Monday 22 January 2018

Bekas Pengurus Besar Bernama dimasukkan ke HTJ...

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Raus Borhan, 71, dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban selepas dikesan menghidap strok otak.
Adik beliau, Noraini Borhan , 65, berkata Mohd Raus telah dimasukkan ke HTJ sejak sebulan yang lepas.
“Pertama kali dia kena (strok) di kampung (di Kuala Pilah)… dia memandu kereta dan kemudian melanggar pintu pagar ketika hendak pergi ke pekan… selepas keluar ke pekan, dia langgar lagi pintu pagar. Saya merasakan ada yang tidak kena.
“Abang saya kemudian dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan termasuk Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan). Masa dia mula kena (strok) adalah pada bulan Mei 2016,” katanya kepada  Bernama di sini, hari ini.
Noraini berkata abangnya itu setakat ini masih boleh menggerakkan anggota badan cuma sebutan yang dituturkannya agak kurang jelas.
“Ramai rakan-rakan dia datang melawat, ada yang dia masih ingat nama dan ada yang tidak. Sejak dimasukkan ke HTJ, abang saya yang dahulunya seorang yang kuat makan, kini hilang selera dan hanya bergantung kepada susu sahaja,” katanya.
Berasal dari Kuala Pilah, Mohd Raus yang telah berkahwin dengan Farida Jehan, merupakan pemegang  Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Beliau menyertai Bernama pada 11 Mac 1991 sebagai pengurus besar.
Mohd Raus, anak kedua daripada sembilan orang adik beradik, pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah di Kementerian Kewangan dari 1969 hingga 1973 sebelum menyertai Hongkong and Shanghai Bank, lima tahun selepas itu.
Pada 1979, beliau menyertai pula Petronas sebagai timbalan pengurus di Unit Perancangan Korporat  dan pada 1981, menyertai United Asian Bank sebagai timbalan pengurus besar sehingga 1989 sebelum mengambil skim pemberhentian secara sukarela (VSS). 
Mohd Raus yang menerima pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M.) pada Istiadat Pengurniaan  Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 1995,  bersara daripada Bernama pada 10 Mac 1998.
-- BERNAMA
Berita Bernama keluaran Mac/April 1991

No comments:

Post a Comment