Friday, 19 January 2018

Pengerusi Bernama Ziarah Jurugambar Hidap Strok Ringan...

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang hari ini menziarahi jurugambar agensi berita itu Mohd Hamzah Md Som, 52, yang mengalami strok ringan pada Disember lepas.
Dalam kunjungan selama kira-kira sejam di kediaman jurugambar itu di Senawang, Azman sempat menitipkan kata-kata semangat buat Mohd Hamzah agar segera pulih daripada masalah kesihatan yang dialami.
Menyertai kunjungan itu ialah isteri Azman, Datin Seri Siti Zalihan Amin, Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan Mohd Hisham Abdul Rafar dan beberapa rakan setugas.
Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Azman menasihatkan semua petugas agensi berita itu supaya tidak berkompromi dalam soal kesihatan meskipun sibuk dengan tugasan seharian.
"Saya harap (masalah kesihatan yang dialami Mohd Hamzah) ini dapat mengingatkan terutama saya sendiri dan petugas lain di Bernama di mana dalam kesibukan tugas kita, jangan lupa menjaga kesihatan dan kita tahu profesion kita terlalu stres.
"Apa-apa pun kita lakukan, akhirnya kesihatan juga yang harus kita pentingkan. Pada saudara Hamzah, saya harap beliau kembali bersemangat. Jika ikuti saranan doktor, Insya-Allah keadaannya akan pulih seperti sedia kala," katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata Bernama akan menyalurkan bantuan kepada Mohd Hamzah bagi meringankan beban yang dihadapinya.
"Kita ada tabung kebajikan untuk pekerja dan saya akan pastikan bahawa bantuan tabung akan dihulurkan kepada Hamzah secepat yang mungkin," katanya.
Sementara itu, Mohd Hamzah melahirkan rasa terharu dengan kunjungan pengurusan tertinggi Bernama yang disifatkannya telah memberi perangsang untuk beliau kembali pulih seperti biasa dengan cepat.
"Saya berterima kasih di atas kunjungan Datuk Seri Azman, bos serta rakan-rakan setugas lain yang banyak memberi semangat untuk saya selama ini untuk kembali pulih seperti sedia kala," katanya.
Mohd Hamzah berkata keadaannya kini beransur baik dan masih mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Senawang dan Hospital Tuanku Jaafar serta rawatan alternatif seperti akupuntur bagi proses pemulihan.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment