Thursday, 21 December 2017

Bernama bantu usahawan PKS...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd (Koko Minda) dalam usaha membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meluaskan perniagaan mereka.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Bernama dapat memainkan peranan penting bagi mempromosi produk yang dihasilkan usahawan PKS hingga ke pasaran luar negara.
"Pada tahun lalu, kami bercadang untuk mengadakan program televisyen khusus bagi membantu PKS di Malaysia sebagai salah satu usaha CSR kami. Alhamdulillah, Koko Minda antara syarikat awal yang terlibat dalam program ini.
"Peranan media seperti Bernama amat penting bagi membantu meningkatkan jualan produk PKS seperti Koko Minda. Kalau boleh kita kembangkan ke pasaran luar negara," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di Wisma Bernama hari ini.
Produk itu juga akan dipasarkan menerusi koperasi Bernama untuk memperkenalkannya di kalangan warga Bernama.
MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab dan Pengarah Urusan Koko Minda Salim Salleh.
Salim berkata syarikatnya optimis dapat mencapai sasaran nilai jualan kira-kira RM3 juta tahun ini dan kerjasama dengan Bernama dapat membuka ruang untuk syarikat pengeluar produk minuman berkhasiat berasaskan koko yang beroperasi di Melaka itu lebih dikenali ramai.
Produk itu telah dipasarkan ke Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand serta dirancang menembusi pasaran Asia Barat.
-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment