Wednesday 31 July 2013

Memori Kuala Besut


Tugasan mengetuai pasukan Bernama untuk liputan Pilihan Raya Kecil Kuala Besut meninggalkan kenangan manis bagi Editor Meja Berita, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Haji Khairdzir Yunus.
Beroperasi di sebuah resort yang baru dibuka, para petugas dari ibu pejabat yang membantu beliau ialah dua Penolong Editor Leslean Arshad dan Harlina Samson serta wartawan Mohd Yusof Saari, Mohd Faizal Hassan, Salawaty Supardi dan Siti Salwa Shaari serta jurufoto Mahayuddin Mohammad.
Kehadiran mereka bertujuan memperkasakan tenaga Biro Terengganu yang diketuai Amrizan Madian dan wartawan Ahmad Erwan Othman serta jurufoto Arjasneh Ahmad.
Dua orang stringer Biro Kuala Terengganu Nur Fazlizai Ali dan Cikgu Nodin Mahadi serta petugas teknikal Rosamiza Omar  turut membantu.
"Liputan Bernama untuk pilihan raya kecil kerusi DUN Kuala Besut ini boleh dikatakan antara liputan yang terbaik berbanding beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
"Semua isu diliputi malah keputusan tidak rasmi juga dapat dihantar sebelum proses penjumlahan undi bermula. Keputusan rasmi pula dihantar sebaik sahaja diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya tanpa sebarang masalah," kata  Khairdzir.
Penamaan calon diadakan pada 12 Julai manakala pengundian pada 
24 Julai lalu.
Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu apabila calonnya   Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera mengalahkan calon PAS Endot @ Azlan Yusof, seorang peniaga dengan kelebihan 2,592 undi majoriti.
Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan 5,696 undi daripada sejumlah 14,108 yang telah menunaikan tanggungjawab masing-masing atau kira-kira 80 peratus daripada 17,683 pengundi berdaftar di DUN Kuala Besut.
PRK itu diadakan selepas berlaku kekosongan akibat kematian ADUN-nya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.
"Semua liputan berjalan lancar dan pasukan Bernama telah menunjukkan semangat bekerja secara "teamwork" yang sangat baik,” kata Khairdzir.
Operasi liputan Bernama berakhir secara rasminya pada Jumaat, 25 Julai 2013 dengan berita rangkuman dan analisis mengenai PRK yang telah berlangsung dan satu berita mengenai wakil rakyat yang baharu memulakan tugas hari pertamanya.
Kuala Besut, yang menghadap Laut Cina Selatan, tidak hanya menambat hati kerana keindahan pemandangannya tetapi juga kehidupan penduduknya.
Selain makanannya murah dan enak, dialek penduduk yang bersempadan dengan Kelantan itu menarik perhatian Khairdzir.
"Tempat penginapan di Tanjung Demong Beach Resort juga selesa dan memuaskan, ada sahur disediakan dan terletak di tepi pantai Teluk Demong yang memberikan ketenangan suasana santai seolah-olah kita bekerja dalam bercuti," kata beliau.
Lebih menyeronokkan, kata beliau ialah bekerja dalam bulan Ramadan membuatkan suasana kempen tenang dan tidak agresif.
Malah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyifatkan PRK kali ini sebagai PRK yang paling tenang dalam sejarah pilihan raya di negara ini dan harus menjadi ikutan pilihan raya lain pada masa akan datang.
Di Kuala Besut  terdapat dua bazar Ramadan iaitu di Kampung Raja dan di tapak Pasar Tani Kuala Besut yang menawarkan pelbagai masakan khas dan tradisional Kelantan/Terengganu seperti kuih akok, nasi dagang, nasi kerabu, ayam percik, satar dan lain-lain.
Wartawan Salwa dan Salawaty mengakui tiada makanan yang tidak enak yang dibeli di bazar Ramadan itu walaupun makanan itu dipilih secara rambang.
"Lagipun harganya murah, sebagai contoh satu cucuk satar yang mengandungi tiga biji satar baru seringgit berbanding dua ringgit di KL," kata mereka.
Cuma para peniaga di situ agak sukar memahami dialek KL yang dipertuturkan oleh petugas Bernama kerana rakyat tempatan bertutur dalam dialek Kelantan.
"Sebagai contoh apabila saya minta untuk membeli ayam percik makcik penjual tidak faham dan hanya faham setelah anaknya menterjemahkannya kepada "aye". Begitu juga seringgit disebut "serial"," kata Khairdzir.
Yang menjadikan PRK kali ini lebih santai menurut beliau adalah kedudukan Kuala Besut sebagai pintu masuk ke Pulau Perhentian yang merupakan antara pulau tercantik di dunia dan menjadi destinasi pelancongan antarabangsa.
Hampir setiap hari pemimpin pusat dan negeri serta calon silih berganti ke Pulau Perhentian untuk berkempen kerana pulau yang dihuni oleh lebih 2,000 penduduk itu juga terletak dalam kawasan DUN Kuala Besut.
Khairdzir sendiri berkesempatan menginap semalam di Sharila Beach Resot di Pulau Perhentian Kecil kerana membuat liputan majlis berbuka puasa Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari bersama penduduk Pulau Perhentian. Program yang dikenali dengan nama "Kenali Jiran" itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Khairdzir dan Puan Harlina yang ditemani dua petugas Biro Bernama KT, Tuan Azam dan Moksin telah ke Dungun untuk mengunjungi bekas editor Meja Berita Encik Ali Mamat.
Walaupun telah bersara sejak 2007, 'sifu' bagi sebilangan besar wartawan Bernama, Encik Ali kelihatan sihat dan ceria.
Beliau yang disyaki menghidap barah hati telah menjalani prosedur rawatan membuang ketumbuhan dalam perutnya sebelum ini namun doktor baru-baru ini mengesan ketumbuhan baru.
Beliau menerima rawatan secara berkala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
"Marilah kita sama-sama mendoakan semoga beliau cepat sembuh," kata Khairdzir.
Menurut isteri Encik Ali, walaupun sakit beliau masih giat dengan aktiviti kegemarannya iaitu memancing dan menjala ikan.
Encik Ali, yang mempunyai dusun durian di Hulu Terengganu berhampiran Tasik Kenyir, turut mempelawa kami mengadakan rombongan ke dusunnya pada musim durian yang akan datang.
Beliau turut berkirim salam kepada sesiapa jua yang mengenalinya. 
Usaha Haji Khairdzir dan Puan Harlina untuk menjejaki seorang lagi "sifu" iaitu bekas Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Am Bernama dan Pengarah NAM News Network (NNN), Encik Rachman Nordin atau dikenali sebagai "Roger", menemui jalan buntu apabila alamat tempat tinggal beliau di Dungun tidak diketahui sesiapa dalam kalangan kami. 



No comments:

Post a Comment