Wednesday 10 January 2018

Bernama TV, TVRI Tandatangani MoU Kerjasama

Oleh Mohd Shukri Ishak
Bernama TV dan Televisi Republik Indonesia (TVRI) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pertukaran berita dan program televisyen, yang membuka peluang ke arah kerjasama lebih meluas dalam bidang media.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama TV, Datuk Zulkefli Salleh dan Direktor Utama TVRI, Helmi Yahya menandatangani MoU itu di Jakarta bagi pihak organisasi masing-masing.
TVRI, Perkhidmatan Penyiaran Awam, ditubuhkan pada 24 Ogos 1962, dengan pejabat berdaftar di Jln. Gerbang Pemuda 8, Senayan, Jakarta, manakala Bernama TV mengendalikan Bernama News Channel (BNC).
Zulkefli, yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama berdasarkan permintaan dan timbal balas dalam liputan berita, sukan dan acara menarik lain.
"Masing-masing akan membekalkan, mengikut kemampuan, segala bentuk bantuan kepada kru pelawat yang membuat liputan," kata Zulkefli.
Bernama TV dan TVRi juga akan bertukar-tukar program televisyen dalam bidang hiburan, budaya, sains, sukan dan berita.
Sementara itu, Helmi berkata program pertukaran itu pada prinsipnya adalah secara percuma.
"Program pertukaran, yang dibekalkan pihak terlibat, akan digunakan pihak penerima berdasarkan keperluan sendiri. Bagaimanapun, sebarang perubahan atau pindaan yang dilakukan terhadap sesuatu program, tertakluk kepada perbincangan antara kedua-dua pihak.
"Program berkenaan tidak boleh diberi kepada pihak ketiga, tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada pihak yang membekalkannya," kata beliau kepada Bernama selepas upacara menandatangani MoU itu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Bernama TV, Hakimi Zuffrida Mohd Zain, Direktur Program dan Berita TVRI, Apni Jaya Putra dan CEO UXERA Sdn Bhd ((dahulunya dikenali sebagai Bernama Systems & Solutions Advisor Sdn Bhd), Muniyati Muhamad.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment