Saturday, 30 December 2017

Veteran Bilik Berita RTM adakan ‘reunion’ di Bernama…

Selepas sekian lama tidak bertemu, kira-kira 50 veteran bilik berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun 60-an dan 70-an beramah mesra dan mengimbau kisah lama dalam satu majlis perjumpaan di Wisma Bernama hari ini.
Bekas Pengarang Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zainoor Sulaiman yang juga veteran RTM berkata majlis 'reunion' itu ibarat satu pertemuan yang penuh nostalgia kerana ada dalam kalangan mereka tidak berjumpa sejak 40 tahun lepas.
"Kita baru sahaja menubuhkan satu group WhatsApp. Tidak sampai sebulan, idea perjumpaan ini tercetus. Bagaimanapun, ada yang tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen lain. Ada juga rakan kita yang telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan itu.
Turut hadir bekas Pengerusi Bernama Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman dan Datuk Harjit Singh Hullon.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata Bernama selaku tuan rumah majlis perjumpaan tersebut berbesar hati terhadap sokongan daripada veteran RTM yang sudi meluangkan masa menyertai program itu.
“Ini merupakan sumbangan Bernama untuk kemajuan media dan pengamalnya. Semoga permulaan (reunion) ini menjadi platform bagi mereka mengembangkan silaturahim. Bernama sebagai agensi berita akan sentiasa beri sokongan,” katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment