Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan
agensi berita Indonesia, Antara, mengorak langkah untuk mewujudkan
kerjasama dengan semua agensi berita di Asia Tenggara agar pembentukan
Komuniti Asean 2015 dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di
rantau itu.
Kedua-dua agensi berita itu sepakat bahawa hubungan erat dalam kalangan
agensi berita nasional di Asia Tenggara dapat memberi maklumat dan
kesedaran kepada rakyat bahawa penubuhan Komuniti Asean mampu menjadikan
mereka bangsa bermartabat di peringkat antarabangsa.
Perkara tersebut terkandung dalam Deklarasi Bandung sempena Sidang
Kemuncak Bernama-Antara yang berlangsung selama tiga hari, berakhir
semalam.
Selain itu, bagi memastikan tujuan pembentukan Komuniti Asean yang
saling memahami, sejahtera, dinamik, rukun dan damai, Bernama-Antara
akan melaksanakan peranan sebagai penyalur maklumat kepada rakyat secara
efektif dan sebaik mungkin.
Sidang kemuncak itu juga sepakat bahawa Bernama-Antara akan sentiasa
memperkukuh hubungan serta kerjasama yang telah terjalin erat antara
kedua-dua agensi berita tersebut, sekali gus dapat mengeratkan lagi
hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkefli Salleh mengetuai delegasi
pemimpin kanan pegawai agensi berita Malaysia itu, manakala Antara
diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saiful Hadi dalam sidang kemuncak
itu.
Turut hadir, Ketua Pengarang Antara, Akhmad Kusaeni, Timbalan Ketua
Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk Zakaria Abdul
Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual Bernama,
Mokhtar Hussain serta Ketua Pegawai Operasi Radio24, Azlan Idris.
Sidang kemuncak Bernama-Antara 2014 yang bertemakan "Bersama Merintis
Kejayaan" adalah yang kedua selepas pertama kali diadakan di Melaka pada
2011.
Sementara itu, Zulkefli berkata sinergi antara kedua-dua agensi berita
Malaysia dan Indonesia itu banyak memberi manfaat dan pencerahan
maklumat kepada rakyat kedua-dua negara.
"Kerjasama antara Bernama dan Antara terbukti memberi impak yang cukup
besar bagi meningkatkan hubungan kedua-dua negara baik dari segi sosial,
ekonomi, politik dan budaya.
Perkongsian maklumat antara Bernama dan Antara memberi pencerahan
maklumat...masyarakat kita saling mengetahui antara satu sama lain dalam
banyak perkara," katanya.
Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus menjalin kerjasama dengan
Antara dengan memaksimumkan potensi yang dimiliki masing-masing baik
dalam pemberitaan teks, program televisyen dan radio.
Saiful Hadi berkata Antara dan Bernama merupakan agensi berita yang
sentiasa menjalin hubungan dan kerjasama di rantau Asia Tenggara, malah
setiap hari kedua-dua institusi itu terbabit dalam perkongsian berita
dari Indonesia dan Malaysia.
"Antara dan Bernama memiliki sejarah dan hubungan mesra yang erat dan
peranan kedua-dua agensi berita ini menjadikan hubungan Indonesia dan
Malaysia menjadi lebih dinamik," katanya.
Pada sidang kemuncak itu juga, Bernama dan Antara melancarkan program
pertukaran terbaharu terbitan BernamaTV dan Antara TV berjudul 'Salam
Dari Kuala Lumpur' dan 'Salam Dari Jakarta' yang dijangka disiarkan
mulai 28 Jun ini.
Program 'Salam Dari Kuala Lumpur' selama 30 minit terbitan BernamaTV
yang mengutarakan isu-isu semasa, berita bercorak santai dan kejayaan
rakyat Indonesia di Malaysia akan disiarkan oleh Antara TV di Indonesia,
manakala BernamaTV akan menyiarkan 'Salam Dari Jakarta' terbitan Antara
TV.
Kedua-dua agensi berita berkenaan juga bercadang menerbitkan bersama
tabloid 'Sinergi' yang berkisar pelbagai berita mengenai Malaysia dan
Indonesia tidak lama lagi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment