Sunday, 31 December 2017

Malaysia Sertai Dunia Sambut 2018 Dengan Kemeriahan...

Percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang angkasa ibu negara dan beberapa lokasi di seluruh Malaysia sebaik sahaja jarum jam melepasi 12 tengah malam sekali gus menandakan bermulanya tahun baharu 2018.
Malaysia menyertai dunia menyambut kedatangan tahun baharu dengan suasana yang cukup meriah dengan beberapa acara diadakan di seluruh negara yang disertai ribuan rakyat berbilang kaum dan agama.
Di ibu negara, ribuan termasuk pelancong asing menyambut 2018 di beberapa lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang, Menara Kuala Lumpur dan Mutiara Damansara Commercial Centre (MDCC).
Orang ramai mula membanjiri kawasan-kawasan berkenaan seawal 8 malam yang sebelum itu telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan yang disediakan pihak penganjur sambutan yang rata-rata terdiri daripada pihak swasta seperti pancuran air bercahaya dan konsert.
Bersama kegembiraan dan sorakan "Selamat Tahun Baharu" dan "Happy New Year" yang mengiringi kedatangan 2018, tersemat 1,001 pengharapan dalam kalangan rakyat agar tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun lepas.
Pekerja swasta, Muhammad Afiq Syahmi, 25, yang ditemui Bernama di Bukit Bintang di sini berkata bagi tahun 2018 beliau berharap agar ekonomi negara akan bertambah stabil dan kukuh dalam semua sektor dalam negara.
"Sekarang ini pun kita sudah dapat menyaksikan pemulihan mata wang ringgit yang kini sudah kembali kukuh, kita harap perkara ini boleh berterusan tahun hadapan bagi membawa negara ke depan setanding dengan kuasa ekonomi dunia yang lain," katanya yang hadir ke Bukit Bintang bersama keluarganya seawal 6 petang.
Pegawai perhubungan awam, Lee Pei Yuenn, 26, berkata tahun 2018 diharap dapat membuka satu lembaran baharu dalam memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.
"Kita sudah hidup dalam satu masyarakat besar sejak dulu lagi dan baru-baru ini kita semua tahu ada pihak-pihak yang cuba mengganggu kesepaduan ini, 2018 ini kita harap rakyat lebih sensitif mengenai perkara yang melibatkan kaum dan agama," katanya.
Sambutan tahun baharu di MDCC dimulakan dengan MDCC Fun Run Countdown Run sejauh 5km pada 9 malam dan peserta mengenakan baju berwarna oren terang untuk memeriahkan parti 2018 MDCC Annual Countdown Party yang terletak di antara IKEA dan The Curve, sebelum menunggu acara kemuncak persembahan bunga api terbesar selama 10 minit sebaik sahaja tengah malam.
Di PUTRAJAYA, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan bermandikan cahaya dengan pertunjukan bunga api digital menghiasi bangunan Istana Kehakiman, sekali gus menghiburkan kira-kira 500,000 pengunjung yang hadir meraikan malam detik Ambang Tahun Baharu 2018.
Pertunjukan bunga api digital menggunakan teknik kreatif, resolusi tinggi serta sistem bunyi dan kandungan visual yang diterapkan dipancarkan serentak dengan tembakan bunga api secara langsung mengambil masa lima minit itu diadakan sempena penutupan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) yang telah berlangsung di Dataran Putrajaya sejak Khamis lepas.
Penutupan acara bertujuan mempromosikan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik khususnya dalam aspek penggunaan teknologi terkini dan penjimatan tenaga itu diserikan dengan kehadiran Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.
Di MELAKA, Sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang yang dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron serta ribuan rakyat. Antara aktiviti yang disediakan ialah pertandingan sukan rakyat, kejohanan Muay Thai, demo memasak, persembahan artis jemputan, persembahan kebudayaan, pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Melaka 2018 dan pertunjukan bunga api.
Idris dalam ucapanya berkata rakyat Melaka perlu meningkatkan iltizam, membina keazaman dan keyakinan diri demi mencapai matlamat ke puncak jaya serta menjadikan tahun 2018 lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Di PERAK, hujan renyai di sekitar bandar raya Ipoh tidak menghalang lebih 10,000 orang menghadiri sambutan ambang Tahun Baharu 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh anjuran kerajaan negeri dan Tourism Perak yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan serta artis terkemuka tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah.
Turut menjadi tumpuan warga bandar raya Ipoh adalah taman tema Lost World of Tambun yang dibanjiri kira-kira 20,000 pengujung manakala di Dataran Menara Condong Teluk Intan pula, orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan ikon bandar tersebut yang diterangi hiasan lampu-lampu menarik.
Di SEREMBAN, kira-kira 5,000 orang menghadiri sambutan tahun baharu Negeri Sembilan Fest 2017 anjuran Persatuan Karyawan Negeri Sembilan (PKNS), Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan GIG Technology yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi sejak pukul 8 malam.
Negeri Sembilan Fest 2017 yang telah berlangsung sejak Jumaat lepas turut menyediakan 70 buah khemah jualan selain orang ramai turut disajikan dengan konsert daripada artis Najwa Latif, Dva, Sixth Sense serta Slash, sementara menunggu detik 12 tengah malam.
Di LANGKAWI, Larian Langkawi Fun Nite Run 2017-2018 anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memeriahkan sambutan ambang tahun baharu di pulau peranginan itu dengan melibatkan kira-kira 1,000 peserta.
Acara Langkawi International Blues and Roots Aseana (LIBRA), sebuah festival muzik blues pertama di Malaysia melabuhkan tirai dengan membuat kiraan detik ke tahun baharu di Pantai Chenang.
Menyajikan persembahan muzik blues oleh artis-artis dari Malaysia, Singapura dan Australia, acara yang dianjurkan bersama LADA, Itos Cottage Music dan SB Explorer Sdn Bhd itu telah bermula sejak Jumaat lepas dan menarik lebih 3,000 orang genre blues dari dalam dan luar negara.
Di TERENGGANU, konsep sambutan Malam Ambang Tahun Baharu 2018 anjuran kerajaan negeri kali ini diadakan penuh kesederhaan dan pengisian ke arah kerohaniandi Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, berbanding sambutan penuh warna-warni pada tahun sebelumnya.
Ambang tahun baharu diisi dengan acara solat hajat perdana, forum agama dan persembahan nasyid daripada kumpulan Far East serta kumpulan Selawat yang bermula pada 10 malam dan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Wan Nawawi Wan Ismail serta barisan exco kerajaan negeri dan penduduk.
Ahmad Razif dalam ucapannya berkata sambutan sedemikian diadakan bagi mengingati penderitaan yang dialami umat Islam di seluruh dunia ekoran penindasan dan kezaliman yang dilakukan musuh-musuh Islam termasuk umat Islam di Palestin.
Pada majlis itu, beliau bagi pihak kerajaan negeri menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan Aman Palestin untuk disalurkan kepada penduduk Palestin yang kini dizalimi rejim zionis, sebelum solat hajat yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Ash-Shafie Abd Manan diadakan tepat detik 12 tengah malam.
Di KUCHING, sambutan ambang tahun baharu dirai meriah di Tebingan Sungai Kuching (Kuching Waterfront) seawal pukul 8 malam dengan persembahan pentas.
Di samping persembahan muzik, pentas persembahan itu yang dibangunkan sejak semalam lagi turut menyajikan persembahan tarian-tarian tradisional, moden dan juga pertunjukan fesyen untuk menghiburkan ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan pentas, walaupun dalam keadaan hujan renyai pada awalnya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg tiba di kawasan pentas persembahan sekitar pukul 10.30 malam dengan diiringi Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa menteri Sarawak.
Dalam ucapannya, Abang Johari melahirkan azam untuk melaksanakan semua polisi yang dirangka kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak pada tahun baharu ini, dalam memenuhi harapan untuk melakar laluan ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi 2030.
Acara sambutan berakhir seperti biasa dengan kiraan detik ketibaan tahun baharu, disusuli pertunjukan bunga api yang bergemerlapan menghiasi angkasa, menjadi latar indah yang menghiasi mercu tanda ikonik Bangunan Dewan Undangan Negeri di pinggir sungai itu.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment