Sunday, 22 June 2014

Zalina cekal hadapi persepsi negatif....


Caci cela dan persepsi negatif terhadapnya menjadi perkara biasa bagi wartawan Meja Mahkamah seperti Zalina Maizan Ngah.
“Sesetengah orang berpandangan wartawan ini penyibuk, saya pernah dimarahi oleh isteri seorang tertuduh ketika  saya sedang sarat mengandung anak pertama.
“Ketika itu, saya buat liputan kes seorang artis yang ditahan kerana dadah…isteri dia kata kepada saya ‘awak ini mengandung pun nak menyibuk’… saya rasa  memang negatif,” katanya berkongsi pengalaman dalam program “Bersama Wartawan” yang disiarkan Bernama Radio24 pagi ini.
Beliau juga  pernah ditolak oleh ibu seorang tertuduh yang sedang berjalan keluar dari mahkamah,  mungkin kerana wanita itu tidak boleh menerima hukuman yang dijatuhkan terhadap anaknya.
Zalina juga tidak lupa kata-kata kesat yang dihamburkan kepadanya oleh bapa seorang lelaki yang dituduh membunuh anak teman wanitanya.
“Ramai orang anggap wartawan ini kerja  yang tak ada pilihan, yang kita terpaksa buat.
“Ada yang  tanya saya sama ada kita dibayar mengikut berita… mereka tidak melihat kewartawanan itu sebagai satu kerjaya yang diiktiraf.
“Kita mungkin tak sehebat peguam atau guru tetapi kita mempunyai peranan yang besar dalam dunia,” kata Zalina yang sudah berkhidmat selama 11 tahun di Meja Mahkamah.
“Sebenarnya untuk kategori wartawan mahkamah, 11 tahun adalah masih baru, sebab ada kalangan wartawan mahkamah yang berkhidmat sehingga pencen.
“Saya rasa masih baru kerana pengalaman sentiasa bertukar, sentiasa akan ada cerita dan situasi yang baru, begitu juga dengan kes, teknik pembunuhan, teknik penghujahan dan keputusan hakim yang pelbagai,” katanya.
Beliau meminati  liputan mahkamah kerana “satu ketika dulu saya adalah pembahas di sekolah, jadi saya suka dengan situasi berlawan hujah dan keadaan itu saya perolehi dengan membuat liputan di mahkamah.”
“Ketika saya mula-mula berkhidmat di Bernama, editor ketika itu Encik Amin tanya saya, di mana tempat yang saya suka antara jenayah, sukan,  ekonomi, dan rencana  dan jawapan pantas saya ialah mahkamah.
“Saya rasa mahkamah ialah satu-satu tempat yang membolehkan saya memotivasi diri secara ‘live’, saya dapat lihat bagaimana kasih sayang seorang ibu walaupun anaknya berkali-kali dijatuhi hukuman penjara, bagaimana seorang isteri memaafkan  suami, bagaimana tertuduh yang pada awalnya  didakwa atas tuduhan membunuh ditukar kepada menyebabkan kematian.
“Saya lihat air mata dan kesedihan , bagaimana orang mencari duit nak jamin orang yang disayang.
Ramai yang tidak sedar wartawan mempunyai agenda untuk memberi motivasi, untuk memberi semangat supaya menjadi lebih baik kepada orang lain.
Zalina mengakui bahawa pada peringkat awal membuat liputan mahkamah, beliau mengalami masalah emosi kerana perasaan kasihan daripada membuat berita.
“Pernah ada kes pemandu lori yang membawa lari duit majikan dan tidak memasukkanya dalam mesin ATM tetapi dapat ditangkap… apabila majistret tanya kenapa awak curi , saya jadi emosi  mendengar rayuan dan jawapannya kerana dia kata tak ada jalan pintas lain untuk dapatkan duit bagi pembedahan anaknya.
“Waktu itu dia melutut dalam kandang tertuduh , saya terharu sehingga  saya tak sempat nak salin tetapi melihat sahaja…apabila mahkamah dah buat hukuman, dia melutut pula kepada isterinya,”  kata Zalina
Antara kes berprofil tinggi yang pernah beliau liputi ialah pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, kes pecah amanah wang Tabung Haji dan pencerobohan Lahad Datu.
Menjawab pertanyaan seorang pendengar, Zalina berkata adalah tidak tepat untuk menyatakan wartawan bersikap berat sebelah dengan tidak menyiarkan nama VIP yang bersalah berbanding orang biasa.
“Media arus perdana tidak sama dengan blogger… Kita ada etika, etika kita ialah apabila kita membuat berita, kita tak boleh siar nama orang yang direman sehinggalah dia dihadapkan ke mahkamah dan didakwa , barulah namanya ditulis.
“Kami tetap menjaga aib dan dalam etika kewartawanan  itu adalah perkara utama,” katanya.
Sebagai mukadimah program, Zalina berkata minatnya terhadap kewartawanan mungkin timbul secara tidak langsung.
“Saya berasal dari kampung yang agak terpencil di Tererengganu dan kebayakannya adalah nelayan dan buruh…orang tak tahupun mengenai wartawan.
“Saya suka baca akhbar Utusan Melayu untuk datuk saya, bila saya baca saya terfikir siapa yang tulis semua itu.
“So waktu itu saya tak fikirpun pasal wartawan, kecuali siapa yang menulis.
Zalina berkata semasa di sekolah menengah,  beliau gemar menulis karangan dan apabila guru memberi tajuk karangan, beliau akan “buat extra”.
“Cikgu saya pun memang beri extra untuk saya dan daripada situ, timbul minat untuk menulis .
Menurutnya, apabila mendapat tawaran ke universiti  untuk ijazah pendidikan, beliau meminta bapa menemaninya dari kampung ke pejabat pendidikan di Damansara, Kuala Lumpur untuk menukar kepada kursus kewartawanan.
“Saya masih ingat Timbalan Pengarah jabatan itu kata itulah pertama kali dalam perkhidmatan beliau orang nak tukar kursus dari pendidikan,.ramai yang nak jadi guru.
“So dia  kata anggaplah kehadiran saya ke pejabat itu sebagai jaminan dapat tukar kursus,” katanya.
Walaupun bapanya pada peringkat awal tidak bersetuju dengan minat beliau dalam bidang penulisan, namun akhirnya memberi dorongan apabila nampak Zalina bersungguh-sungguh.
“Saya kini bertuah kerana di kampung saya bukan sahaja saya jadi wartawan tetapI Menteri Penerangan kita Datuk Seri Shabery Cheek  juga adalah sekampung saya… beliau adalah jiran saya.
"Setiap kali berjumpa dengannya, dia akan kata kita berdua terlibat dalam media negara dan ini membanggakan saya."

No comments:

Post a Comment