Wednesday, 31 January 2018

Melaksanakan kerjasama BNC-TVRI...

Menindaklanjuti MOU antara TVRI dan Bernama News Channel (BNC) Malaysia, tujuh produser BNC dipimpin oleh COO BNC, Hakimi M Zain, berkunjung ke TVRI untuk segera merumuskan pertukaran berita dan program.
Mulai pertengahan Februari, masyarakat Indonesia di Malaysia dapat menikmati berita dan features tentang Indonesia dari TVRI.
Sebaliknya masyarakat Indonesia akan mendapat inforrmasi tentang 2 juta lebih orang Indonesia yang bekerja dan bermukim di Malaysia yang diproduksi oleh BNC Malaysia.
(Catatan dan foto Facebook Apni Jaya Putra)


Tuesday, 30 January 2018

Jawatankuasa Khas kaji undang-undang kekang berita palsu...


Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita  palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawatankuasa itu bermesyuarat buat kali pertama minggu lepas dengan dihadiri  wakil Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Majlis  Keselamatan Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Beliau berkata Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga bersetuju supaya jawatankuasa itu turut disertai badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan serta Anggota Parlimen.
"Ini bagi memastikan usaha kerajaan dalam menangani isu ini mendapat sokongan pelbagai pihak dan melalui proses perundingan bersama-sama semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan mengkaji undang-undang yang berkaitan dan peruntukan dalam undang-undang baharu untuk pertimbangan Kabinet. 
Azalina berkata kerajaan juga berharap undang-undang baharu itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang akan datang.
Buat  masa ini, katanya, terdapat beberapa akta berkaitan isu itu seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lepas.
"Oleh itu, wajar bagi kerajaan meneliti sama ada peruntukan sedia ada masih boleh diguna pakai untuk menangani ancaman baharu yang bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk cetakan dan penyiaran malah dalam platform media dalam talian," katanya.
Beliau berkata langkah baharu untuk menangani penularan berita palsu perlu diambil supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita tidak sahih serta memastikan keselamatan negara terus dipelihara.
Pada Ahad lepas, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu, susulan langkah beberapa negara memperkenalkan undang-undang serupa.
Menurut laporan media, Perdana Menteri Britain Theresa May mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.
Sebelum ini, Presiden Perancis Emmanuel Macron dilaporkan berkata mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.
-- BERNAMA

Operasi di Tingkat 9...


Monday, 29 January 2018

Kemudahan Cuti Ehsan untuk Petugas Kontrak...

Kemudahan Cuti Ehsan yang dinikmati petugas tetap Bernama akan dipanjangkan kepada Petugas Kontrak Bernama.
Jawatankuasa Pengurusan meluluskan cadangan berkenaan yang dikemukakan oleh Bahagian Sumber Manusia pada mesyuarat bulanannya di Wisma Bernama hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Cuti Ehsan membabitkan cuti bergaji penuh bagi keadaan-keadaan berikut:

i.              Kematian ahli keluarga terdekat
3     hari (termasuk cuti hujung minggu/ (&) hari kelepasan am)

ii.            Isteri bersalin
7     hari (termasuk cuti hujung minggu/ (&) hari kelepasan am)

iii.           Bencana (kebakaran/banjir/ tanah runtuh dll)         
               Tiada had, bergantung kepada nasihat (pengesahan) pihak berkuasa

Cadangan itu diluluskan sebulat suara sebagai satu cara pihak majikan menjaga kebajikan petugas kontrak. Ia memberi kemudahan yang sama dinikmati oleh petugas tetap kepada petugas kontrak.
Petugas yang ingin mendapatkan kemudahan-kemudahan tersebut perlu mengemukakan permohonan serta dokumen sokongan yang berkenaan kepada Bahagian Sumber Manusia bagi tujuan rekod.


Sunday, 28 January 2018

Kaji Perkenal Undang-undang Kekang Berita Palsu...

Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata langkah itu perlu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.
"Kita tidak mahu berita palsu ini tersebar luas. Ini bukan bererti kita kawal internet, internet bebas lagi tetapi kebebasan itu mestilah ada dengan unsur kebertanggungjawaban," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditanya mengenai rancangan beberapa negara memperkenalkan undang-undang serupa dalam usaha mengekang berita palsu.
Terdahulu Najib menghadiri majlis bersama penjawat awam persekutuan dan negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Antara lain media melaporkan Perdana Menteri Britain, Theresa May mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.
Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah berkata, mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.
Dalam pada itu, Najib berkata berita palsu akan turut menjejaskan keharmonian pilihan raya umum seperti yang berlaku sebelum ini.
Katanya, Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa kepada berita palsu dan fitnah termasuk kononnya membawa 40,000 pengundi warga Bangladesh, yang disebar pada hari pengundian.
"BN juga pernah jadi mangsa kepada serangan berita palsu kononnya black out (bekalan elektrik terputus), padahal orang mesti fikir kalau black out pun masih siang hari.
Kita tutup peti undi pada pukul 5 dan 5.30 (petang), masih cerah lagi, masih boleh kira lagi...counting agent pembangkang pun ada kat situ, jadi sistem kita tidak boleh nak tipu sebenarnya," katanya.
-- BERNAMA

Saturday, 27 January 2018

Mengembangkan bakat penulisan...

Dalam usaha memberi ruang kepada orang awam untuk  mengembangkan bakat penulisan, sekumpulan penulis bersatu menubuhkan Kelab Penulis Buku Intelek (iAuthors Club).
Pengerusinya, Peter Yee  berkata kelab yang ditubuhkan sejak 2015 itu bertujuan untuk membantu orang awam yang berminat dalam bidang penulisan tetapi tidak tahu cara merealisasikan impian tersebut.
“Apabila menjadi anggota kelab ini, orang awam akan diberi pendedahan bagaimana cara menulis  buku hingga cara memasarkan buku tersebut, kami akan mengajar dan membantu keseluruhannya.
"Kami juga sering mengadakan bengkel dan  kelas dengan menjemput pengajar yang profesional untuk berkongsi ilmu masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran Kelab Penulis  Buku Intelek, di Sri Petaling hari ini.
Sementara itu, bekas Pengurus Besar, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong berkata penulisan buku adalah terapi terbaik untuk meluahkan pandangan serta mencurahkan emosi di samping dapat berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan pembaca.
“Sekurang-kurangnya apabila kita sudah tiada kelak, kita dapat meninggalkan sesuatu kepada generasi akan datang dan kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang boleh dikongsi menerusi penerbitan buku serta tidak akan hilang begitu sahaja,” kata Yong, seorang daripada tetamu undangan pada majlis tersebut.
Seorang anggota iAuthors Club, Clement Heng, 59, berkata  penubuhan kelab tersebut memberi peluang kepadanya, yang telah pun bersara, untuk berkarya dan menghasilkan sebuah buku.
“Sebelum ini, saya mahu menjadi penulis tapi tidak jumpa platform yang betul...bila sertai kelab ini saya dibantu untuk menulis dan seterusnya mengeluarkan buku,” katanya.
Orang awam yang berminat menyertai kelab tersebut boleh emelkan maklumat diri ke contactiauthorsclub@gmail.com.
-- BERNAMA

Friday, 26 January 2018

Azman Ziarah Bekas Pengurus Besar Bernama Di HTJ

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang hari ini menziarahi bekas Pengurus Besar Bernama Mohd Raus Borhan, 71, di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.
Azman yang tiba di HTJ pada 10 pagi ini meluangkan masa kira-kira sejam bertanya khabar mengenai Mohd Raus menerusi adiknya, Anuar.
Anuar bersama adik-beradiknya yang lain menjaga abangnya (Mohd Raus) secara bergilir di hospital itu memandangkan abangnya tidak mempunyai anak.
Mohd Raus yang berasal dari Kuala Pilah, mula mengalami strok pada Mei 2016 dan dimasukkan ke hospital sejak sebulan lepas sebaik dikesan menghidap strok otak.
Azman yang turut melahirkan simpati berkata Mohd Raus banyak berjasa dalam memajukan Bernama hingga sampai ke tahap hari ini.
"Saya dan seluruh warga Bernama mendoakan semoga beliau cepat sembuh," katanya.
Mohd Raus yang mendirikan rumahtanga bersama Farida Jehan itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.
Sebelum menyertai Bernama pada 11 Mac 1991 sebagai pengurus besar, beliau pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah di Kementerian Kewangan pada 1969 hingga 1973 dan kemudiannya menyertai Bank Hong Kong dan Shanghai, lima tahun selepas itu.
Pada 1979, anak kedua daripada sembilan beradik itu menyertai Petronas sebagai timbalan pengurus unit perancangan korporat dan United Asian Bank sebagai timbalan pengurus besar pada 1981 hingga 1989 sebelum memilih skim pemberhentian secara sukarela (VSS).
Mohd Raus yang pernah menerima pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M.) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 1995, bersara daripada Bernama pada 10 Mac 1998.
-- BERNAMA

Mengukir sejarah...

Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut April ini akan mengukir sejarah sebagai yang pertama dalam sejarah kewartawanan negara.
Kemuncak sambutan adalah mendapatkan pengiktarafan (endorsement) daripada para wartawan yang hadir agar acara itu diadakan setiap tahun pada 29 Mei  mulai tahun depan.
HAWANA dijadualkan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di ibu negara pada 11 atau 18 April ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tetamu kehormat.
Anugerah Tokoh HAWANA kepada individu yang berjasa dalam bidang kewartawanan negara akan disampaikan pada malam tersebut.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh mempengerusikan mesyuarat penyelarasan HAWANA di Wisma Bernama hari ini.

Tuesday, 23 January 2018

Petugas Media Terengganu Hadiri Taklimat Pilihan Raya Oleh SPR

Lebih 70 petugas media daripada pelbagai agensi media cetak dan elektronik di Terengganu hari ini menghadiri taklimat pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Taklimat selama empat jam itu bertujuan memberi penerangan mengenai peranan dan tugas media sepanjang proses pilihan raya yang bakal berlangsung.
Petugas media Jabatan Penerangan, Shuhaimi Ahmad berkata taklimat itu sangat tepat pada masanya memandangkan pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) akan berlangsung tidak lama lagi.
"Selama ini SPR sentiasa diserang dari pelbagai sudut oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menimbulkan persepsi negatif terhadap kewibawaan dan ketelusannya.
"Namun, taklimat hari ini yang menceritakan proses perjalanan pilihan raya dari bermulanya pembubaran parlimen sehingga pewartaan keputusan pilihan raya baharu membuktikan SPR sangat telus dalam menjalankan tanggungjawabnya.
"Keyakinan kepada SPR semakin tinggi selepas saya mengikuti taklimat ini dan pasti saya akan berkongsi maklumat yang benar ini kepada lebih ramai orang di luar sana agar masyarakat tidak lagi terjebak dengan persepsi tidak tepat terhadap SPR," katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Pilihanraya Negeri Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry.
Petugas media dari Harakah, Khairul Azlam Mohamad pula berkata berdasarkan pemerhatiannya daripada taklimat itu, ketelusan SPR boleh dipercayai memandangkan semua prosedur sepanjang proses pengundian berjalan adalah sangat ketat.
"Kita berharap SPR akan betul-betul jadi orang tengah dalam proses pengundian PRU ke-14 nanti yang dijangka lebih sengit dari sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA


Monday, 22 January 2018

Bekas Pengurus Besar Bernama dimasukkan ke HTJ...

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Raus Borhan, 71, dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban selepas dikesan menghidap strok otak.
Adik beliau, Noraini Borhan , 65, berkata Mohd Raus telah dimasukkan ke HTJ sejak sebulan yang lepas.
“Pertama kali dia kena (strok) di kampung (di Kuala Pilah)… dia memandu kereta dan kemudian melanggar pintu pagar ketika hendak pergi ke pekan… selepas keluar ke pekan, dia langgar lagi pintu pagar. Saya merasakan ada yang tidak kena.
“Abang saya kemudian dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan termasuk Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan). Masa dia mula kena (strok) adalah pada bulan Mei 2016,” katanya kepada  Bernama di sini, hari ini.
Noraini berkata abangnya itu setakat ini masih boleh menggerakkan anggota badan cuma sebutan yang dituturkannya agak kurang jelas.
“Ramai rakan-rakan dia datang melawat, ada yang dia masih ingat nama dan ada yang tidak. Sejak dimasukkan ke HTJ, abang saya yang dahulunya seorang yang kuat makan, kini hilang selera dan hanya bergantung kepada susu sahaja,” katanya.
Berasal dari Kuala Pilah, Mohd Raus yang telah berkahwin dengan Farida Jehan, merupakan pemegang  Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Beliau menyertai Bernama pada 11 Mac 1991 sebagai pengurus besar.
Mohd Raus, anak kedua daripada sembilan orang adik beradik, pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah di Kementerian Kewangan dari 1969 hingga 1973 sebelum menyertai Hongkong and Shanghai Bank, lima tahun selepas itu.
Pada 1979, beliau menyertai pula Petronas sebagai timbalan pengurus di Unit Perancangan Korporat  dan pada 1981, menyertai United Asian Bank sebagai timbalan pengurus besar sehingga 1989 sebelum mengambil skim pemberhentian secara sukarela (VSS). 
Mohd Raus yang menerima pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M.) pada Istiadat Pengurniaan  Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 1995,  bersara daripada Bernama pada 10 Mac 1998.
-- BERNAMA
Berita Bernama keluaran Mac/April 1991

Sunday, 21 January 2018

Exco Terengganu lawat bekas wartawan sambilan Bernama...

Bekas pemberita sambilan Bernama di Terengganu Ibrahim Abu Bakar, 75, yang menghidap penyakit buah pinggang, hari ini menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib di rumahnya di Kampung Ladang Sekolah di Kuala Terengganu.
Ibrahim, yang mula bertugas di Bernama Biro Terengganu sejak tahun 1973, amat terharu dengan kunjungan tersebut sebagai tanda ingatan kepimpinan kerajaan negeri dan rakan-rakan media.
"Semoga jalinan silaturahim ini terus berkekalan dan saya berterima kasih kepada Exco kerajaan negeri yang sudi datang bertanya khabar saya hari ini, insya-Allah  sokongan moral daripada kawan-kawan juga akan menguatkan semangat saya untuk terus tabah dengan ujian penyakit buah pinggang ini," katanya yang mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dua kali  sebulan.
Mesra dipanggil Pok Him, beliau telah berkhidmat di bawah 13 orang Ketua Biro Bernama Terengganu.
Beliau turut meluahkan keinginan untuk terus menulis kerana separuh daripada usianya telah dihabiskan bersama Bernama.
Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan sumbangan kewangan untuk meringankan beban Ibrahim.
Ghazali berkata peranan media sangat penting dalam konteks pembangunan negara khususnya di Terengganu selama ini.
"Bagi  pihak kerajaan negeri, kami sangat menghargai sumbangan  pengamal media yang telah sama-sama menyumbang peranan positif terhadap Terengganu bagi memastikan kelangsungannya sebagai sebuah negeri yang aman dan sentiasa menonjolkan keistimewaan Terengganu di mata dunia.
"Hubungan baik antara pengamal media dan kerajaan negeri ini pastinya akan terus memberi impak positif terhadap pembangunan negeri agar lebih maju dengan mengikut acuan sendiri pada masa akan datang," katanya.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad, Ketua Biro Bernama Terengganu,  Zalina Maizan Ngah serta anggota jawatankuasa KAWAT.
-- BERNAMA

Friday, 19 January 2018

Pengerusi Bernama Ziarah Jurugambar Hidap Strok Ringan...

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang hari ini menziarahi jurugambar agensi berita itu Mohd Hamzah Md Som, 52, yang mengalami strok ringan pada Disember lepas.
Dalam kunjungan selama kira-kira sejam di kediaman jurugambar itu di Senawang, Azman sempat menitipkan kata-kata semangat buat Mohd Hamzah agar segera pulih daripada masalah kesihatan yang dialami.
Menyertai kunjungan itu ialah isteri Azman, Datin Seri Siti Zalihan Amin, Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan Mohd Hisham Abdul Rafar dan beberapa rakan setugas.
Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Azman menasihatkan semua petugas agensi berita itu supaya tidak berkompromi dalam soal kesihatan meskipun sibuk dengan tugasan seharian.
"Saya harap (masalah kesihatan yang dialami Mohd Hamzah) ini dapat mengingatkan terutama saya sendiri dan petugas lain di Bernama di mana dalam kesibukan tugas kita, jangan lupa menjaga kesihatan dan kita tahu profesion kita terlalu stres.
"Apa-apa pun kita lakukan, akhirnya kesihatan juga yang harus kita pentingkan. Pada saudara Hamzah, saya harap beliau kembali bersemangat. Jika ikuti saranan doktor, Insya-Allah keadaannya akan pulih seperti sedia kala," katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata Bernama akan menyalurkan bantuan kepada Mohd Hamzah bagi meringankan beban yang dihadapinya.
"Kita ada tabung kebajikan untuk pekerja dan saya akan pastikan bahawa bantuan tabung akan dihulurkan kepada Hamzah secepat yang mungkin," katanya.
Sementara itu, Mohd Hamzah melahirkan rasa terharu dengan kunjungan pengurusan tertinggi Bernama yang disifatkannya telah memberi perangsang untuk beliau kembali pulih seperti biasa dengan cepat.
"Saya berterima kasih di atas kunjungan Datuk Seri Azman, bos serta rakan-rakan setugas lain yang banyak memberi semangat untuk saya selama ini untuk kembali pulih seperti sedia kala," katanya.
Mohd Hamzah berkata keadaannya kini beransur baik dan masih mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Senawang dan Hospital Tuanku Jaafar serta rawatan alternatif seperti akupuntur bagi proses pemulihan.
-- BERNAMA



