Saturday, 13 September 2014

Bernama Berpotensi Jadi Agensi Berita Terbaik Rantau Ini...



Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang sudah beroperasi selama 46 tahun, berpotensi menjadi agensi berita dan sumber maklumat terbaik di rantau ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Beliau berkata Bernama memikul tanggungjawab besar dalam usaha berterusan untuk memperbaiki serta mempertingkat mutu perkhidmatan sebagai pembekal berita yang disegani, diyakini tepat dan benar.
"Saya boleh andaikan bahawa Bernama boleh menjadi sebuah pertubuhan berita terbaik di rantau ini.
"Bernama juga penyampai suara dasar kerajaan bagi komunikasi dan media massa ke tahap yang lebih tinggi, profesional dan beretika," katanya dalam ucapan untuk Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-40 Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama-1974 (KPPB) di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Operasi Kementerian Sumber Manusia Datuk Romli Hassan.
Ismail berkata untuk menjadi sebuah organisasi yang baik, majikan perlu menghindarkan sikap tidak percaya kepada pekerja di bawah seliaannya.
"Justeru, amalkan istilah 'esprit de corp' bak kata orang Perancis yang maksudnya merangkumi dan mengkhususkan semangat kesetiaan, kesetiakawanan dan beraspirasikan sikap ingin maju ke hadapan ke arah budaya kerja yang proaktif dan perkhidmatan cemerlang," katanya.
Beliau turut meminta setiap kakitangan, pegawai dan pihak pengurusan mengamalkan sifat hormat-menghormati, bantu-membantu dalam semua aspek supaya tidak wujud buruk sangka, ragu-meragui dan tindas-menindas demi mewujudkan keharmonian serta kesepakatan dalam setiap keputusan dan tindakan.
Sebagai tambahan kepada teks ucapan itu, Romli berkata kebanyakan orang melihat dunia daripada apa yang mereka pelajari bertahun-tahun dari peringkat sekolah hinggalah ke university.
“Kita hanya melihat dunia dari one side of the coin (sebelah muka duit syiling)…kalau kita lihat dari sebelah ‘head’ maka itulah sahaja kita Nampak dan begitulah sebaliknya,” katanya.
Beliau menyarankan agar dilihat duit syiling dari kedua-dua belah untuk membolehkan segala sumber dimanfaatkan sepenuhnya.
Sementara itu Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dalam ucapannya berkata hubungan harmoni antara anggota kesatuan dan majikan perlu dikekal bagi memperkasa Bernama sebagai sebuah pertubuhan yang aktif serta profesional.
"Dalam sesetengah agensi, perhubungan antara majikan dan kesatuan ada pasang surutnya namun di Bernama, kita mampu mengekalkan keharmonian.
"Saya harap dalam tahun-tahun akan datang, hubungan baik ini dapat diteruskan," katanya.
Yang Dipertua KPPB Zaharin Mat Noor pula berkata majlis makan malam itu adalah kali ke-3 dianjurkan sepanjang 40 tahun penubuhan KPPB. Beberapa bekas Yang Dipertua KPPB turut hadir pada majlis itu.
Beliau berharap dengan keanggotaan melebihi 200 orang, KPPB akan lebih teguh dan mampu memperjuang masalah pekerja.
"Kita juga berharap lebih ramai menyertai KPPB kerana kita sentiasa berusaha membawa suara mereka kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment