalam kalangan menti.
Fasa kelima memfokuskan penilaian ke atas mentee setelah selesai tempoh pementoran selama enam bulan.
Dalam tempoh tersebut, setiap menti perlu berjumpa dan berbincang, sebaik-baiknya secara bersemuka, sebanyak dua kali sebulan dengan mentornya. 
Menurut Badruddin, mentor dan menti boleh mengaplikasikan satu atau mana-mana dari empat jenis kompetensi iaitu Kompetensi Profesional, Kompetensi Budaya, Kompetensi Personal dan Kompetensi Sosial, bergantung kepada objektif dan keperluan mereka.      
Kompetensi Budaya, umpamanya berbeza antara satu agensi dengan agensi lain.
Dalam konteks budaya kompetensi Bernama yang wajar diterapkan dalam kalangan menti merangkumi enam nilai-nilai positif iaitu benar, cepat, tepat, lengkap, muafakat dan ketrampilan imej.
Kompetensi Personal pula menyentuh mengenai personaliti individu. Peserta diuji dengan sejumlah soalan untuk mengetahui diri masing-masing sama ada bersifat agresif, analitikal, ekstrovert, intelektual, ketahanan kritik dan kawal diri, sikap menolong dan pencapaian mereka.
Menurut Badruddin, dengan memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing, proses pementoran menjadi lebih mudah dan berkesan.
Kompetensi Profesional menumpukan kepada kecekapan dan kemahiran individu dalam melaksanakan kerja mengikut prosedur bertujuan menyerlahkan kredibiliti dan imej agensi.
Ia mengambil kira fungsi dan tanggungjawab pegawai berkaitan bersama kemahirannya seperti mengurus dan menyelesaikan masalah.
Kompetensi Sosial mengutamakan kecekapan mengendalikan perhubungan di antara ketua dan pekerja selain memenuhi kepuasan pelanggan.
Budaya kelas pertama inilah yang dikehendaki agar dapat direalisasikan dalam kalangan anggota-anggota awam terutama warga Bernama.
Badruddin, 42, yang sedang menyiapkan tesis Phd. mengenai ‘Kepimpinan Beretika’, mengemukakan empat kategori individu daripada model ‘Transactional Analysis’ (Thomas Harris 1960) yang bermatlamat mewujudkan kesefahaman antara mentor–menti ke arah penyelesaian masalah berdasarkan prinsip “You’re Ok, I’m OK”.
Jika kedua –dua mentor dan menti berfikiran terbuka, mempunyai sikap positif dan inginkan kemajuan diri demi kepentingan organisasi , tentu sekali proses pementoran berjalan lancar.
Sebaliknya, jika mentor dalam golongan “I’m Ok” manakala menti  pula “You’re not OK” , atau tidak bekerjasama, ia boleh menjejaskan objektif murni pementoran. 
Proses pementoran dianggap berjaya apabila menti menunjukkan perubahan positf dan kemajuan diri dari semasa ke semasa.
Setiap mentor perlu mencurahkan pengalaman, kecekapan dan ilmu yang dimilikinya kepada menti melalui cara berkomunikasi lisan atau tanpa lisan dalam  mempengaruhi emosi, cara berfikir dan tinghkah laku menti agar dia mencapai kejayaan.

Laporan  Syed Khedher Ismail