Friday, 26 January 2018

Azman Ziarah Bekas Pengurus Besar Bernama Di HTJ

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang hari ini menziarahi bekas Pengurus Besar Bernama Mohd Raus Borhan, 71, di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.
Azman yang tiba di HTJ pada 10 pagi ini meluangkan masa kira-kira sejam bertanya khabar mengenai Mohd Raus menerusi adiknya, Anuar.
Anuar bersama adik-beradiknya yang lain menjaga abangnya (Mohd Raus) secara bergilir di hospital itu memandangkan abangnya tidak mempunyai anak.
Mohd Raus yang berasal dari Kuala Pilah, mula mengalami strok pada Mei 2016 dan dimasukkan ke hospital sejak sebulan lepas sebaik dikesan menghidap strok otak.
Azman yang turut melahirkan simpati berkata Mohd Raus banyak berjasa dalam memajukan Bernama hingga sampai ke tahap hari ini.
"Saya dan seluruh warga Bernama mendoakan semoga beliau cepat sembuh," katanya.
Mohd Raus yang mendirikan rumahtanga bersama Farida Jehan itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.
Sebelum menyertai Bernama pada 11 Mac 1991 sebagai pengurus besar, beliau pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah di Kementerian Kewangan pada 1969 hingga 1973 dan kemudiannya menyertai Bank Hong Kong dan Shanghai, lima tahun selepas itu.
Pada 1979, anak kedua daripada sembilan beradik itu menyertai Petronas sebagai timbalan pengurus unit perancangan korporat dan United Asian Bank sebagai timbalan pengurus besar pada 1981 hingga 1989 sebelum memilih skim pemberhentian secara sukarela (VSS).
Mohd Raus yang pernah menerima pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M.) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 1995, bersara daripada Bernama pada 10 Mac 1998.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment