
Seperti tahun-tahun
sebelumnya, objektif hari keluarga ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan
silaturrahim sesama ahli keluarga. Di samping itu, program ini memberi peluang
kepada kakitangan Bernama untuk berkenalan dengan ahli keluarga rakan-rakan
mereka selain mengurangkan tekanan dek bebanan kerja. Seramai 101 orang petugas
Bernama telah mendaftarkan nama mereka dengan jumlah keseluruhan seramai 392
orang termasuk ahli keluarga mereka.
Lost World of Tambun
disifatkan sebagai sebuah taman tema yang menarik dan unik berbanding taman
tema yang lain kerana ia menggabungkan beberapa elemen dalam sebuah kawasan
yang berskala besar. Di dalam taman tema ini, para petugas dan ahli keluarga
mereka dapat merasai pelbagai jenis keseronokan yang menjanjikan sebuah memori
manis untuk dikenang.
Sekitar jam 11 pagi,
para peserta berkumpul di bawah khemah berwarna ungu yang dipasang khas untuk
warga Bernama. Kehadiran Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman,
Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong, yang juga Presiden KKB serta
Timbalan Presiden KKB, Haji Mokhtar Hussain, memeriahkan lagi acara pembukaan
Hari Keluarga Bernama. Foto beramai-ramai dirakamkan di atas pentas utama
sebagai kenangan. Setelah itu, para peserta bebas untuk melakukan sebarang
aktiviti bersama ahli keluarga mereka di taman tema ini.



Bagi acara di sebelah
malam, para peserta berkumpul di Ballroom Hotel Impiana, Ipoh untuk majlis
makan malam. Hampir semua yang hadir ke majlis ini memakai jersi pasukan bola
yang diminati dengan kelengkapan yang berwarna-warni. Mana tidaknya, hadiah
lumayan menanti peserta yang berpakaian bola piala dunia terbaik.
Majlis
dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Asri Junin. Kemudian, Datuk Abdul Rahman
tampil ke atas pentas untuk memberi ucapan. Beliau yang hadir ke program ini
bersama anak dan cucunya, menyatakan sokongan penuh untuk semua aktiviti yang
dianjurkan oleh KKB. Penampilan Datuk Yong yang memakai topi piala dunia pula
menunjukkan beliau amat sporting dan mudah didekati para petugas Bernama.
Selepas menjamu selera,
beberapa acara diadakan di atas pentas bagi kelompok kanak-kanak, lelaki dewasa
serta wanita dewasa. Acara turut diselang-selikan dengan sesi cabutan bertuah.
Para peserta begitu ternanti-nanti pengumuman pemenang cabutan bertuah untuk
hadiah lumayan yang berupa tiket penerbangan, tv LCD, telefon bimbit Lenovo,
pemain dvd blue-ray dan juga alat ketuhar gelombang mikro. Saudara Yussa Yunus
dari Jabatan Sumber Manusia menjadi pemenang paling bertuah pada malam
berkenaan kerana telah memenangi cabutan hadiah utama iaitu tiket penerbangan
ke Koh Samui, Thailand.
Tahniah diucapkan kepada anggota jawatankuasa KKB yang bertungkus-lumus siang dan malam bagi memastikan program Hari Keluarga Bernama ini berjalan lancar. Sesungguhnya penganjuran program ini merupakan satu kejayaan besar buat KKB yang perlu dibanggakan. Bagi saudara Abu Bakar Mohamed (Jabatan Portal & e-Dagang), beliau cukup berpuas hati dengan kelancaran program kali ini. Beliau yang hadir bersama-sama dengan isteri dan anak-anak berasa amat gembira kerana dapat meluangkan masa berharga di taman tema Lost World of Tambun.
Bagi saudari Nor Azira Mansor
pula (Jabatan Sumber Manusia), beliau merasakan bahawa program seperti ini
sangat menyeronokkan dan perlu diadakan pada setiap tahun. Beliau juga
menzahirkan harapan agar lebih ramai kakitangan Bernama yang menyertai program
ini agar silaturrahim sesama petugas dapat dieratkan lagi.
Tulisan dan foto oleh Ridzuan Mohd Ghazali (Pusat Kecemerlangan Bernama)
Tulisan dan foto oleh Ridzuan Mohd Ghazali (Pusat Kecemerlangan Bernama)
No comments:
Post a Comment