Sunday 21 January 2018

Exco Terengganu lawat bekas wartawan sambilan Bernama...

Bekas pemberita sambilan Bernama di Terengganu Ibrahim Abu Bakar, 75, yang menghidap penyakit buah pinggang, hari ini menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib di rumahnya di Kampung Ladang Sekolah di Kuala Terengganu.
Ibrahim, yang mula bertugas di Bernama Biro Terengganu sejak tahun 1973, amat terharu dengan kunjungan tersebut sebagai tanda ingatan kepimpinan kerajaan negeri dan rakan-rakan media.
"Semoga jalinan silaturahim ini terus berkekalan dan saya berterima kasih kepada Exco kerajaan negeri yang sudi datang bertanya khabar saya hari ini, insya-Allah  sokongan moral daripada kawan-kawan juga akan menguatkan semangat saya untuk terus tabah dengan ujian penyakit buah pinggang ini," katanya yang mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dua kali  sebulan.
Mesra dipanggil Pok Him, beliau telah berkhidmat di bawah 13 orang Ketua Biro Bernama Terengganu.
Beliau turut meluahkan keinginan untuk terus menulis kerana separuh daripada usianya telah dihabiskan bersama Bernama.
Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan sumbangan kewangan untuk meringankan beban Ibrahim.
Ghazali berkata peranan media sangat penting dalam konteks pembangunan negara khususnya di Terengganu selama ini.
"Bagi  pihak kerajaan negeri, kami sangat menghargai sumbangan  pengamal media yang telah sama-sama menyumbang peranan positif terhadap Terengganu bagi memastikan kelangsungannya sebagai sebuah negeri yang aman dan sentiasa menonjolkan keistimewaan Terengganu di mata dunia.
"Hubungan baik antara pengamal media dan kerajaan negeri ini pastinya akan terus memberi impak positif terhadap pembangunan negeri agar lebih maju dengan mengikut acuan sendiri pada masa akan datang," katanya.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad, Ketua Biro Bernama Terengganu,  Zalina Maizan Ngah serta anggota jawatankuasa KAWAT.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment