Tuesday, 12 December 2017

Kunjungan MB suntik semangat...

Kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan memberi semangat kepada keluarga jurufotografi Bernama Mohd Hamzah Md Som yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas diserang strok.
Isteri Hamzah, Zaida Sabtu berkata penyakit yang dialami suaminya sememangnya memerlukan sokongan dan semangat yang tinggi bagi membantu proses pemulihan.
“Jadi apabila Datuk Seri Mohamad hadir petang tadi, ditambah dengan kunjungan rakan-rakan sekerja suami yang tidak putus-putus sejak suami dimasukkan ke wad Khamis lepas, sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat suami untuk pulih dan menguatkan semangat saya juga sebagai isteri.
Datuk Seri Mohamad ada pesan agar suami saya jaga pemakanan dan jaga kesihatan, beliau juga memberi pesanan yang sama kepada pesakit yang lain di dalam wad berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Hamzah, 51, merupakan jurugambar Bernama Biro Negeri Sembilan.
Menceritakan detik cemas yang dilalui suaminya itu, Zaida berkata suaminya ada mengadu pening dan badan sebelah kanannya tidak sedap ketika sedang bersiap untuk bekerja pada Khamis lepas kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Saya dan anak terus ke Klinik Kesihatan Senawang…bagaimanapun klinik meminta agar suami dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, suami dibawa ke hospital menaiki ambulan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan di kepala suami.
Suami memang ada darah tinggi dan kolestrol tetapi setiap hari saya akan pastikan dia makan ubat,” katanya.
Katanya keadaan suaminya kini semakin stabil meskipun anggota tubuhnya sebelah kanan tidak boleh digerakkan, dan suaminya akan menjalani  rawatan fisioterapi bermula esok.
“Doktor juga akan melihat perkembangan kesihatan suami dalam masa seminggu ini sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment