Saturday 27 January 2018

Mengembangkan bakat penulisan...

Dalam usaha memberi ruang kepada orang awam untuk  mengembangkan bakat penulisan, sekumpulan penulis bersatu menubuhkan Kelab Penulis Buku Intelek (iAuthors Club).
Pengerusinya, Peter Yee  berkata kelab yang ditubuhkan sejak 2015 itu bertujuan untuk membantu orang awam yang berminat dalam bidang penulisan tetapi tidak tahu cara merealisasikan impian tersebut.
“Apabila menjadi anggota kelab ini, orang awam akan diberi pendedahan bagaimana cara menulis  buku hingga cara memasarkan buku tersebut, kami akan mengajar dan membantu keseluruhannya.
"Kami juga sering mengadakan bengkel dan  kelas dengan menjemput pengajar yang profesional untuk berkongsi ilmu masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran Kelab Penulis  Buku Intelek, di Sri Petaling hari ini.
Sementara itu, bekas Pengurus Besar, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong berkata penulisan buku adalah terapi terbaik untuk meluahkan pandangan serta mencurahkan emosi di samping dapat berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan pembaca.
“Sekurang-kurangnya apabila kita sudah tiada kelak, kita dapat meninggalkan sesuatu kepada generasi akan datang dan kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang boleh dikongsi menerusi penerbitan buku serta tidak akan hilang begitu sahaja,” kata Yong, seorang daripada tetamu undangan pada majlis tersebut.
Seorang anggota iAuthors Club, Clement Heng, 59, berkata  penubuhan kelab tersebut memberi peluang kepadanya, yang telah pun bersara, untuk berkarya dan menghasilkan sebuah buku.
“Sebelum ini, saya mahu menjadi penulis tapi tidak jumpa platform yang betul...bila sertai kelab ini saya dibantu untuk menulis dan seterusnya mengeluarkan buku,” katanya.
Orang awam yang berminat menyertai kelab tersebut boleh emelkan maklumat diri ke contactiauthorsclub@gmail.com.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment