Thursday 5 March 2015

Media Perlu Main Peranan Bentuk Persepsi Komuniti ASEAN...


FotoBERNAMA

Media perlu memainkan peranan penting dalam membina dan membentuk persepsi komuniti Asean terhadap hubungan negara-negara di rantau itu terutama dalam bidang ekonomi.
Pengerusi Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Datuk Zulkefli Salleh berkata negara-negara Asean mempunyai pasaran besar dalam jaringan ekonomi, justeru, hebahan media mengenai perkara itu dapat merealisasikan hasrat Asean membentuk sebuah komuniti yang berjaya.
Zulkefli yang juga Pengurus Besar Bernama berkata peranan itu harus dimainkan pada Sidang Kemuncak Editor Asean pertama yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini.
"Pertemuan (Sidang Kemuncak Editor Asean) ini sangat penting kerana rencana untuk mewujudkan komuniti Asean terutama dalam bidang ekonomi harus disokong oleh media negara masing-masing sekali gus membentuk komuniti Asean yang maju dan disegani", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Duta Besar Indonesia Bersama Media Malaysia-Indonesia di Desa Pandan, Kuala Lumpur hari ini.
Cadangan Sidang Kemuncak Editor Asean itu telah dikemukakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan disokong sebulat suara oleh wakil negara pengasas Asean iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina pada satu forum media di Batam, Indonesia, bulan lepas.
Sidang Kemuncak itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan memupuk semangat serta membentuk komuniti Asean.
Sementara itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno berkata peranan media Malaysia dan Indonesia sangat besar dalam membentuk kesepakatan di antara pemerintah dan rakyat kedua-dua negara.
"Walaupun kita sering didatangi pelbagai isu sensitif yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, namun kerjasama baik di antara media-media kita telah menyelamatkan hubungan itu.
"Saya melihat penyebaran maklumat yang benar dan positif mengenai Malaysia dan Indonesia ini dapat memulihkan kembali persepsi yang kurang enak mengenai kedua-dua negara serta meningkatkan lagi hubungan baik yang sudah sedia ada," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Iswami, Zulkefli Hamzah, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab, Koordinator Fungsi Penerangan Sosial & Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Trigustono Supriyanto dan wakil-wakil media tempatan.
-- BERNAMA
   


No comments:

Post a Comment