Tuesday 2 January 2018

Kerjasama Bernama Radio dan CRI...

Rooching (kanan) dan Selina
Dua petugas China Radio International (CRI) Beijing, Rooching dan Selina gembira mendapat peluang bertugas di Bernama Radio selama setahun mulai hari ini.
Mereka akan mengendalikan program Ni Hao dan Selendang Sutera yang merupakan usahasama antara Bernama Radio dengan CRI.
Rooching berkata kontrak selama setahun itu merupakan peluang yang baik bagi beliau meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu, mendapat sahabat baru dan lebih banyak pengetahuan.
Mempelajari Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), beliau akan mengambil peluang itu untuk mengenali kehidupan rakyat di negara ini.
Beliau berharap dapat melancong melihat tempat-tempat di seluruh Malaysia untuk  mengetahui mengenai keadaan terutama destinasi pelancongan.
“Saya harap dapat memperkenalkan apa yang dilihat kepada para pendengar,” katanya.
Selina pula berkata beliau bukan asing di Malaysia kerana pernah berkunjung ke negara ini sebagai pelancong semasa berbulan madu lima tahun lepas.
Sempena Tahun Baharu, beliau berazam untuk menyumbang bagi meningkatkan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara melalui program radio yang dikendalikannya.
Menyifatkan dirinya sebagai ‘utusan kecil’, Selina berkata beliau berhasrat mengenali masyarakat majmuk termasuk di kampung-kampung untuk melihat keistimewaan mereka.
Program Ni Hao dan Selendang Sutera bersiaran setiap hari iaitu 3.10 hingga 4 petang untuk program Ni Hao dan 9.10 hingga 10 malam bagi program Selendang Sutera.
Ni Hao adalah program interaksi dua hala antara peneraju Bernama Radio dengan CRI menyentuh pelbagai topik dan isu melibatkan kedua-dua negara.
Selendang Sutera pula merupakan program rakaman yang dimuatkan dengan info-info menarik kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment