Jika
tidak kerana bekas Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE), Encik
K.C.Leong, bakat dan kebolehan Puan Massita Ahmad sebagai wartawan ekonomi mungkin
terpendam.
Ketika
datang ke Bernama untuk ‘mencuba nasib’ setelah mendapat panggilan temuduga
kerja pada tahun 2001, beliau menjangkakan jawatan di bahagian jualan.
“Ketika
itu Encik K.C. Leong melihat background
saya dalam bidang kewangan dan bertanyakan sama ada saya bersedia diletakkan di
Meja Ekonomi, Kak Mas rasa sebelah kaki dah masuklah ni, jadi Kak Mas terimalah
kerana Kak Mas tak memilih kerja ketika itu,” katanya dalam rancangan “Bersama
Wartawan” yang diterajui Wan Yuzaini Wan Yahya menerusi Radio Bernama 24 pagi ini.
Bermula
detik itu, anak jati Teluk Intan berkelulusan Diploma in Investment Analysis
dari Universiti Teknologi MARA (UITM) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan
dengan kepujian dari universiti yang sama menjadi wartawan sehinggalah
kini dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Meja Berita PBE.
Dengan
membahasakan dirinya sebagai Kak Mas, ingatannya masih segar ketika melaporkan
diri untuk bertugas pada 3 September 2001.
“Ketika
itu, ada SEA Games, saya masuk newsroom
tapi sunyi, tak ada orang...saya tertanya-tanya
ini pejabat apa.
“Adalah
seorang dua wartawan dan saya perkenalkan diri dan ketika itu, Kak Mas bernasib
baik diletakkan di bawah, (sekarang Datuk) Yong (Soo Heong) dan editor Encik Mikhail (Raj
Abdullah), merekalah yang beri penerangan serba sedikit…oh baru saya tahu, jadi
wartawan rupanya,” katanya .
Beliau
berkata walaupun tiada latarbelakang dalam bidang penulisan tetapi dari segi
terma-terma ekonomi, tidaklah menjadi masalah.
“Cuma
ambil masa juga untuk menghasilkan berita, gaya penulisan, jadi kena banyak
membacalah, apa in-house style
Bernama…itulah cabarannya,” kata beliau yang memulakan kerjaya dengan CIMB
securities Sdn Bhd, sebuah firma broker saham pada tahun 1997 dan 1998 setelah memperolehi
diploma.
Apabila
berlaku krisis kewangan, Massita berhenti daripada CIMB Securities untuk
menyambung pelajaran sehingga memperolehi ijazah sarjana muda pada tahun 2000.
“Masa
tu ekonomi tak pulih sepenuhnya, tak boleh nak pilih kerja sangat…setahun juga Kak
Mas buat bermacam kerja, jadi guru sementara, purchasing officer…,” katanya.
Setelah menyertai Bernama, beliau mengambil
masa antara tiga hingga empat bulan untuk mengetahui gaya penulisan berita
ekonomi.
“Kalau
nak tahu, wartawan ini kita tengok berita, kita tahu tulisan siapa walaupun tak
tengok nama penulisnya..tambahan sekarang, Kak Mas tengok berita adik-adik ni,
Kak Mas dah tahu siapa yang tulis,” katanya.
Mengenai
tugas harian, beliau berkata liputan PBE “sama sahaja sebenarnya” dengan berita
am dan lain-lain.
“Cuma
kita ini ada beberapa pasaran yang perlu kita hasilkan berita…pasaran saham,
komoditi, komodoiti itu pula terbahagi kepada minyak sawit mentah, tin (timah) dan
sekaranag pasaran emas, setiap hari ada laporan dan rotation (penggiliran tugas) setiap minggu dan mereka (wartawan) perlu
ada contact yang bagus,” katanya..
“Sebenarnya
tidak ada sesuatu yang harus digeruni lagipun contact kita telah kita bina dan hanya perlu meneruskan hubungan
dengan baik
“Kitapun
berkongsi, tidaklah kita biarkan junior
kita terkial-kial mencari contact,
oleh itu hubungan baik itu diteruskan,” katanya..
“Laporan
ekonomi ini biasanya 90 peratus dalam bahasa Inggeris tetapi ianya sangat straightforward dan tidak ada apa yang
perlu digusarkan, malahan rata-rata yang dah masuk itu tak nak keluar pulak
(dari Meja Ekonomi),” katanya.
Beliau
juga ditanya mengenai pengalamannya membina ‘contact’
terutama dengan bekas Presiden Bursa Saham Malaysia, Allahyarham Datuk Salleh
Majid.
“Sebenarnya
saya melihat dia ada kolum dalam Utusan Malaysia, jadi mengapa Utusan Malaysia
sahaja yang dapat seorang tokoh yang hebat…satu hari saya memberanikan diri
mencari contact number dia, bermula
dengan email.
“Allahyarham
bukan senang nak bina contact dengan dia, dia akan bertanya supaya dia tahu apa
subjek yg dibincangkan dan kita faham,” katanya.
“Ada
beberapa soalan (yang saya berikan) dan dia bagi contact number dan berlangsunglah interviu, masa itu 2008…kemudian
tak susah mendapat beliau, pada bila-bila masa jika perlu untuk mendapat reaksi apabila ada pengumuman kerajaan lebih–lebih
lagi mengenai pasaran saham.
Menurutnya,
Allahyarham seorang yang teliti dan wartawan yang mahu bertanyakan soalan,
haruslah mengetahui subjek berkenaan.
Ketika
ditanya mengenai permintaan editornya untuk menulis balasungkawa (obituary) bagi Allahyarham, beliau
berkata:
“Kak
Mas ingat tarikhnya 2 Januari 2012, hari Ahad apabila editor Kak Mas, Encik Mikhail
call dan tanya sama ada saya dah
dengar, saya terkejut apabila dia kata your
friend Datuk Salleh telah meninggal dan dia nak saya tulis obituary.
“Sambil
tulis, saya menangis sebab Kak Mas memang ada nak hubungi dia tapi dia tak
jawab, tak berapa tahu dia sakit (walaupun) fizikal nampak dia uzur… sebulan Kak Mas cuba contact
dia, tapi dia tak jawab, selalu tu cepat aja, rupa-rupanya dia sakit dan
tahu-tahu aja dah tak ada,” katanya.
Antara
tulisannya mengenai Allahyarham ialah harapan Allahyarham untuk mengesyorkan
kepada kerajaan supaya membina bursa saham Islam tetapi tidak kesampaian.
“Untuk
itu juga arwah Datuk interviu Kak Mas sama ada
Kak Mas boleh membantu dia menjadi part
of the team,…yalah tak ada siapa yang boleh Kak Mas jadikan saksi (mengenai perkara ini),” katanya.
Seorang
lagi tokoh yang sangat membantu beliau sebagai ‘contact’ ialah Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi Negara Manokaran Mottain,
yang memberikan beliau berita-berita eksklusif.
“Kita
di Bernama, tak boleh simpan berita, jika ada pengumuman kerajaan, apa yang
berlaku di luar negara, kita perlu mendapatkan reaksi segera, ini yang Kak Mas selalu
tekankan kepada wartawan muda bahawa mereka mesti ada sekurang-kurangnya dua
atau tiga contact yang boleh
dihubungi pada bila-bila masa untuk memberikan input dan reaksi,” katanya.
Ketika
ditanya sama ada mereka yang berminat menjadi wartawan ekonomi perlu ada asas
kewangan, beliau berkata sebaik-baiknya begitulah.
“Apabila
terma-terma itu mudah difahami, orang kata we
have won one half of the battle …adik-adik yang fresh masuk kita perlu explain apa dia earning per share, profit before tax, dividend, kat situ pun dah
mengambil masa untuk mereka faham, belum lagi mengenai gaya penulisan,”
katanya.
“Biasanya
Kak Mas tekanan selepas kita buat berita, tengok bagaimana wartawan-wartawan
akhbar lain menulis, bandingkan dan dapatkan yang terbaik,” katanya.
Selain
itu, mereka yang hendak menjadi wartawan ekonomi, perlu bersikap ‘dahagakan
berita’, katanya.
“Meja-meja
lain sama juga tapi meja ekonomi berurusan dengan real-time, harga-harga pasaran itu bergerak setiap saat, memberi
kesan kepada pasaran, harga naik pun kena dapatkan reaksi, turun pun kena dapat
reaksi,” katanya.
Mengenai
rancangan masa depan, Massita berkata beliau mahu memantapkan meja ekonomi.
“Sekarang
ni dah banyak online, siapa cepat beri maklumat, orang akan pergi kepadanya…Bernama
perlu menyalurkan maklumat dengan cepat dan tepat,” katanya..