Sunday 21 July 2013

Bersama Mu, Bersama Wartawan ...

Banyak pengalaman dilalui Mazlin Nordin dalam menerbitkan program televisyen seperti “Bersama Mu” yang mula disiarkan TV3 lapan tahun lepas.
Program itu yang kini memasuki fasa kedua dengan judul “Potret Bersama Mu” telah membawa faedah kepada lebih 400 keluarga untuk keluar dari kancah kemiskinan.
“Ini betul-betul kerja kebajikan kita secara berterusan,” kata Mazlin, yang telah bertugas hampir 20 tahun dengan TV3 bermula sebagai wartawan dan kini penerbit eksekutif.
Pagi ini, Mazlin, yang membahasakan dirinya ‘Chik Inn’, berada di konti Bernama Radio24 untuk berkongsi pengalamannya dalam program “Bersama Wartawan” diterajui Wan Yuzaini Wan Yahya.
Ketika ditanya peristiwa yang tidak dapat dilupa ketika mengendalikan program itu, beliau menceritakan mengenai sebuah keluarga yang tinggal di kaki Gunung Kinabalu yang dikunjunginya pada tahun 2005.
Si suami seorang  petani bukit yang bekerja di kebun orang manakala rumahnya tiada bekalan air dan elektrik melainkan lilin untuk menerangi malam.
“Malam tu, apabila dia balik dari menghantar sayur,  kami sudah standby dan memberitahunya supaya buat seperti biasa.
“Diapun pergi ke dapur…ambil nasi dan letakkan dalam pinggan anak-anaknya yang sabar menunggu,
“Selepas tu dia letak air dalam pinggan anak-anaknya dan membuka botol yang mengandungi garam dan dituangkan ke dalam pinggan.
Mazlin ternyata sebak apabila menceritakan bagaimana mereka menyudahkan makanan dengan menghirup air itu “seolah-olah kuah tom yam atau sup tulang yang paling enak”.
“Itulah makanan mereka setiap hari…semua kami termasuk jurukamera yang macho pun bergenang air mata,” katanya.
Kedaifan keluarga itu amat menginsafinya apabila membandingkan dengan orang lain yang boleh menukar makanan mengikut selera.
“Jangan kita bazir makanan…dalam bulan Ramadan ini, maaf cakaplah, kadang-kadang kitapun terlepas juga.
“Ingatlah…buffet yang mahal-mahal ini, masyaAllah banyak lagi orang yang boleh makan,” kata Mazlin.
Ditanya mengenai keadaan keluarga berkenaan pada ketika ini, beliau gembira kerana mereka berjaya dengan sokongan yang diberikan.
“Ada anaknya yang belajar di KL dengan mengambil IT, rumahnya pun dah elok, ada TV besar,” katanya yang bertindak sebagai penerbit bagi Potret Bersamamu – fasa kedua yang merakam kembali perkembangan keluarga-keluarga yang muncul dalam siri terdahulu.
Dalam program bual bicara selama 50 minit itu yang mula ke udara dua bulan lepas, Mazlin turut berkongsi hobinya yang unik – mengumpul poskad.
Hobi itu bermula sejak kecil, semasa “darjah tiga atau empat”, setelah mengikut keluarga ke sana sini.
Setelah bekerja, hobi itu semakin mekar kerana beliau akan mengirim poskad kepada dirinya sendiri dari tempat-tempat beliau ditugaskan.
Ia menjadi catatan perjalanan serta pengalaman hidupnya, kata Mazlin yang masih menyimpan poskad yang dikumpul dari tahun 1970-an.
“Memang ada hajat saya nak buat buku sebelum bersara,” katanya yang  dinobatkan sebagai Tokoh Pekerja Wanita Kebangsaan 2003 dan menerima anugerah daripada idolanya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
“Bila saya dimaklumkan oleh bahagian sumber manusia kami, saya betul-betul terperanjat juga dicalonkan kerana biasanya wartawan dicalonkan untuk anugerah kewartawanan,” katanya .
“Saya selalu sarankan kepada staf saya bahawa apabila kita bekerja, kita jangan berkira.
“Kita mesti ada disiplin…jangan bila kita bekerja hingga larut malam, kita kata bos bukannya nampak dan kita  buat kerja lebih kurang aja…tak boleh.
“Saya selalu pesan, mungkin kita kata dia tak nampak tapi dia nampak dan Allah nampak,” katanya.

No comments:

Post a Comment