Malaysia To Figure Significantly In Japan's New Foreign Policy

Kawai (left) and Miyagawa flanking Azman
By Nur Ashikin Abdul Aziz
Malaysia, together with other countries in the Southeast Asian region, are pillars to Japan's new foreign policy which aims to improve connectivity between Asia, the Middle East and Africa through a free and open Indo-Pacific region, an aide to Prime Minister Shinzo Abe, said Friday.
Katsuyuki Kawai, who is Special Advisor for Foreign Affairs to the Japanese Prime Minister in the latter's capacity as President of the Liberal Democratic Party, said besides ASEAN countries, the US, Australia, and India will also be 'centrepiece' in the strategy which is expected to promote stability and prosperity in the region as a whole.
The Free and Open Indo-Pacific Strategy is still open for new ideas and proposals that could make the new strategy more attractive and fruitful for every country in the region, Kawai said.
"I will be back to Tokyo on Saturday morning and will meet with Mr Abe to report on the positive and constructive reaction from Malaysia. I hope from now on, government to government (links) will propel and promote the realisation of this new strategy," he told Bernama during a visit to the Malaysian National News Agency's headquarters on Friday.
The strategy consists of three pillars - the promotion and establishment of rule of law and freedom of navigation, the pursuit of economic prosperity by improving connectivity, and the commitment for peace and stability - was first unveiled in August 2016 by Abe.
Kawai's visit to Bernama was part of his three-day visit to Malaysia, which began Thursday. His six member delegation, which included Japan's ambassador to Malaysia Makio Miyagawa and other embassy officers, had an hour-long meeting with the top management of the national news agency.
Bernama Chairman Datuk Seri Azman Ujang in the meeting suggested for a seminar to promote the new policy in Malaysia, with the cooperation of Malaysia's Institute of Strategic and International Studies (ISIS). This was warmly welcomed by Kawai.
Also present at the meeting were Bernama Editor-in-Chief, Datuk Zakaria Abd Wahab and Deputy Editor-in-Chief (International News Service) Ahmad Zukiman Mohd Zain.
Kawai is scheduled to meet ISIS Chairman and Chief Executive Officer, Tan Sri Rastam Mohd Isa, later in the day.
Malaysia and Japan celebrated the 60th anniversary of their establishment of diplomatic relations last year.
-- BERNAMA


Bernama Jamin Komitmen Liputan Berita Terbaik PRU14

Agensi berita negara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberi jaminan komitmen liputan terbaik dan penyampaian maklumat yang tepat, cepat dan objektif sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berlangsung.
Pengurus Besarnya Datuk Zulkefli Salleh berkata Bernama bersedia memainkan peranan penting dalam memberi input dan maklumat yang tepat kepada pengundi supaya mereka boleh membuat keputusan dan pilihan yang tepat pada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos itu.
"Dalam masa kempen nanti tentu ada bermacam-macam maklumat sehingga menyukarkan masyarakat untuk menilai mana yang benar dan tepat.
"Sebagai agensi berita, Bernama akan beri liputan terbaik kepada orang ramai dari segi menyampaikan berita dan maklumat yang cepat, tepat dan objektif melalui pengalaman pemberitaan lebih 50 tahun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2018 dan sesi 'Town Hall' bersama warga kerja Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Menurut Zulkefli, untuk mendapatkan perhatian masyarakat, pemberitaan Bernama haruslah lebih bersifat objektif dan tepat.
"Namun paling penting ia perlu cepat kerana dalam era digital, berita sampai kepada khalayak dengan cepat, kalau lambat masyarakat mungkin cenderung percaya kepada berita-berita kurang tepat yang disebarkan oleh pihak-pihak yang ada agenda tertentu dalam media sosial," katanya.
Zulkefli berkata berita Bernama disalurkan kepada pelanggan yang terdiri daripada akhbar, stesen televisyen serta radio tempatan.
"Selain itu, orang ramai boleh mengikuti berita Bernama melalui pelbagai saluran, antaranya menerusi laman web www.bernama.com, stesen televisyen Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio," katanya.
Terdahulu, ketika sesi town hall Zulkefli turut memperkenalkan slogan baharu pertubuhan itu iaitu 'Pastikan Benar' dan 'Semuanya Tentang Anda'.
-- BERNAMA

Saturday, 13 January 2018

Usaha terbitkan video bahasa Arab dapat sambutan...

Usaha Meja Bahasa Arab menghasilkan berita video dalam bahasa tersebut mendapat sambutan positif apabila Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuatnaiknya di Facebook beliau.
Berita itu hasil temubual wartawan Muammar Eusouffi Zainol Abidin dengan Datuk Dr Zulkifli dalam bahasa Arab di pejabatnya di Putrajaya.
Datuk Dr Zulkifli bercakap mengenai undangan khas yang diterimanya mewakili negara ke Persidangan Al-Azhar Sedunia Bagi Mendokong Sokongan Kepada Baitulmaqdis untuk membincang dan mencari penyelesaian mengenai isu membantah tindakan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Dalam catatan di Facebooknya, Datuk Dr Zulkifli berkata berita itu sudah tersebar ke semua negara Arab.
Persidangan anjuran bersama Al-Azhar As-Syarif dan Majlis Hukamak Muslimin itu dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Januari ini di Al-Azhar Convention Centre, Kaherah, Mesir.
Al-Azhar As-Syarif adalah sebuah institut ilmu Islam terbesar di dunia dan berperanan memelihara warisan Islam di samping mempromosikan keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah dan penyelidikan serta membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia.


Friday, 12 January 2018

Bernama Mulling Reopening Hanoi Bureau...

The Malaysian National News Agency, Bernama, is considering reopening its bureau in Hanoi to enable more first-hand coverage of developments and the economic growth of Vietnam, said Bernama chairman Datuk Seri Azman Ujang.
He said that 40 years after the war, Vietnam was now fast emerging as an economic powerhouse in the region.
"We are seriously looking into the idea of stationing a correspondent in Hanoi again, and from there we will be able to cover Laos and Cambodia and Myanmar as well.
"It is a very exciting country now," he told reporters after a bilateral meeting with Communist Party of Vietnam Central Committee's Commission for Communication and Education vice-chairman Pham Van Linh at the Bernama headquarters in Kuala Lumpur.
Bernama had a bureau in Hanoi from Jan 21, 1994, to March 1998.
Earlier, Azman and Bernama deputy editor-in-chief (general news service) Datuk Mokhtar Hussain welcomed Pham and his nine-member delegation upon their arrival at the news agency. The delegation is on a four-day official visit to Kuala Lumpur.
In their discussion, the two sides expressed interest to enhance cooperation in news exchange between Bernama and Vietnam News Agency (VNA).
They also shared their country's experience on the evolution of the media industry as well as the opportunities available as a result of the growing influence of the new media.
Mokhtar told the visitors that Bernama had reinvented and diversified itself over the years to keep abreast of the trends and technology in the industry.
He said that from its core business of providing news and information via the wire, Bernama had grown to have its own TV service, the Bernama News Channel, radio service, Bernama Radio, and lately, the Multimedia Desk.
He said the notable trend in news and dissemination of information now was people moving from text to pictures and videos.
"The challenge is not just to disseminate news but to present it the way the people want it. It is not only being able to communicate but also connecting with the audience," he said.
Concurring with Mokhtar, Pham said Vietnam's media industry, likewise, was going through a period of transformation where competition was stiff between the traditional media and the new media in growing the readership.
"Nevertheless, the older generation is still loyal to the traditional media, while the new generation is more inclined towards the new media," he said, adding that that there were some 850 media outlets in Vietnam.
He said that amidst the growing presence of the new media, the public will still turn to the traditional media and official media outlets such as Vietnam News Agency and Voice of Vietnam for correct and accurate information.
On another note, Mokhtar, who is also the president of the National Press Club, welcomed Pham's invitation for Malaysian journalists to make a familiarisation tour to Vietnam.
-- BERNAMA


