Kerajaan
akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu
yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau
berkata langkah itu perlu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci
kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan
berita palsu.
"Kita tidak mahu berita palsu
ini tersebar luas. Ini bukan bererti kita kawal internet, internet bebas lagi
tetapi kebebasan itu mestilah ada dengan unsur kebertanggungjawaban,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas ditanya mengenai rancangan beberapa negara memperkenalkan
undang-undang serupa dalam usaha mengekang berita palsu.
Terdahulu Najib menghadiri majlis
bersama penjawat awam persekutuan dan negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Antara lain media melaporkan
Perdana Menteri Britain, Theresa May mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi
meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen
penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.
Sebelum ini, Presiden Perancis,
Emmanuel Macron pernah berkata, mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu
yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara
itu berlangsung.
Dalam pada itu, Najib berkata
berita palsu akan turut menjejaskan keharmonian pilihan raya umum seperti yang
berlaku sebelum ini.
Katanya, Barisan Nasional (BN)
menjadi mangsa kepada berita palsu dan fitnah termasuk kononnya membawa 40,000
pengundi warga Bangladesh, yang disebar pada hari pengundian.
"BN juga pernah jadi mangsa
kepada serangan berita palsu kononnya black
out (bekalan elektrik terputus), padahal orang mesti fikir kalau black out pun masih siang hari.
Kita tutup peti undi pada pukul 5
dan 5.30 (petang), masih cerah lagi, masih boleh kira lagi...counting agent pembangkang pun ada kat
situ, jadi sistem kita tidak boleh nak tipu sebenarnya," katanya.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment