Bekas
Ketua Penyunting Bahasa Melayu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Dr
Ilias @ Illias Zaidi, 69, meninggal dunia hari ini akibat barah dan komplikasi
paru-paru.
Allahyarham
meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada kira-kira 3.30 pagi tadi,
menurut isterinya, Zakiah Harun, 68.
Beliau
memberitahu Bernama bahawa Allahyarham mula menunjukkan tanda-tanda uzur
selepas terjatuh di rumah menjelang Ramadan lepas, namun tetap meneruskan
ibadat puasa seperti biasa.
"Bagaimanapun,
arwah dimasukkan ke hospital Isnin lalu susulan keadaan kesihatannya semakin
meruncing," katanya ketika ditemui di Masjid Amru Ibni Al 'As, Bandar Baru
Sentul.
Beliau
berkata penyakit yang dialami Allahyarham hanya diketahui selepas suaminya itu
menjalani pemeriksaan di hospital.
Jenazah
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Jalan Karak, Batu
Caves.
Selain
Zakiah, Allahyarham meninggalkan empat anak berumur antara 30 dan 45 tahun
serta tiga cucu berumur 10 hingga 16 tahun.
Menurut
anak saudaranya yang juga Perunding Astro Arena Sdn Bhd Datuk Hishammuddin Aun,
Allahyarham ketika hayatnya seorang yang tegas serta terkenal dengan sifat suka
berjenaka.
"Arwah
sentiasa ceria namun sangat berdisiplin dan kuat bekerja serta sentiasa
meluangkan masa menghasilkan pelbagai penulisan.
"Arwah
adalah mentor saya dan turut memperkenalkan kepada saya dunia
kewartawanan," katanya.
Sementara
itu, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk
Zakaria Abdul Wahab berkata Allahyarham dianggap sebagai pakar rujuk dalam
Bahasa Melayu dari segi penghasilan berita.
"Allahyarham
seorang yang peramah dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang
kewartawanan," katanya.
Pengarang
Meja Berita Am Bernama, Khairdzir Md Yunus pula berkata Allahyarham banyak
memberi tunjuk ajar dari segi memperbaiki dan menghasilkan penulisan berita
ketika bertugas sebagai ketua penyunting di agensi berita itu.
"Arwah
turut memberi tips bagaimana menghasilkan berita dengan tepat dan pantas,"
katanya.
Anak
kelahiran Teluk Intan, Perak, itu pernah menjadi wartawan Utusan Malaysia
sebelum berhijrah ke Bernama dan seterusnya berkhidmat pensyarah Universiti
Teknologi Mara.
Beliau
berkhidmat di Bernama dari 1969 hingga 1986
Allahyarham
telah menghasilkan kira-kira 230 judul buku khususnya berbentuk bimbingan untuk
pelajar sekolah dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat UPSR, PMR, SPM dan
STPM.
Selain
itu, beliau merupakan seorang penulis novel dan buku yang prolifik.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment