Saturday, 16 December 2017

Bernama perlu inovatif...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu bersedia mendepani cabaran serta tranformasi dalam industri media konvensional masa kini yang berdepan dengan persaingan media baharu termasuk media sosial.
Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang berkata sebagai pembekal berita, agensi tersebut perlu menyesuaikan dengan perubahan dan cabaran yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggannya dengan idea-idea baharu.
Beliau berkata revolusi digital telah mengubah cara media cetak dan media elektronik menyampaikan informasi dan pembaca sudah mengubah ‘selera’ mereka untuk memperoleh berita, justeru agensi itu perlu lebih kreatif dan inovatif agar terus kekal relevan pada masa akan datang.
"Saya berharap dengan adanya idea yang baharu kita boleh bergerak dengan lebih baik dan maju,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam Hari Keluarga Bernama 2017 anjuran Kelab Kakitangan Bernama di Pulau Pangkor malam ini.
Hadir sama Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Mokhtar Hussain yang juga presiden kelab itu, Ketua Penyunting Bahasa Inggeris, M. Govind Nair dan Pengarah Operasi, Bernama News Channel (BNC), Hakimi Zuffrida Mohd Zin.
Sementara itu, Mokhtar berkata hari keluarga tersebut dapat menjalin silaturahim dan semangat setiakawan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga agensi berita nasional berkenaan.
Seramai 235 petugas bersama keluarga masing-masing menyertai program dua hari itu di Puteri Bayu Beach Resort, dengan tema ‘Semalam di Pantai Bogak’.
Pelbagai acara diadakan termasuk ‘walk hunt’, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah untuk peserta.
Hari Keluarga Bernama 2017 turut mendapat tajaan, antaranya, daripada syarikat telekomunikasi, Lautan Variasi Sdn Bhd ( LVSB), ‘Lost World of Tambun’, Movie Animation Park Studios (MAPS), Public Bank, Bank Rakyat dan resort tersebut.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment