Thursday 25 July 2013

Melangkah dengan bergaya….

Keceriaan terpancar pada wajah  40 penghuni Rumah Anak Yatim Darul Aitam di Kuala Selangor  apabila  berpeluang memilih sepasang kasut baharu dan menerima duit raya sebagai persiapan menyambut Syawal daripada Persatuan Suri dan Anggota  Wanita (Benita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari  ini.
'Program Sepatu Raya Untuk Si Anak Yatim' itu dilaksanakan hasil sumbangan anggota Benita dan petugas Bernama yang mencecah lebih RM3,000.
Setiausaha Benita Rohana Mustaffa berkata program tahunan itu diperkenalkan sejak 2011.
"Benita mencari sedikit kelainan di dalam pendekatan amalnya apabila menumpukan kepada pemberian kasut raya dan memilih rumah anak yatim di pinggir bandar yang kurang mendapat perhatian," katanya ketika membawa anak yatim itu membeli-belah di Kuala Selangor.
Kedai kasut yang dipilih untuk program amal itu memberikan kerjasama kepada Benita dengan menawarkan diskaun istimewa.
Penyelia Rumah Anak Yatim Darul Aitam Ustaz Mohd Manar Bajuri berkata ini adalah kali pertama penghuni di situ berpeluang memilih kasut raya masing-masing.
Beliau berkata rumah anak yatim itu, yang beroperasi sejak  dua tahun lepas, menjaga kebajikan 66 anak yatim berusia dari lima hingga 15 tahun.
"Saya amat berharap bantuan dapat terus disalurkan ke Darul Aitam yang memerlukan sumbangan seperti bantuan persekolahan, Hari Raya dan juga keperluan harian," katanya.
Seorang penghuni Darul Aitam, Mohd Aqil Yahya, 11, berterima kasih kepada Benita kerana memberinya peluang memilih sepasang kasut berwarna putih.




No comments:

Post a Comment