Thursday, 11 January 2018

Singapore Straits Times Corrects Report Attributed To Bernama Chairman

By Massita Ahmad
The Straits Times in Singapore has made corrections to a report on its online and print versions which had been wrongly attributed to Datuk Seri Azman Ujang, chairman of the Malaysian national news agency, Bernama.
At the bottom of the online version, the following note was added: " In our earlier story, we wrongly attributed to Bernama news agency chairman Azman Ujang, a comment that the Barisan Nasional is expected to face a tough election battle due to public unhappiness over government scandals and cost-of-living issues. We are sorry for the error."
The same note was also seen on page two of the newspaper under the "What it should have been" column.
The comment had earlier been attributed to Azman who was with former Bernama chairman Datuk Seri Kalimullah Hassan at a discussion on '60 Years of Merdeka: Quo Vadis, Malaysia' at the Regional Outlook Forum 2018 organised by the ISEAS - Yusof Ishak Institute in Singapore on Jan 9.
Azman Wednesday strongly denied the report which quoted him as having said that the BN would face a tough battle in the next general election 'due to public unhappiness over government scandals and cost-of-living issues".
In issuing the denial, Azman said he had told the forum that it would be easier for the BN to win this general election compared to the previous two elections.
"I even quoted the findings of a public opinion poll by the Merdeka Centre that the BN is poised to regain the two-thirds majority that it lost in the 2008 and 2013 elections,'' he said.
The online version was published on Jan 9 with the headline 'Ruling coalition BN likely to retain federal power in Malaysian election: Experts, while the printed version was published the next day, entitled "Experts tell forum BN coalition expected to retain power in Malaysia.
-- BERNAMA

Wednesday, 10 January 2018

Bernama TV, TVRI Tandatangani MoU Kerjasama

Oleh Mohd Shukri Ishak
Bernama TV dan Televisi Republik Indonesia (TVRI) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pertukaran berita dan program televisyen, yang membuka peluang ke arah kerjasama lebih meluas dalam bidang media.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama TV, Datuk Zulkefli Salleh dan Direktor Utama TVRI, Helmi Yahya menandatangani MoU itu di Jakarta bagi pihak organisasi masing-masing.
TVRI, Perkhidmatan Penyiaran Awam, ditubuhkan pada 24 Ogos 1962, dengan pejabat berdaftar di Jln. Gerbang Pemuda 8, Senayan, Jakarta, manakala Bernama TV mengendalikan Bernama News Channel (BNC).
Zulkefli, yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama berdasarkan permintaan dan timbal balas dalam liputan berita, sukan dan acara menarik lain.
"Masing-masing akan membekalkan, mengikut kemampuan, segala bentuk bantuan kepada kru pelawat yang membuat liputan," kata Zulkefli.
Bernama TV dan TVRi juga akan bertukar-tukar program televisyen dalam bidang hiburan, budaya, sains, sukan dan berita.
Sementara itu, Helmi berkata program pertukaran itu pada prinsipnya adalah secara percuma.
"Program pertukaran, yang dibekalkan pihak terlibat, akan digunakan pihak penerima berdasarkan keperluan sendiri. Bagaimanapun, sebarang perubahan atau pindaan yang dilakukan terhadap sesuatu program, tertakluk kepada perbincangan antara kedua-dua pihak.
"Program berkenaan tidak boleh diberi kepada pihak ketiga, tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada pihak yang membekalkannya," kata beliau kepada Bernama selepas upacara menandatangani MoU itu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Bernama TV, Hakimi Zuffrida Mohd Zain, Direktur Program dan Berita TVRI, Apni Jaya Putra dan CEO UXERA Sdn Bhd ((dahulunya dikenali sebagai Bernama Systems & Solutions Advisor Sdn Bhd), Muniyati Muhamad.
-- BERNAMA


Kemudahan Cuti Umrah


Sunday, 7 January 2018

Liga Boling Bernama 2018 bermula...

Liga Boling BERNAMA kembali lagi bagi edisi 2018.
Pusingan 1 liga berlangsung di Megalanes Bowling, Endah Parade hari ini.

Juara Mohd Faiz (1,105 pin)

Naib juara Khafiz Masdar (1,029 pin)

Ketiga Auzan Ayub (1,028 pin)