Tuesday, 23 January 2018

Petugas Media Terengganu Hadiri Taklimat Pilihan Raya Oleh SPR

Lebih 70 petugas media daripada pelbagai agensi media cetak dan elektronik di Terengganu hari ini menghadiri taklimat pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Taklimat selama empat jam itu bertujuan memberi penerangan mengenai peranan dan tugas media sepanjang proses pilihan raya yang bakal berlangsung.
Petugas media Jabatan Penerangan, Shuhaimi Ahmad berkata taklimat itu sangat tepat pada masanya memandangkan pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) akan berlangsung tidak lama lagi.
"Selama ini SPR sentiasa diserang dari pelbagai sudut oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menimbulkan persepsi negatif terhadap kewibawaan dan ketelusannya.
"Namun, taklimat hari ini yang menceritakan proses perjalanan pilihan raya dari bermulanya pembubaran parlimen sehingga pewartaan keputusan pilihan raya baharu membuktikan SPR sangat telus dalam menjalankan tanggungjawabnya.
"Keyakinan kepada SPR semakin tinggi selepas saya mengikuti taklimat ini dan pasti saya akan berkongsi maklumat yang benar ini kepada lebih ramai orang di luar sana agar masyarakat tidak lagi terjebak dengan persepsi tidak tepat terhadap SPR," katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Pilihanraya Negeri Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry.
Petugas media dari Harakah, Khairul Azlam Mohamad pula berkata berdasarkan pemerhatiannya daripada taklimat itu, ketelusan SPR boleh dipercayai memandangkan semua prosedur sepanjang proses pengundian berjalan adalah sangat ketat.
"Kita berharap SPR akan betul-betul jadi orang tengah dalam proses pengundian PRU ke-14 nanti yang dijangka lebih sengit dari sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment